Yesaya 37:1-38

  • Hizkia memohon bantuan Tuhan melalui Yesaya (1-7)

  • Sanherib mengancam Yerusalem (8-13)

  • Doa Hizkia (14-20)

  • Yesaya menyampaikan jawapan Tuhan (21-35)

  • Malaikat membunuh 185,000 orang Assyria (36-38)

37  Sebaik sahaja Raja Hizkia mendengar apa yang berlaku, dia mengoyakkan jubahnya dan mengenakan kain guni lalu pergi ke Rumah Yehuwa.+ 2  Kemudian dia menyuruh Elyakim, iaitu pengurus istana, Sebna, iaitu setiausaha, dan ketua-ketua imam, untuk berjumpa dengan Nabi Yesaya+ anak Amoz. Mereka juga memakai kain guni. 3  Mereka menyampaikan pesanan Hizkia kepada nabi itu dengan berkata, “Hari ini hari penderitaan, hari penghinaan, dan hari yang mengaibkan, kerana kita seperti perempuan yang hendak melahirkan anak, tetapi tidak ada kekuatan untuk melahirkannya.+ 4  Raja Assyria telah mengutus ketua pengurus minumannya* untuk menghina Tuhan yang hidup.+ Barangkali Tuhan Yehuwa telah mendengar kata-katanya itu. Biarlah Tuhan Yehuwa menjatuhkan hukuman kepadanya. Berdoalah+ bagi rakyat yang masih ada di sini.”+ 5  Oleh itu, para pegawai Raja Hizkia pergi berjumpa dengan Yesaya,+ 6  dan Yesaya menyuruh mereka menyampaikan pesanan berikut kepada raja: “Inilah firman Yehuwa: ‘Janganlah membiarkan kata-kata pegawai raja Assyria itu+ menakutkan kamu.+ Raja Assyria sedang menghina Aku, 7  maka Aku akan mempengaruhi fikirannya. Dia akan kembali ke negerinya setelah mendengar suatu laporan.+ Aku akan menyebabkannya dibunuh dengan pedang di negerinya sendiri.’”+ 8  Apabila ketua pengurus minuman mendengar bahawa raja Assyria telah meninggalkan Lakhis, dia kembali untuk berjumpa dengan raja dan mendapati bahawa raja sedang berperang menentang Libna.+ 9  Apabila raja Assyria mendengar bahawa Raja Tirhaka dari Etiopia* telah datang untuk berperang dengannya, dia menghantar utusan kepada Hizkia+ sekali lagi. Katanya, 10  “Beritahulah Raja Hizkia dari Yehuda, ‘Tuhan yang kamu percayai itu mungkin berfirman, “Yerusalem tidak akan jatuh ke dalam tangan raja Assyria,” tetapi janganlah terpedaya dengan kata-kata-Nya itu.+ 11  Kamu telah mendengar bagaimana raja-raja Assyria telah memusnahkan semua negeri lain.+ Adakah kamu sangka bahawa kamu akan terselamat? 12  Dapatkah tuhan-tuhan di semua negeri itu menyelamatkan rakyat di situ daripada nenek moyang beta?+ Di manakah Gozan, Haran,+ Rezef, dan orang Eden di Tel-asar? 13  Di manakah raja orang Hamat dan raja orang Arpad? Di manakah raja kota Sefarwaim,+ kota Hena, dan kota Iwa?’” 14  Hizkia mengambil surat-surat itu daripada para utusan dan membacanya. Kemudian dia pergi ke Rumah Yehuwa dan membentangkan surat-surat itu di hadapan Yehuwa.+ 15  Hizkia mula berdoa kepada Yehuwa+ dan berkata, 16  “Ya Yehuwa, ketua angkatan syurga,+ Tuhan orang Israel, yang bertakhta di atas* kerub-kerub,* Engkaulah satu-satunya Tuhan yang benar, yang berkuasa atas semua kerajaan di bumi. Engkau telah menciptakan langit dan bumi. 17  Ya Yehuwa, dengarlah dengan teliti!+ Bukalah mata-Mu dan lihatlah!+ Dengarlah kata-kata Sanherib yang menghina Engkau, ya Yehuwa, Tuhan yang hidup.+ 18  Kami semua tahu, ya Yehuwa, bahawa raja-raja Assyria telah melenyapkan negeri semua bangsa lain+ dan juga menghancurkan negeri mereka sendiri. 19  Mereka juga membakar patung berhala bangsa-bangsa lain.+ Semua patung itu bukanlah tuhan, tetapi hanyalah hasil tangan manusia,+ yang diperbuat daripada kayu dan batu. Itulah sebabnya raja-raja Assyria dapat memusnahkan berhala-berhala itu. 20  Oleh itu, ya Yehuwa, Tuhan kami, selamatkanlah kami daripada raja Assyria. Dengan demikian, semua kerajaan di bumi akan tahu bahawa Engkau satu-satunya Tuhan yang benar, ya Yehuwa.”+ 21  Kemudian Yesaya anak Amoz menyuruh orang memberitahu Hizkia, “Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman, ‘Aku telah mendengar doamu berkenaan Raja Sanherib dari Assyria.