Yeremia 9:1-26
9 Alangkah baiknya jika kepalaku seperti perigi yang penuh dengan air,Dan mataku seperti pancuran yang terus mengalirkan air mata,+
Supaya aku dapat menangis siang dan malamUntuk orang sebangsaku yang terbunuh!
2 Alangkah baiknya jika aku mempunyai tempat menginap di padang belantara,
Supaya aku dapat meninggalkan bangsaku dan menjauhi mereka,Kerana mereka semua penzina,+Segerombolan pengkhianat!
3 Mereka melengkungkan lidah mereka seperti busur,Sehingga negeri ini dipenuhi kepalsuan, dan bukannya kesetiaan.+
“Mereka semakin jahat,Dan mereka tidak mengendahkan Aku,”+ firman Yehuwa.
4 “Hai semua orang, berwaspadalah terhadap jiranmu,Dan janganlah mempercayai saudara kandungmu,
Kerana semua saudaramu ialah pengkhianat,+Dan semua jiranmu ialah pemfitnah.+
5 Setiap orang menipu jirannya,Dan tiada seorang pun yang bercakap benar.
Mereka mengajar lidah sendiri untuk mengucapkan dusta.+
Mereka memenatkan diri sendiri dengan melakukan apa yang salah.
6 Kamu hidup dikelilingi penipuan.
Mereka menipu dan enggan mengenal Aku,” firman Yehuwa.
7 Maka inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:
“Aku akan memurnikan* mereka dan menguji mereka,+Kerana apa lagi yang dapat Kulakukan terhadap umat-Ku ini?
8 Lidah mereka mengucapkan dusta seperti anak panah yang membawa maut.
Seseorang menggunakan mulutnya untuk bercerita tentang kedamaian kepada jirannya,Tetapi dalam hatinya, dia memasang perangkap.”
9 “Tidak patutkah Aku menghukum mereka atas perbuatan mereka itu?” firman Yehuwa.
“Tidak patutkah Aku membalas perbuatan bangsa ini?+
10 Aku akan berkabung dan meratapi gunung-gunung.Aku juga akan menyanyikan lagu ratapan untuk padang-padang rumput,Kerana semuanya sudah dibakar sehingga tiada orang dapat melaluinya.Bunyi ternakan tidak kedengaran lagi.
Burung di langit dan binatang liar sudah melarikan diri; semuanya sudah lesap.+
11 Aku akan menjadikan Yerusalem timbunan batu+ dan sarang serigala,+Dan Aku akan menjadikan kota-kota Yehuda tanah yang tandus dan tidak berpenghuni.+
12 Siapakah yang cukup bijaksana untuk memahami hal ini?
Siapakah yang telah menerima firman Yehuwa supaya dia dapat mengumumkannya?
Mengapakah negeri ini binasa?
Mengapakah negeri ini kering-kontang seperti padang belantara,Sehingga tiada orang yang melaluinya?”
13 Yehuwa menjawab, “Hal ini berlaku kerana mereka menolak hukum* yang telah Kuberikan kepada mereka, dan kerana mereka tidak menuruti hukum-Ku serta mematuhi firman-Ku.
14 Sebaliknya, mereka berkeras mahu mengikut keinginan hati mereka.+ Mereka menyembah patung-patung Baal, seperti yang diajarkan oleh nenek moyang mereka.+
15 Maka inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan menyuruh umat ini makan tanaman yang pahit, dan Aku akan memaksa mereka minum racun.+
16 Aku akan mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa yang tidak dikenali mereka dan nenek moyang mereka.+ Aku juga akan mendatangkan sebilah pedang untuk menyerang mereka sehingga mereka semua lenyap.’+
17 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:‘Bertindaklah dengan pengertian.
Panggillah para wanita yang menyanyikan lagu ratapan,+Dan jemputlah wanita-wanita yang mahir bernyanyi untuk datang.
18 Biarlah mereka segera menyanyikan lagu ratapan untuk kamu,Supaya air mata bercucuran dari mata kamu,Dan air mata mengalir dari kelopak mata kamu.+
19 Suara ratapan kedengaran dari Sion:+
“Kami sudah hancur binasa!
Betapa malunya kami!
Kami harus meninggalkan negeri kami, dan rumah kami telah dirobohkan.”+
20 Hai para wanita, dengarlah firman Yehuwa.
Terimalah firman yang keluar dari mulut-Nya.
Ajarkanlah lagu ratapan ini kepada anak-anak perempuan kamu,Dan ajarkanlah lagu ratapan ini kepada wanita-wanita yang lain.+
21 Kematian menyelinap masuk melalui jendela-jendela kamu.Ya, kematian telah masuk ke dalam menara-menara kamu yang kukuhUntuk meragut nyawa kanak-kanak di jalanDan pemuda-pemuda di dataran kota.’+
22 Katakanlah, ‘Inilah firman Yehuwa:
“Mayat-mayat orang akan bergelimpangan di permukaan tanah seperti baja,Seperti hasil tuaian* yang baru dipotong oleh para penuai,Dan tidak dikumpulkan oleh sesiapa pun.”’”+
23 Inilah firman Yehuwa:
“Orang yang bijaksana tidak harus berbangga dengan kebijaksanaannya;+Orang yang kuat tidak harus berbangga dengan kekuatannya;Dan orang yang kaya tidak harus berbangga dengan kekayaannya.”+
24 “Tetapi orang yang ingin berbangga haruslah berbangga
Kerana dia mempunyai pengertian dan pengetahuan tentang Aku,+Dan kerana Aku, Yehuwa, ialah Tuhan yang menunjukkan kebaikan dan kasih yang setia serta Tuhan yang menegakkan keadilan di bumi.+Semua ini menyenangkan hati-Ku,”+ firman Yehuwa.
25 “Lihatlah! Masanya akan tiba,” firman Yehuwa, “apabila Aku akan menghukum setiap orang yang bersunat tetapi sebenarnya tidak bersunat,+
26 iaitu orang Mesir,+ orang Yehuda,+ orang Edom,+ orang Ammon,+ orang Moab,+ dan semua penduduk di padang belantara yang telah memotong rambut pada pelipis* mereka.+ Aku akan berbuat demikian kerana semua bangsa tidak bersunat, dan seluruh bangsa Israel tidak membuang kenajisan yang ada dalam hati* mereka.”+