Yesaya 7:1-25

  • Pesanan kepada Raja Ahas (1-9)

    • Syear-yasyub (3)

  • Imanuel, tanda daripada Tuhan (10-17)

  • Akibat kerana tidak setia (18-25)

7  Raja Ahas+ ialah anak Yotam, cucu Uzia. Pada masa Ahas memerintah Yehuda, Raja Rezin, iaitu raja negeri Siria, dan Pekah+ anak Remalia, iaitu raja Israel, menyerang Yerusalem, tetapi mereka* tidak berjaya menawan kota itu.+ 2  Kemudian, ada orang membuat laporan berikut kepada keturunan Daud: “Siria sudah bersekutu dengan Efraim.” Apabila mendengar berita itu, Raja Ahas dan rakyatnya menjadi sangat takut sehingga mereka gementar seperti pohon di rimba yang digoyangkan angin. 3  Yehuwa berfirman kepada Yesaya, “Bawalah anakmu Syear-yasyub*+ dan pergilah menghadap Ahas. Dia berada di hujung saluran yang menyalurkan air dari Kolam Atas.+ Saluran itu terletak di tepi jalan utama yang menuju ke tempat orang mencuci kain. 4  Beritahulah dia, ‘Berwaspadalah dan bertenanglah. Janganlah takut kepada anak Remalia+ dan Raja Rezin dari Siria. Meskipun kemarahan mereka berkobar-kobar, mereka hanya seperti dua puntung kayu yang berasap. Oleh itu, janganlah kecut hati. 5  Siria telah berkomplot dengan Efraim dan anak Remalia untuk menentang engkau. Mereka berkata, 6  “Marilah kita menyerang Yehuda dan menghancurkan* negeri itu. Marilah kita menaklukinya* dan melantik anak lelaki Tabeel sebagai rajanya.”+  7  “‘Demikianlah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, “Perkara itu tidak akan berlaku;Muslihat mereka tidak akan berjaya.  8  Damsyik ialah ibu kota Siria,Dan Rezin ialah pemerintah Damsyik. Dalam masa 65 tahun,Efraim akan dihancurkan sehingga bangsa itu tidak wujud lagi.+  9  Samaria+ ialah ibu kota Efraim,Dan anak Remalia+ ialah pemerintah Samaria. Jika iman kamu tidak teguh,Kamu tidak akan selamat.”’” 10  Yehuwa berfirman lagi kepada Ahas, 11  “Mintalah sesuatu dari tempat yang sedalam Kuburan* atau yang setinggi langit, sebagai tanda daripada Aku, Yehuwa, Tuhanmu.”+ 12  Tetapi Ahas menjawab, “Beta tidak mahu meminta tanda. Beta tidak mahu menguji Yehuwa.” 13  Lalu Yesaya berkata, “Dengarlah, hai keturunan Daud. Tidak cukupkah tuanku menguji kesabaran manusia? Mestikah tuanku menguji kesabaran Tuhan juga?+ 14  Baiklah, Yehuwa sendiri akan memberi tuanku satu tanda: Seorang gadis akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki.+ Dia akan menamakan anaknya itu Imanuel.*+ 15  Apabila anak itu cukup dewasa untuk memilih yang baik dan menolak yang jahat, dia hanya akan diberi mentega dan madu sebagai makanan, 16  kerana sebelum anak itu tahu untuk memilih yang baik dan menolak yang jahat, negeri yang diperintah oleh kedua-dua raja yang tuanku takuti akan ditinggalkan kosong.+ 17  Yehuwa akan menghantar raja Assyria+ untuk menyerang tuanku. Pada masa itu, tuanku, keluarga tuanku, dan rakyat tuanku, akan mengalami kesusahan yang lebih dahsyat daripada apa yang pernah berlaku sejak Efraim berpisah dari Yehuda.+ 18  “Pada hari itu, Yehuwa akan bersiul untuk memanggil kawanan lalat dari hujung saluran-saluran air Sungai Nil di Mesir, dan kawanan lebah dari negeri Assyria. 19  Semuanya akan datang dan tinggal di lembah-lembah yang curam, di celah-celah bukit batu, di semua semak berduri, dan di semua padang rumput.* 20  “Pada hari itu, Yehuwa akan menggunakan raja negeri Assyria,+ yang bagaikan sebilah pisau cukur yang disewa dari kawasan Sungai Efrat, untuk mencukur rambut, bulu kaki, dan janggut penduduk Yehuda. 21  “Pada masa itu, orang hanya dapat menyelamatkan seekor lembu muda dan dua ekor biri-biri. 22  Oleh sebab binatang-binatang itu menghasilkan banyak susu, mereka akan makan mentega. Sesungguhnya, semua orang yang masih hidup di negeri itu hanya akan makan mentega dan madu. 23  “Pada masa itu, semua tempat yang dahulunya ditanami 1,000 batang pokok anggur yang nilainya 1,000 keping wang perak, akan penuh dengan lalang dan semak berduri. 24  Orang yang pergi ke sana harus membawa busur dan anak panah, kerana seluruh negeri itu akan ditumbuhi lalang dan semak berduri. 25  Kawasan gunung yang dahulunya diusahakan akan ditumbuhi lalang dan semak berduri, sehingga kamu tidak berani pergi ke situ. Tempat-tempat itu akan menjadi tempat lembu dan biri-biri meragut rumput.”

Nota Kaki

Atau mungkin, “dia.”
Maksudnya “Hanya Sekumpulan Kecil Orang Akan Pulang.”
Atau mungkin, “menakut-nakutkan penduduk.”
Atau “merobohkan temboknya.”
Lihat Kamus.
Maksudnya “Tuhan Menyertai Kita.”
Atau “semua tempat ternakan minum air.”