Yeremia 37:1-21
37 Raja Zedekia+ anak Yosia mula memerintah. Dia menggantikan Konia*+ anak Yehoyakim kerana Nebukadnezar, raja Babilon, telah melantik dia untuk menjadi raja Yehuda.+
2 Tetapi dia, para pegawainya, dan rakyat di negerinya tidak mendengar firman Yehuwa yang telah disampaikan oleh Nabi Yeremia.
3 Raja Zedekia mengutus Yehukal+ anak Syelemia dan Zefanya+ anak Maaseya, iaitu seorang imam, kepada Nabi Yeremia dengan pesanan, “Berdoalah kepada Yehuwa, Tuhan kita, bagi pihak kami.”
4 Yeremia masih bebas bergerak dalam kalangan rakyat kerana dia belum dipenjarakan.+
5 Pada waktu itu, orang Kasdim sedang mengepung Yerusalem. Tetapi apabila mereka mendengar bahawa angkatan tentera Firaun telah bertolak dari Mesir,+ mereka pun berundur dari Yerusalem.+
6 Kemudian Nabi Yeremia mendapat perkhabaran daripada Yehuwa,
7 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Katakanlah kepada raja Yehuda yang mengutus kamu kepada-Ku untuk meminta petunjuk, “Lihatlah! Angkatan tentera Firaun yang datang untuk membantu kamu akan pulang ke Mesir, negeri mereka.+
8 Orang Kasdim akan kembali dan menyerang kota ini. Mereka akan menawan kota ini lalu membakarnya dengan api.”+
9 Inilah firman Yehuwa: “Janganlah menipu diri kamu sendiri dengan berkata, ‘Orang Kasdim pasti tidak akan kembali,’ kerana mereka pasti akan kembali.
10 Biarpun kamu berjaya menumpaskan seluruh angkatan tentera Kasdim yang sedang menyerang kamu, sehingga yang tinggal hanya orang yang luka dalam kalangan mereka, mereka masih akan bangkit dari khemah mereka dan membakar kota ini dengan api.”’”+
11 Apabila tentera Kasdim telah berundur dari Yerusalem kerana tentera Firaun,+
12 Yeremia meninggalkan Yerusalem dan pergi ke negeri Benyamin+ untuk menerima warisan daripada bangsanya.
13 Tetapi apabila Yeremia sampai di Pintu Gerbang Benyamin, ketua pengawal yang bernama Iriya anak Syelemia, cucu Hanania, menangkap Yeremia dan berkata kepadanya, “Engkau mahu membelot dan lari kepada orang Kasdim!”
14 Tetapi Yeremia berkata, “Tidak! Aku tidak membelot.” Tetapi Iriya tidak mahu mendengar kata-katanya. Dia menangkap Yeremia dan membawanya kepada para pemimpin.
15 Para pemimpin itu sangat marah terhadap Yeremia.+ Mereka memukul Yeremia lalu mengurungnya+ di rumah Yehonatan, seorang setiausaha. Pada waktu itu, rumah Yehonatan telah dijadikan penjara.
16 Yeremia dimasukkan ke dalam sebuah bilik di bawah tanah, dan dia ditahan di sana berhari-hari lamanya.
17 Kemudian Raja Zedekia memanggil Yeremia ke istana dan menyoalnya secara rahsia,+ “Adakah kamu mendapat perkhabaran daripada Yehuwa?” Yeremia menjawab, “Ya!” dan menyambung, “Tuanku akan diserahkan ke dalam tangan raja Babilon!”+
18 Yeremia juga berkata kepada Raja Zedekia, “Apakah kesalahan hamba terhadap tuanku, para pegawai tuanku, dan rakyat tuanku, sehingga tuanku memasukkan hamba ke dalam penjara?
19 Sekarang di manakah nabi-nabi yang bernubuat kepada tuanku dan berkata, ‘Raja Babilon pasti tidak akan menyerang tuanku dan negeri ini’?+
20 Ya tuanku, dengarlah permintaan hamba, dan kabulkanlah permintaan hamba. Janganlah hantar hamba kembali ke rumah Yehonatan,+ setiausaha itu, kerana hamba akan mati di sana.”+
21 Oleh itu, Raja Zedekia memberikan perintah agar Yeremia ditahan di Halaman Pengawal.+ Setiap hari, Yeremia diberi sebuku roti yang berbentuk bulat dari tempat membuat roti,*+ sehingga kota itu kehabisan roti.+ Demikianlah Yeremia tinggal di Halaman Pengawal.