Yeremia 42:1-22
42 Semua ketua tentera, termasuk Yohanan+ anak Kareah, Yezania anak Hoshaiah, dan semua rakyat, tidak kira orang biasa atau orang yang berkedudukan tinggi, pergi kepada
2 Nabi Yeremia dan berkata, “Tolonglah dengar permintaan kami. Berdoalah kepada Yehuwa, Tuhanmu, bagi pihak kami dan bagi pihak semua orang yang masih hidup. Dahulu kami ramai, tetapi sekarang bilangan kami tinggal sedikit sahaja,+ seperti yang kamu nampak.
3 Semoga Yehuwa, Tuhanmu, memberitahu kami jalan yang harus kami ikuti dan apa yang harus kami lakukan.”
4 Nabi Yeremia menjawab mereka, “Baiklah, aku akan berdoa kepada Yehuwa, Tuhan kamu, seperti yang kamu minta. Apabila Yehuwa menjawab kamu, aku akan memberitahu kamu segala yang difirmankan-Nya. Aku tidak akan merahsiakan apa-apa pun daripada kamu.”
5 Mereka berkata kepada Yeremia, “Biarlah Yehuwa menjadi saksi yang jujur dan setia bagi kami. Biarlah kami dihukum jika kami tidak mematuhi semua perintah yang disampaikan oleh Yehuwa melalui kamu.
6 Kami telah meminta kamu berdoa bagi pihak kami. Oleh itu, tidak kira jawapan Yehuwa menyenangkan atau tidak, kami akan mematuhi firman Tuhan kami. Keadaan kami akan menjadi baik jika kami mematuhi firman Yehuwa, Tuhan kami.”
7 Sepuluh hari kemudian, Yeremia menerima perkhabaran daripada Yehuwa.
8 Maka dia memanggil Yohanan anak Kareah, semua ketua tentera yang ada bersamanya, dan semua rakyat, tidak kira orang biasa atau orang yang berkedudukan tinggi.+
9 Dia berkata kepada mereka, “Kamu telah menyuruh aku menyampaikan permintaan kamu kepada Yehuwa, Tuhan orang Israel. Inilah firman-Nya:
10 ‘Jika kamu terus tinggal di negeri ini, Aku akan membangun kamu dan tidak memusnahkan kamu. Aku akan menanam kamu dan tidak mencabut kamu. Aku akan berasa kesal* atas malapetaka yang telah Aku datangkan atas kamu.+
11 Janganlah takut kepada raja Babilon.’+
“‘Ya, janganlah takut kepadanya,’ firman Yehuwa, ‘kerana Aku menyertai kamu untuk melindungi dan menyelamatkan kamu daripada cengkamannya.
12 Aku akan menunjukkan belas kasihan kepada kamu.+ Raja Babilon juga akan menunjukkan belas kasihan kepada kamu dan membenarkan kamu pulang ke negeri kamu.
13 “‘Tetapi jika kamu berkata, “Tidak. Kami tidak akan tinggal di negeri ini!” dan kamu mengingkari firman Yehuwa, Tuhan kamu,
14 dengan berkata, “Kami akan pergi ke negeri Mesir.+ Di sana, kami tidak akan kelaparan, mengalami peperangan, dan mendengar tiupan trompet perang. Oleh itu, kami akan tinggal di sana,”
15 maka dengarlah firman Yehuwa, hai kamu yang masih tinggal di Yehuda. Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Jika kamu berkeras hendak pergi ke Mesir lalu kamu pergi dan tinggal di situ,*
16 peperangan dan kebuluran yang kamu takuti itu akan mengejar kamu sampai ke Mesir, dan kamu akan mati di sana.+
17 Semua orang yang bertekad untuk pergi ke Mesir dan tinggal di sana akan mati dibunuh pedang, kebuluran, dan wabak penyakit. Tiada seorang pun yang akan selamat atau terlepas daripada malapetaka yang akan Aku datangkan atas mereka.”’
18 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Sebagaimana Aku telah melampiaskan kemarahan dan kemurkaan-Ku terhadap penduduk Yerusalem,+ demikian juga Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadap kamu jika kamu pergi ke Mesir. Orang akan menjadi takut setelah mereka melihat keadaan kamu. Kamu akan dikutuk, dihina, dan dicemuh.+ Kamu tidak akan melihat tempat ini lagi.’
19 “Hai kamu yang masih tinggal di Yehuda, Yehuwa telah berfirman kepada kamu. Janganlah pergi ke Mesir. Ketahuilah bahawa aku telah memberikan amaran kepada kamu pada hari ini.
20 Ingatlah bahawa kamu sedang melakukan kesalahan besar dan nyawa kamu akan tergadai. Kamu telah menyuruh aku berdoa kepada Yehuwa, Tuhan kamu, ‘Berdoalah kepada Yehuwa, Tuhan kami, bagi pihak kami. Beritahulah kami segala yang difirmankan oleh Yehuwa, Tuhan kami, dan kami akan mematuhi-Nya.’+
21 Hari ini, aku telah menyampaikan firman Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu. Tetapi kamu pasti tidak akan mematuhi atau melakukan apa yang telah difirmankan-Nya.+
22 Oleh itu, ketahuilah bahawa kamu pasti akan mati dibunuh pedang, kebuluran, dan wabak penyakit di negeri yang ingin kamu pergi dan tinggal.”+