Yeremia 44:1-30

  • Nubuat tentang malapetaka yang akan melanda orang Yahudi di Mesir (1-14)

  • Orang menolak amaran daripada Tuhan (15-30)

    • “Ratu Syurga” disembah (17-19)

44  Yeremia mendapat perkhabaran untuk disampaikan kepada semua orang Yahudi yang tinggal di negeri Mesir,+ iaitu di Migdol,+ di Tahpanes,+ di Nof,*+ dan di Patros.+ Perkhabaran itu berbunyi, 2  “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Kamu telah menyaksikan semua bencana yang Aku datangkan atas Yerusalem+ dan semua kota Yehuda. Hari ini, kota-kota itu masih reruntuhan dan tidak berpenghuni.+ 3  Hal itu berlaku kerana mereka telah berbuat jahat dan membangkitkan kemurkaan-Ku. Mereka menyembah tuhan-tuhan yang tidak dikenali oleh mereka, dan mempersembahkan korban+ kepada tuhan-tuhan itu. Ya, kamu dan nenek moyang kamu juga tidak mengenali tuhan-tuhan itu.+ 4  Aku selalu mengutus semua hamba-Ku, iaitu para nabi, kepada kamu. Aku berkali-kali menyuruh mereka berkata kepada kamu, “Tolonglah jangan buat perkara yang menjijikkan ini kerana Aku membencinya.”+ 5  Tetapi mereka menutup telinga mereka dan tidak mahu mendengar. Mereka tidak mahu berpaling daripada haluan mereka yang jahat dan berhenti mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu.+ 6  Maka Aku melampiaskan kemarahan dan kemurkaan-Ku yang membara, dan Aku menghukum kota-kota Yehuda dan jalan-jalan Yerusalem sehingga semuanya menjadi reruntuhan dan tanah yang tandus seperti hari ini.’+ 7  “Inilah firman Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Mengapakah kamu mendatangkan bencana yang besar ini atas dirimu sendiri? Adakah kamu mahu semua lelaki, wanita, kanak-kanak, dan bayi di Yehuda dilenyapkan sehingga tiada seorang pun daripada bangsa kamu yang tertinggal? 8  Kamu membangkitkan kemarahan-Ku dengan perbuatanmu. Kamu mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan di negeri Mesir, tempat tinggal kamu sekarang. Kamu pasti akan lenyap, dan kamu akan menjadi bahan hinaan dan ejekan semua bangsa di bumi.+ 9  Kamu melakukan kejahatan di negeri Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem. Adakah kamu sudah lupa akan semua perbuatan jahat kamu dan isteri kamu,+ perbuatan jahat nenek moyang kamu, dan perbuatan jahat raja-raja Yehuda+ dan isteri mereka?+ 10  Sehingga hari ini, mereka tidak pernah merendahkan diri mereka dan berasa takut kepada-Ku.*+ Mereka juga tidak mematuhi hukum dan perintah yang telah Aku berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu.’+ 11  “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku bertekad untuk mendatangkan malapetaka atas kamu dan memusnahkan seluruh Yehuda. 12  Aku akan mengumpulkan orang Yehuda yang masih hidup dan yang bertekad untuk pergi ke Mesir untuk tinggal di sana.+ Mereka semua, tidak kira orang biasa atau orang yang berkedudukan tinggi, pasti akan lenyap di Mesir. Mereka akan mati dibunuh pedang dan mati kebuluran. Mereka akan dikutuk, dihina, dan dicemuh. Orang akan menjadi takut setelah melihat keadaan mereka.+ 13  Aku akan menghukum mereka yang tinggal di negeri Mesir sepertimana Aku telah menghukum Yerusalem dengan pedang, kebuluran, dan wabak penyakit.+ 14  Meskipun orang Yehuda yang masih hidup telah pergi ke Mesir untuk tinggal di situ, mereka tidak akan berjaya melarikan diri atau kembali ke Yehuda dengan selamat. Mereka akan rindu untuk kembali dan menetap di situ, tetapi mereka tidak akan berjaya berbuat demikian, kecuali beberapa orang.’” 15  Semua lelaki yang tahu bahawa isteri mereka telah mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, dan isteri-isteri yang berdiri di situ dalam sebuah kumpulan yang besar, termasuk semua orang yang tinggal di Mesir,+ di Patros,+ menjawab Yeremia, 16  “Kami tidak mahu mendengar apa yang telah kamu katakan demi nama Yehuwa. 