+ 22  Maka inilah firman Aku, Yehuwa, berkenaan raja itu: “Sion yang bagaikan anak dara mencela dan mengejek engkau. Kota Yerusalem menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mentertawakan engkau. 23  Engkau mencemuh dan menghina siapa?+ Engkau meninggikan suaraDan memandang rendah terhadap siapa?+ Engkau berbuat demikian terhadap Aku, Tuhan Israel Yang Suci!+ 24  Engkau menghantar hamba-hambamu untuk menghina Aku, Yehuwa.+ Engkau berkata,‘Dengan kereta kudaku yang banyak,Aku akan naik ke gunung yang tinggi,+Ke kawasan terpencil di Lebanon. Di situ, aku akan menebang pokok sedar yang tinggi dan pokok juniper yang terbaik. Aku akan masuk ke tempat kediaman yang paling tinggi di situ dan merentasi hutan Lebanon yang paling tebal. 25  Aku akan menggali perigi-perigi dan minum air dari situ;Aku akan mengeringkan saluran-saluran air* di Mesir dengan tapak kakiku.’ 26  Tidak pernahkah engkau mendengarnya? Hal itu telah ditentukan* sejak dahulu lagi. Aku telah mengaturnya sejak masa silam.+ Sekarang Aku akan melaksanakannya.+ Engkau akan membinasakan kota-kota berkubu sehingga kota-kota itu menjadi reruntuhan yang terbiar.+ 27  Penduduk di situ akan menjadi tidak berdaya;Mereka akan diselubungi rasa takut dan malu. Mereka akan menjadi lemah seperti rumput hijau dan sayur di ladang. Mereka akan menjadi seperti rumput di atas bumbung, yang layu apabila ditiup oleh angin timur yang panas. 28  Tetapi Aku tahu apabila engkau duduk, apabila engkau pergi, apabila engkau kembali,+Dan apabila engkau marah terhadap-Ku,+ 29  Kerana Aku dapat merasai kemarahanmu+ dan mendengar kekecohan yang engkau cetuskan.+ Oleh itu, Aku akan memasang cangkuk pada hidungmu dan kekang+ pada mulutmu,Lalu Aku akan mengheret engkau pulang melalui jalan yang engkau ikut ketika engkau datang.” 30  “‘Hai Hizkia, hal-hal ini akan menjadi tanda bagi engkau agar engkau tahu bahawa firman-Ku pasti terjadi: Pada tahun ini, kamu semua akan makan hasil tuaian yang tumbuh sendiri;* pada tahun kedua, kamu semua akan makan biji-bijian yang tumbuh dari tuaian yang sebelumnya; tetapi pada tahun ketiga, kamu semua akan menabur benih dan menuai hasilnya. Kamu juga akan menanam anggur dan menikmati hasilnya.+ 31  Keturunan Yehuda yang masih hidup+ akan menjadi seperti tumbuhan yang berakar lalu berbuah. 32  Sekumpulan orang yang masih hidup akan meninggalkan Yerusalem, dan mereka yang terselamat akan keluar dari Gunung Sion.+ Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, pasti akan melaksanakan semua itu dengan semangat yang membara.+ 33  “‘Inilah firman Aku, Yehuwa, mengenai raja Assyria:+ “Dia sama sekali tidak akan menjejakkan kakinya di kota ini,+Atau melepaskan anak panahnya ke arah kota ini. Dia juga tidak akan mengangkat perisai untuk melawan kota ini,Atau membuat timbunan tanah untuk mengepungnya.”’+ 34  ‘Dia akan pulang melalui jalan yang diikutnya ketika dia datang;Dia tidak akan memasuki kota ini,’ firman Aku, Yehuwa. 35  ‘Aku akan mempertahankan kota ini+ dan menyelamatkannya demi nama-Ku,+Dan demi hamba-Ku Daud.’”+ 36  Kemudian malaikat Yehuwa pergi ke perkhemahan Assyria dan membunuh 185,000 orang askar. Pada awal keesokan paginya, orang nampak mayat-mayat askar bergelimpangan di situ.+ 37  Oleh itu, Raja Sanherib dari Assyria bertolak dari sana. Dia pulang ke Niniwe+ dan tinggal di situ.+ 38  Ketika dia sedang bersujud di kuil Dewa Nisrokh, anak-anak lelakinya, Adramelekh dan Sarezer, membunuh dia dengan pedang.+ Selepas itu, mereka melarikan diri ke tanah Ararat.+ Anak lelakinya, Esar-hadon,+ menggantikannya sebagai raja.

Nota Kaki

Atau “mengutus Rabshakeh.”
Atau “Habsyah.”
Atau mungkin, “di antara.”
Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.
Atau “terusan-terusan Sungai Nil.”
Harfiah, “terjadi.”
Atau “hasil daripada biji-bijian yang terjatuh lalu bertumbuh.”