Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes 11:1-57

  • Kematian Lazarus (1-16)

  • Yesus melegakan hati Marta dan Maria (17-37)

  • Lazarus dibangkitkan (38-44)

  • Komplot membunuh Yesus (45-57)

11  Seorang lelaki yang bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di pekan Betania bersama Maria dan kakaknya* Marta.+ 2  Maria inilah yang telah menuangkan minyak wangi pada kaki Tuan Yesus dan mengeringkan kaki Yesus dengan rambutnya.+ Lazarus yang sakit itu ialah adiknya.* 3  Oleh itu, Marta dan Maria mengirim pesanan berikut kepada Yesus: “Tuan, sahabat kesayangan Tuan sakit.” 4  Tetapi semasa Yesus mendengar hal itu, dia berkata, “Penyakit ini bukanlah untuk menyebabkan kematiannya, tetapi supaya Tuhan dimuliakan.+ Melalui hal ini, Anak Tuhan akan dimuliakan.” 5  Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus. 6  Tetapi semasa Yesus mendapat berita bahawa Lazarus sakit, dia terus tinggal di tempat dia berada untuk dua hari lagi. 7  Selepas itu, dia berkata kepada murid-muridnya, “Mari kita kembali ke Yudea.” 8  Murid-muridnya berkata, “Rabbi,+ baru-baru ini orang Yudea hendak merejam Rabbi.+ Adakah Rabbi ingin pergi ke sana lagi?” 9  Yesus menjawab, “Bukankah siang hari ada 12 jam?+ Sesiapa yang berjalan pada siang hari tidak akan tersandung, kerana dia melihat cahaya dunia ini. 10  Tetapi orang yang berjalan pada malam hari akan tersandung, kerana cahaya tidak ada dalam dirinya.” 11  Selepas berkata demikian, dia menyambung, “Kawan kita Lazarus sudah tidur.+ Tetapi aku akan pergi ke sana untuk membangunkan dia.” 12  Oleh itu, murid-muridnya berkata, “Tuan, jika dia sedang tidur, dia akan sembuh.” 13  Sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh Yesus ialah bahawa Lazarus sudah mati. Tetapi mereka menyangka bahawa maksud Yesus ialah Lazarus sedang tidur. 14  Maka Yesus berkata kepada mereka dengan terus terang, “Lazarus sudah mati.+ 15  Aku tidak berada di situ supaya iman kamu akan bertambah kuat. Itulah sebabnya aku bersukacita bagi pihak kamu. Sekarang, marilah kita pergi kepadanya.” 16  Tomas yang dipanggil Si Kembar berkata kepada murid-murid Yesus yang lain, “Mari kita pergi dengannya supaya kita boleh mati bersama-samanya!”+ 17  Apabila Yesus tiba, dia mendapati bahawa Lazarus sudah diletakkan di dalam makam selama empat hari. 18  Betania terletak tidak jauh dari Yerusalem, jaraknya lebih kurang tiga kilometer* sahaja. 19  Banyak orang Yahudi melawat Marta dan Maria untuk menghiburkan hati mereka kerana Lazarus telah mati. 20  Apabila Marta mendengar bahawa Yesus datang, dia keluar untuk menemuinya, tetapi Maria+ tinggal di rumah. 21  Marta berkata kepada Yesus, “Jika Tuan ada di sini, tentu adikku tidak akan mati. 22  Namun begitu, aku masih percaya bahawa Tuhan akan mengabulkan apa sahaja yang Tuan minta.” 23  Yesus berkata kepadanya, “Adik kamu akan hidup semula.” 24  Marta berkata, “Aku tahu bahawa dia akan hidup semula semasa pembangkitan+ pada hari terakhir.” 25  Yesus berkata kepadanya, “Akulah pembangkitan dan kehidupan.+ Seseorang yang beriman kepada aku akan hidup semula meskipun dia mati. 26  Setiap orang yang hidup dan beriman kepada aku tidak akan mati selama-lamanya.+ Adakah kamu percaya akan hal ini?” 27  Dia menjawab, “Ya Tuan, aku percaya bahawa Tuan ialah Kristus, Anak Tuhan. Tuan ialah dia yang dijanjikan untuk datang ke dunia.” 28  Selepas berkata demikian, dia pergi memanggil adiknya Maria lalu berbisik kepadanya, “Guru+ sudah datang dan dia memanggil kamu.” 29  Apabila Maria mendengar hal ini, dia segera bangun dan pergi menemuinya. 30  Sebenarnya Yesus belum tiba di pekan itu. Dia masih berada di tempat Marta menemuinya. 