17  Sebaliknya, kami pasti akan melakukan semua yang telah kami katakan. Kami akan mempersembahkan korban dan wain kepada Ratu Syurga*+ di semua kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem seperti yang biasa kami lakukan, dan seperti yang biasa dilakukan oleh nenek moyang kami, raja-raja kami, dan para pemimpin kami. Pada waktu itu, kami mempunyai banyak makanan dan hidup dengan makmur. Kami tidak mengalami sebarang malapetaka. 18  Tetapi sejak kami berhenti mempersembahkan korban dan wain kepada Ratu Syurga,* kami hidup serba kekurangan. Kami mengalami kebuluran dan dibunuh dengan pedang.” 19  Wanita-wanita itu berkata, “Semasa kami mempersembahkan korban dan wain kepada Ratu Syurga,* bukankah suami kami menyetujui perbuatan kami? Bukankah mereka tahu bahawa kami membuat roti menurut gambaran ratu itu dan mempersembahkan korban wain kepadanya?” 20  Kemudian Yeremia menjawab mereka semua, iaitu semua lelaki, isteri-isteri mereka, dan semua orang yang sedang bercakap dengannya, 21  “Yehuwa tidak akan melupakan semua perbuatan kamu. Tidak mungkin Dia melupakan semua korban yang kamu persembahkan dan semua korban yang dipersembahkan oleh nenek moyang kamu, raja-raja kamu, para pemimpin kamu, dan semua penduduk negeri ini di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem!+ 22  Akhirnya, Yehuwa tidak dapat bersabar lagi dengan perbuatan jahat dan hal-hal menjijikkan yang telah kamu lakukan. Oleh itu, negeri kamu telah menjadi tempat yang terkutuk, tempat yang menakutkan, tempat yang tandus, dan tempat yang tidak berpenghuni, seperti hari ini.+ 23  Kamu telah mempersembahkan korban-korban itu, dan kamu telah berdosa terhadap Yehuwa dengan tidak mematuhi firman Yehuwa. Kamu tidak hidup menurut hukum-Nya, perintah-Nya, dan peringatan-Nya. Itulah sebabnya malapetaka ini menimpa kamu, seperti yang berlaku pada hari ini.”+ 24  Yeremia berkata kepada semua orang dan kepada semua wanita itu, “Hai orang Yehuda yang tinggal di Mesir, dengarlah firman Yehuwa. 25  Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Kamu dan isteri kamu telah melakukan segala perkara yang telah kamu katakan. Kamu telah berkata, “Kami pasti akan mengotakan janji kami untuk mempersembahkan korban dan wain kepada Ratu Syurga.”*+ Kamu dan isteri kamu pasti akan mengotakan janji kamu dan melaksanakannya.’ 26  “Hai orang Yehuda yang tinggal di Mesir, dengarlah firman Yehuwa. Inilah firman-Nya: ‘“Aku bersumpah atas nama-Ku yang agung,” firman Yehuwa, “bahawa tiada orang Yehuda yang tinggal di Mesir akan bersumpah atas nama-Ku lagi+ dengan berkata, ‘Demi Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Tuhan yang hidup!’+ 27  Sekarang Aku sedang memerhatikan mereka dan Aku akan membawa malapetaka atas mereka, dan bukannya berkat.+ Semua orang Yehuda di Mesir akan mati dibunuh pedang dan mati kebuluran sehingga mereka semua lenyap.+ 28  Hanya beberapa orang yang dapat melepaskan diri daripada serangan pedang dan kembali dari Mesir ke Yehuda.+ Kemudian barulah semua orang Yehuda yang tinggal di Mesir akan tahu kata-kata siapa yang menjadi kenyataan, firman-Ku atau kata-kata mereka.”’” 29  “‘Inilah tanda bagi kamu,’ firman Yehuwa, ‘bahawa Aku akan menghukum kamu di negeri ini. Kemudian barulah kamu akan tahu bahawa janji-Ku untuk mendatangkan malapetaka atas kamu akan ditepati. 30  Inilah firman Yehuwa: “Aku akan menyerahkan Firaun Hofra, iaitu raja Mesir, ke dalam tangan musuh-musuhnya dan orang yang ingin membunuhnya, sebagaimana Aku telah menyerahkan Raja Zedekia dari Yehuda ke dalam tangan Raja Nebukadnezar dari Babilon yang memusuhi Zedekia dan yang ingin membunuhnya.”’”+

Nota Kaki

Atau “Memfis.”
Atau “menghormati-Ku.”
Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.
Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.
Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.
Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.