Yeremia 38:1-28

  • Yeremia dimasukkan ke dalam perigi (1-6)

  • Ebed-melekh menyelamatkan Yeremia (7-13)

  • Yeremia meminta Zedekia untuk menyerah diri (14-28)

38  Shefatiya anak Matan, Gedalia anak Pasyhur, Yukal+ anak Syelemia, dan Pasyhur+ anak Malkia mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Yeremia kepada semua orang. Yeremia berkata,  “Inilah firman Yehuwa: ‘Orang yang tinggal di dalam kota ini akan mati dibunuh pedang, kebuluran, dan wabak penyakit.+ Tetapi orang yang menyerah diri kepada orang Kasdim akan terus hidup. Orang itu akan menyelamatkan nyawanya sendiri.’+  Inilah firman Yehuwa: ‘Kota ini pasti akan diserahkan kepada tentera raja Babilon, dan raja itu akan menawan kota ini.’”+  Para pemimpin berkata kepada raja, “Tuanku, bunuhlah lelaki ini!+ Dia sedang melemahkan semangat tentera yang masih ada di dalam kota dan semua rakyat yang lain dengan kata-katanya itu. Dia bukannya mahu rakyat hidup dengan damai, sebaliknya dia mahu mereka ditimpa malapetaka.”  Raja Zedekia menjawab mereka, “Perlakukanlah dia sesuka hati kamu. Beta tidak dapat menghalang kamu.”  Maka mereka menangkap Yeremia dan memasukkannya ke dalam perigi milik Malkia, seorang anak raja. Mereka menurunkan Yeremia ke dalam perigi itu dengan tali. Perigi itu terletak di Halaman Pengawal.+ Di dalam perigi itu, tidak ada air, hanya ada lumpur, dan Yeremia mula tenggelam ke dalam lumpur itu.  Di istana, ada seorang sida-sida* berbangsa Etiopia* yang bernama Ebed-melekh.+ Dia mendapat tahu bahawa Yeremia telah dimasukkan ke dalam sebuah perigi. Pada waktu itu, raja sedang duduk di Pintu Gerbang Benyamin.+  Maka Ebed-melekh keluar dari istana dan pergi menghadap raja. Dia berkata,  “Tuanku, para pegawai itu telah memasukkan Nabi Yeremia ke dalam perigi. Perbuatan mereka sungguh jahat! Yeremia akan mati kelaparan di situ kerana kota ini sudah kehabisan roti.”+ 10  Kemudian raja memberikan perintah kepada Ebed-melekh, orang Etiopia itu, “Bawalah 30 orang lelaki bersamamu. Tariklah Nabi Yeremia keluar dari perigi itu sebelum dia mati.” 11  Ebed-melekh pun membawa 30 orang lelaki bersamanya dan pergi ke istana. Mereka pergi ke sebuah bilik di bawah tempat penyimpanan harta.+ Dari sana, mereka mengambil beberapa helai kain dan pakaian yang lama, lalu menurunkannya kepada Yeremia dengan tali. 12  Kemudian Ebed-melekh, orang Etiopia itu, berkata kepada Yeremia, “Letakkanlah kain-kain dan pakaian itu di bawah ketiakmu sebagai alas.” Yeremia pun berbuat demikian, 13  dan mereka menggunakan tali untuk menarik Yeremia keluar dari perigi itu. Sejak itu, Yeremia tinggal di Halaman Pengawal.+ 14  Raja Zedekia memanggil Nabi Yeremia untuk menghadapnya di pintu masuk ketiga, yang terletak di Rumah Yehuwa. Raja berkata, “Beta hendak menanya kamu tentang sesuatu. Jangan sembunyikan apa-apa daripada beta.” 15  Yeremia menjawab Zedekia, “Jika hamba berterus terang dengan tuanku, tuanku pasti akan membunuh hamba. Jika hamba memberikan nasihat kepada tuanku, tuanku tidak akan mendengar.” 16  Oleh itu, Raja Zedekia bersumpah kepada Yeremia secara rahsia. Raja berkata, “Beta bersumpah demi Yehuwa yang hidup, yang memberi kita nyawa, bahawa beta tidak akan membunuhmu, dan beta tidak akan menyerahkan kamu kepada orang yang hendak membunuhmu.” 17  Kemudian Yeremia berkata kepada Zedekia, “Inilah firman Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Jika engkau menyerah diri kepada pegawai-pegawai raja Babilon, engkau akan selamat, dan kota ini tidak akan dibakar dengan api. Engkau dan seisi rumahmu akan terus hidup.+ 18  Tetapi jika engkau enggan menyerah diri kepada pegawai-pegawai raja Babilon, kota ini akan diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim. Mereka akan membakarnya dengan api,+ dan engkau tidak akan terlepas daripada cengkaman mereka.’”+ 19  Raja Zedekia pun berkata kepada Yeremia, “Beta takut kepada orang Yahudi yang telah memihak kepada orang Kasdim, kerana jika beta diserahkan kepada mereka, mereka mungkin akan melayan beta dengan kejam.” 20  Tetapi Yeremia berkata, “Tuanku tidak akan diserahkan kepada mereka. Jika tuanku mematuhi firman Yehuwa yang telah hamba sampaikan kepada tuanku, tuanku akan selamat dan terus hidup. 21  Yehuwa telah menunjukkan kepada hamba apa yang akan berlaku jika tuanku enggan menyerah diri: 22  Semua wanita yang masih tinggal di dalam istana raja Yehuda yang dibawa menghadap pegawai-pegawai raja Babilon+ akan berkata,‘Lelaki-lelaki yang tuanku percayai telah menipu tuanku dan menguasai tuanku.+ Mereka telah menyebabkan kaki tuanku tenggelam di dalam lumpur,Dan sekarang mereka meninggalkan tuanku dan berundur.’ 23  Semua isteri dan anak tuanku akan diserahkan kepada orang Kasdim, dan tuanku tidak akan terlepas daripada cengkaman mereka. Raja Babilon pasti akan menangkap tuanku,+ dan kota ini pasti akan dibakar dengan api kerana tuanku.”+ 24  Zedekia berkata kepada Yeremia, “Jangan benarkan sesiapa pun mengetahui hal-hal ini. Jika tidak, kamu akan mati. 25  Jika para pemimpin mendengar tentang perbualan kita, mereka akan datang kepadamu dan berkata, ‘Beritahulah kami apa yang telah kamu beritahu raja. Kami tidak akan membunuh kamu jika kamu memberitahu kami segala-galanya.+ Jadi beritahulah kami apa yang telah raja katakan kepadamu!’ 26  Jika hal ini terjadi, jawablah mereka, ‘Aku sedang memohon raja supaya raja tidak menghantar aku kembali ke rumah Yehonatan kerana aku akan mati di sana.’”+ 27  Tidak lama kemudian, para pemimpin itu pun datang dan bertanya kepada Yeremia. Dia menjawab mereka tepat seperti yang telah diperintahkan oleh raja. Mereka tidak mengatakan apa-apa lagi kerana tiada sesiapa pun yang mendengar perbualan antara raja dengan Yeremia. 28  Yeremia tinggal di Halaman Pengawal+ sampai hari Yerusalem ditawan. Dia masih ada di sana ketika Yerusalem ditawan.+

Nota Kaki

Atau “pegawai istana.” Lihat Kamus, “Sida-sida.”
Atau “Habsyah.”