Yeremia 8:1-22
8 “Pada waktu itu,” firman Yehuwa, “tulang raja-raja Yehuda dan para pembesar, dan juga tulang para imam dan para nabi serta tulang penduduk Yerusalem akan dikeluarkan dari kubur mereka.
2 Tulang-tulang mereka akan diselerakkan di bawah matahari, bulan, dan semua bintang di langit* yang dicintai, dilayani, diikuti, dicari, dan disembah oleh mereka.+ Tulang-tulang mereka tidak akan dikumpulkan ataupun dikuburkan, tetapi akan dibiarkan di atas permukaan tanah seperti baja.”+
3 “Orang daripada bangsa jahat ini yang masih hidup, yang telah Aku cerai-beraikan ke pelbagai tempat, akan lebih rela mati daripada hidup,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
4 “Engkau haruslah berkata kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa:
“Jika seseorang terjatuh, bukankah dia akan bangun semula?
Jika seseorang mengubah haluannya, bukankah yang seorang lagi akan mengubah haluannya juga?
5 Mengapakah umat ini, umat Yerusalem, selalu tidak setia?
Mereka berpegang pada tipu daya;Mereka enggan mengubah haluan mereka.+
6 Aku terus mendengar dengan teliti, tetapi mereka tidak mengatakan apa yang benar.
Tiada seorang pun yang bertaubat daripada kejahatannya atau bertanya, ‘Apakah yang telah aku buat?’+
Setiap orang asyik kembali ke haluan yang diikuti ramai, seperti seekor kuda yang meluru ke medan pertempuran.
7 Bahkan burung bangau tahu akan musimnya;*Burung tekukur, burung layang-layang, dan burung murai,* tahu masanya untuk kembali.*
Tetapi umat-Ku tidak mengetahui masanya Aku, Yehuwa, akan menghakimi mereka.”’+
8 ‘Berani kamu berkata, “Kami bijak. Kami mempunyai hukum Yehuwa.”
Sebenarnya pena palsu milik para jurutulis*+ hanya digunakan untuk menulis hal-hal yang tidak benar.
9 Orang yang bijak telah dimalukan.+
Mereka diselubungi ketakutan dan akan ditangkap.
Mereka telah menolak firman Yehuwa.
Sekarang, kebijaksanaan apakah yang ada pada mereka?
10 Aku akan memberikan isteri mereka kepada lelaki lain,Dan ladang mereka kepada pemilik yang baharu;+Kerana baik yang muda mahupun yang tua, mengaut keuntungan dengan cara yang tidak jujur;+Baik nabi mahupun imam, memperdaya orang.+
11 Mereka memandang ringan luka umat-Ku dan mencuba mengubatinya dengan berkata,“Semuanya aman damai! Semuanya aman damai!”
Meskipun kedamaian tidak wujud.+
12 Adakah mereka berasa malu kerana melakukan semua perbuatan yang jijik itu?
Mereka sama sekali tidak berasa malu!
Mereka bahkan tidak tahu caranya untuk berasa malu!+
Maka mereka akan rebah bersama orang yang sudah rebah.
Apabila Aku menghukum mereka, mereka akan tersandung,’+ firman Yehuwa.
13 ‘Setelah Aku mengumpulkan mereka, Aku akan membinasakan mereka,’ firman Yehuwa.
‘Tidak ada lagi buah anggur pada pokok anggur, tidak ada lagi buah ara pada pokok ara, dan daun-daun pada pokok-pokok itu akan layu.
Mereka akan kehilangan apa sahaja yang telah Aku berikan kepada mereka.’”
14 “Mengapakah kita duduk di sini?
Marilah kita berkumpul dan masuk ke dalam kota-kota berkubu+ lalu mati di sana.
Yehuwa, Tuhan kita, mahu membinasakan kita.Yehuwa memberi kita racun untuk diminum,+Kerana kita telah berdosa terhadap-Nya.
15 Kita mengharapkan kedamaian, tetapi tiada apa-apa yang baik datang.Kita mengharapkan penyembuhan, tetapi yang ada hanyalah ketakutan!+
16 Dari Dan, dengus kuda-kuda musuh sudah kedengaran.
Seluruh bumi bergegar,Apabila kuda-kuda jantan itu meringkik.
Musuh itu datang dan membinasakan seluruh negeri dan segala isinya,Kota dan penduduknya.”
17 “Lihatlah! Aku akan mengirim ular ke tengah-tengah kamu,Ular-ular berbisa yang tidak dapat dijinakkan.Ular-ular itu pasti akan mematuk kamu,” firman Yehuwa.
18 Betapa sakitnya hatiku.Kesedihanku tidak dapat diubati.
19 Dari jauh, kedengaran seruan meminta tolong,Ya, bangsaku berseru,
“Bukankah Yehuwa ada di Sion?
Bukankah raja-raja Sion ada di situ?”
“Mengapakah mereka membuat Aku murka dengan berhala mereka,Dan dengan dewa dewi palsu mereka yang tidak berguna?”
20 “Musim menuai telah berlalu dan musim panas telah berakhir,Tetapi kita belum diselamatkan!”
21 Hatiku hancur atas malapetaka yang menimpa bangsaku;+Aku sangat kecewa.
Ketakutan telah menguasai aku.
22 Tiadakah minyak balsam* di Gilead?+
Tiadakah tabib* di sana?+
Mengapakah bangsaku belum sembuh?+