31  Orang Yahudi yang sedang menghiburkan hati Maria di rumah, mengikut Maria ketika mereka melihat Maria bangun dengan cepat lalu keluar. Mereka menyangka bahawa dia hendak pergi ke makam+ untuk menangis di sana. 32  Apabila Maria tiba di tempat Yesus berada dan melihat dia, dia bersujud di depan kaki Yesus sambil berkata, “Jika Tuan ada di sini, adikku tentu tidak akan mati.” 33  Apabila Yesus melihat Maria menangis dan orang Yahudi yang datang bersama-sama Maria juga menangis, dia berasa sangat susah hati dan pilu. 34  Dia bertanya, “Di manakah kamu meletakkan mayatnya?” Mereka menjawab, “Tuan, marilah lihat.” 35  Yesus mula menangis.+ 36  Maka orang Yahudi berkata, “Lihatlah, dia sangat mengasihi Lazarus!” 37  Tetapi beberapa orang antara mereka berkata, “Dia dapat memulihkan penglihatan orang buta itu.+ Jadi mengapakah dia tidak dapat mencegah kematian orang ini?” 38  Perasaan pilu menyelubungi Yesus lagi, dan dia pergi ke makam Lazarus. Makam itu sebenarnya sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu yang besar. 39  Yesus berkata, “Alihkanlah batu itu ke tepi.” Marta, iaitu kakak kepada lelaki yang mati itu berkata, “Tuan, sudah empat hari mayatnya di situ. Tentu busuk baunya.” 40  Yesus berkata kepadanya, “Bukankah aku sudah mengatakan bahawa jika kamu percaya, kamu akan melihat kemuliaan Tuhan?”+ 41  Maka mereka pun mengalihkan batu itu. Yesus menengadah ke langit+ dan berkata, “Bapa, aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar doaku. 42  Aku tahu bahawa Engkau selalu mendengar doaku. Tetapi aku berkata demikian demi orang ramai yang berdiri di sekeliling aku, agar mereka percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus aku.”+ 43  Selepas mengatakan hal-hal itu, dia berseru dengan suara yang lantang, “Lazarus, keluarlah!”+ 44  Lelaki yang mati itu pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain dan mukanya juga terbalut dengan kain. Yesus berkata kepada mereka, “Tanggalkanlah kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.” 45  Banyak orang Yahudi yang datang untuk melawat Maria beriman kepada Yesus setelah melihat apa yang dilakukan olehnya.+ 46  Tetapi beberapa orang antara mereka pergi kepada orang Farisi untuk memberitahu mereka apa yang telah dilakukan oleh Yesus. 47  Maka, ketua-ketua imam dan orang Farisi mengumpulkan ahli Majlis Orang Yahudi lalu berkata, “Orang ini melakukan banyak mukjizat. Jadi apakah yang harus kita lakukan?+ 48  Jika kita membiarkan dia terus berbuat demikian, semua orang akan beriman kepadanya. Akhirnya orang Roma akan datang lalu merampas Rumah Tuhan dan bangsa kita!” 49  Seorang daripada mereka yang bernama Kayafas,+ iaitu imam agung pada tahun itu, berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa. 50  Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?” 51  Dia tidak berkata demikian menurut fikirannya sendiri. Sebagai imam agung tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk bangsa Yahudi. 52  Dia mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi juga untuk mengumpulkan dan menyatukan anak-anak Tuhan yang tercerai-berai. 53  Sejak hari itu, mereka berkomplot untuk membunuh Yesus. 54  Jadi Yesus tidak lagi berjalan secara terbuka dalam kalangan orang Yahudi. Dia bertolak dari situ dan pergi ke kota Efraim,+ iaitu sebuah kawasan dekat padang belantara. Dia tinggal di sana bersama murid-muridnya. 55  Pada masa itu, Perayaan Paska+ orang Yahudi sudah dekat. Ramai orang dari luar kota pergi ke Yerusalem untuk menjalankan upacara penyucian diri sebelum perayaan itu. 56  Orang ramai asyik mencari Yesus, dan semasa berdiri di Rumah Tuhan, mereka berkata kepada satu sama lain, “Apakah pendapat kamu? Adakah dia akan menghadiri perayaan ini?” 57  Ketua-ketua imam dan orang Farisi mahu menangkap Yesus. Jadi mereka mengeluarkan perintah agar orang yang mengetahui di mana Yesus berada harus melaporkannya kepada mereka.

Nota Kaki

Atau mungkin, “adik perempuannya.” Perkataan Yunani yang digunakan boleh merujuk kepada adik perempuan atau kakak.
Atau mungkin, “abangnya.” Perkataan Yunani yang digunakan boleh merujuk kepada adik lelaki atau abang.
Harfiah, “kira-kira 15 stadium.” Lihat Lampiran B14.