Yesaya 36:1-22

  • Sanherib menyerang Yehuda (1-3)

  • Pengurus minuman mencemuh Yehuwa (4-22)

36  Pada tahun ke-14 pemerintahan Raja Hizkia, Raja Sanherib dari Assyria+ menyerang semua kota berkubu di Yehuda lalu menakluki kota-kota itu.+ 2  Kemudian raja Assyria mengutus ketua pengurus minumannya*+ bersama sepasukan askar yang besar dari Lakhis+ kepada Raja Hizkia yang ada di Yerusalem. Mereka pergi ke Yerusalem dan tiba di saluran yang menyalurkan air dari Kolam Atas.+ Saluran itu terletak di tepi jalan utama yang menuju ke tempat orang mencuci kain.+ 3  Kemudian Elyakim+ anak Hilkia, iaitu pengurus istana, Sebna,+ iaitu setiausaha, dan Yoah anak Asaf, iaitu pencatat, keluar menemui mereka. 4  Ketua pengurus minuman itu berkata kepada mereka, “Beritahulah Hizkia, ‘Inilah kata-kata raja Assyria yang agung: “Mengapakah kamu begitu yakin?+ 5  Kamu berkata, ‘Beta ada rancangan dan beta juga mempunyai kekuatan untuk berperang,’ tetapi semua itu kata-kata kosong sahaja. Siapakah yang kamu harapkan sehingga kamu berani memberontak menentang beta?+ 6  Lihatlah! Kamu mengharapkan bantuan dari Mesir. Tetapi Mesir bagaikan buluh yang telah patah, yang akan menusuk tapak tangan orang yang bersandar padanya. Begitulah Firaun, raja Mesir itu, bagi sesiapa yang berharap kepadanya.+ 7  Nah, jika kamu berkata kepada beta bahawa kamu mengharapkan bantuan daripada Yehuwa, Tuhanmu, bukankah kamu yang telah memusnahkan tempat-tempat pemujaan dan mazbah-Nya?+ Bukankah kamu juga menyuruh penduduk Yehuda dan Yerusalem untuk bersujud di mazbah yang ada di Yerusalem sahaja?”’+ 8  Sekarang, marilah bertaruh dengan tuanku, raja Assyria.+ Tuanku berkata, ‘Jika beta memberi kamu 2,000 ekor kuda, dapatkah kamu mencari penunggang kuda sebanyak itu? 9  Biarpun Mesir menghantar kereta kuda dan pasukan berkuda kepadamu, dapatkah kamu mengalahkan pegawai beta, bahkan pegawai yang paling rendah pangkatnya? 10  Fikirlah, adakah beta dapat menyerang negeri ini tanpa izin daripada Yehuwa? Yehuwa sendiri yang berfirman kepada beta, “Seranglah dan musnahkanlah negeri ini.”’” 11  Kemudian Elyakim, Sebna,+ dan Yoah, menjawab ketua pengurus minuman itu,+ “Tolonglah bercakap kepada kami dalam bahasa Aram*+ kerana kami faham bahasa itu. Janganlah bercakap dalam bahasa orang Yahudi. Semua orang yang ada di tembok kota dapat memahaminya.”+ 12  Tetapi ketua pengurus minuman itu berkata, “Adakah kamu sangka bahawa aku diutus oleh raja Assyria untuk menyampaikan kata-kata ini kepada kamu dan raja kamu sahaja? Tidak. Aku menyampaikan semua ini kepada mereka yang duduk di atas tembok juga. Mereka akan makan najis sendiri dan minum kencing sendiri bersama-sama kamu.” 13  Kemudian, ketua pengurus minuman itu berseru dengan kuat dalam bahasa orang Yahudi,+ “Dengarlah kata-kata raja Assyria yang agung!+ 14  Raja berkata, ‘Janganlah diperdayakan oleh Hizkia kerana dia tidak dapat menyelamatkan kamu.+ 15  Dia mungkin berkata, “Yehuwa pasti akan menyelamatkan kita, dan kota ini tidak akan jatuh ke dalam tangan raja Assyria.” Janganlah terpengaruh dengan kata-kata Hizkia sehingga kamu percaya kepada Yehuwa.+ 16  Usahlah kamu mendengar kata-kata Hizkia kerana beta, raja Assyria, berkata, “Menyerahlah dan berdamailah dengan beta. Kamu akan makan buah anggur daripada pokok anggur kamu sendiri, buah ara daripada pokok ara kamu sendiri, dan minum air daripada perigi kamu sendiri. 17  Kemudian, beta akan membawa kamu ke sebuah negeri yang serupa dengan negeri kamu.+ Negeri itu penuh dengan biji-bijian, wain baharu, pokok anggur, dan makanan. 18  Hizkia mungkin berkata, ‘Yehuwa akan menyelamatkan kita,’ tetapi janganlah tertipu. Pernahkah tuhan bangsa-bangsa lain menyelamatkan negeri mereka daripada tangan raja Assyria?+ 19  Di manakah tuhan orang Hamat dan orang Arpad?+ Di manakah tuhan orang Sefarwaim?+ Pernahkah tuhan-tuhan itu menyelamatkan Samaria daripada genggaman beta?+ 20  Tuhan manakah yang pernah menyelamatkan negerinya daripada tangan beta? Mengapakah kamu berfikir bahawa Yehuwa dapat menyelamatkan Yerusalem?”’”+ 21  Namun, mereka hanya berdiam diri dan tidak mengucapkan sepatah kata pun, kerana Raja Hizkia telah berkata, “Janganlah menjawabnya.”+ 22  Kemudian Elyakim anak Hilkia, iaitu pengurus istana, Sebna,+ iaitu setiausaha, dan Yoah anak Asaf, iaitu pencatat, mengoyakkan jubah mereka. Mereka menghadap Hizkia untuk memberitahunya kata-kata ketua pengurus minuman itu.

Nota Kaki

Atau “mengutus Rabshakeh.”
Atau “Siria.”