Yeremia 35:1-19

  • Teladan baik orang Rekhab yang patuh (1-19)

35  Pada zaman pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda, Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 2  “Pergilah ke rumah-rumah orang Rekhab+ dan bercakaplah dengan mereka. Kemudian bawalah mereka ke salah sebuah bilik makan* di Rumah Yehuwa, lalu jemputlah mereka untuk minum wain.” 3  Oleh itu, aku membawa Yazania anak Yeremia, cucu Habazinia, bersama saudara-saudara lelakinya, semua anak lelakinya, dan seluruh keluarga Rekhab 4  ke Rumah Yehuwa. Aku membawa mereka ke bilik makan Hanan anak Igdalia, seorang hamba Tuhan yang benar. Bilik itu terletak di sebelah bilik makan para pemimpin, iaitu di atas bilik makan Maaseya anak Salum, penjaga pintu itu. 5  Kemudian aku meletakkan beberapa buah bekas dan cawan yang berisi wain di hadapan orang Rekhab itu. Aku berkata kepada mereka, “Sila minum wain ini.” 6  Tetapi mereka berkata, “Kami tidak minum wain kerana Yehonadab*+ anak Rekhab, iaitu nenek moyang kami, telah memberikan perintah ini kepada kami: ‘Kamu dan keturunan kamu sama sekali tidak boleh minum wain. 7  Kamu tidak boleh membina rumah, menyemai benih, dan mengusahakan atau memiliki kebun anggur. Sebaliknya, kamu hanya boleh tinggal di dalam khemah supaya kamu dapat hidup lama di tanah ini sebagai orang asing.’ 8  Maka kami mematuhi semua perintah Yehonadab anak Rekhab, nenek moyang kami. Kami, isteri kami, dan anak-anak kami tidak pernah minum wain. 9  Kami juga tidak membina rumah dan mendiaminya. Kami tidak memiliki kebun anggur dan ladang, dan kami tidak menyemai benih. 10  Kami terus tinggal di dalam khemah dan mematuhi apa sahaja yang telah diperintahkan oleh Yehonadab,* nenek moyang kami. 11  Tetapi apabila Raja Nebukadnezar dari Babilon menyerang negeri ini,+ kami berkata, ‘Marilah kita pergi ke Yerusalem untuk melarikan diri daripada tentera orang Kasdim dan orang Siria.’ Itulah sebabnya kami tinggal di Yerusalem sekarang.” 12  Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 13  “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Pergilah dan katakanlah kepada orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, “Bukankah Aku selalu menyuruh kamu untuk mematuhi firman-Ku?”+ firman Yehuwa. 14  “Yehonadab anak Rekhab menyuruh keturunannya untuk tidak minum wain, dan mereka mematuhi perintahnya sehingga hari ini. Ya, mereka mematuhi perintah nenek moyang mereka.+ Kamu pula tidak pernah mematuhi Aku biarpun Aku telah berfirman kepada kamu berkali-kali.+ 15  Aku selalu mengutus semua hamba-Ku, iaitu para nabi, kepada kamu. Aku berkali-kali menyuruh mereka berkata kepada kamu,+ ‘Berbaliklah daripada haluan kamu yang jahat,+ dan buatlah apa yang baik! Janganlah pergi kepada tuhan-tuhan lain dan menyembah tuhan-tuhan itu, agar kamu dapat terus menetap di negeri yang telah Aku berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu.’+ Tetapi kamu menutup telinga kamu dan tidak mahu mendengar. 16  Keturunan Yehonadab anak Rekhab telah mematuhi perintah nenek moyang mereka,+ tetapi kamu* tidak mendengar firman-Ku.”’” 17  “Maka inilah firman Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan mendatangkan semua malapetaka atas Yehuda dan semua penduduk Yerusalem, seperti yang telah Aku firmankan. Aku telah memberikan amaran kepada mereka,+ tetapi mereka tidak mahu mendengar. Aku telah memanggil mereka berkali-kali, tetapi mereka tidak menjawab.’”+ 18  Yeremia berkata kepada seluruh keluarga Rekhab, “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Kamu telah mematuhi perintah Yehonadab, nenek moyang kamu, dan kamu terus melakukan semua yang telah diperintahkan olehnya kepada kamu. Oleh itu, 19  inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Salah seorang daripada keturunan Yehonadab* anak Rekhab akan sentiasa berkhidmat di hadapan-Ku.”’”

Nota Kaki

Atau “salah sebuah bilik.”
Harfiah, “Yonadab,” singkatan bagi Yehonadab.
Harfiah, “Yonadab,” singkatan bagi Yehonadab.
Atau “bangsa ini.”
Harfiah, “Yonadab,” singkatan bagi Yehonadab.