Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes 15:1-27
15 “Akulah pokok anggur yang sejati, dan Bapaku ialah peladang anggur.
2 Setiap carang* padaku yang tidak berbuah akan dibuang oleh-Nya, dan setiap carang yang berbuah akan dipangkas supaya menjadi bersih dan menghasilkan lebih banyak buah.+
3 Kamu sudah dibersihkan oleh apa yang aku ajarkan kepada kamu.+
4 Tetaplah bersatu dengan aku dan aku akan tetap bersatu dengan kamu. Jika carang tidak tetap berada pada pokoknya, carang itu tidak dapat berbuah. Demikian juga, jika kamu tidak tetap bersatu dengan aku,+ kamu tidak dapat berbuah.
5 Akulah pokok anggur dan kamu ialah carang-carangnya. Jika seseorang tetap bersatu dengan aku, aku juga akan bersatu dengannya. Dengan demikian, dia akan menghasilkan banyak buah+ kerana kamu tidak dapat melakukan apa-apa tanpa aku.
6 Sesiapa yang tidak tetap bersatu dengan aku adalah seperti carang yang dicampak ke luar lalu menjadi kering. Orang mengumpulkan carang-carang itu lalu melemparkannya ke dalam api dan dibakar.
7 Jika kamu tetap bersatu dengan aku dan menyimpan kata-kataku dalam hati kamu, mintalah apa sahaja yang kamu inginkan dan permintaan kamu akan dikabulkan.+
8 Bapaku dimuliakan jika kamu terus menghasilkan banyak buah dan membuktikan bahawa kamu ialah murid-muridku.+
9 Aku mengasihi kamu sebagaimana Bapa mengasihi aku.+ Hendaklah kamu tetap berada dalam kasihku.
10 Jika kamu mematuhi perintah-perintahku, kamu akan tetap berada dalam kasihku, sebagaimana aku telah mematuhi perintah-perintah Bapa dan tetap berada dalam kasih-Nya.
11 “Aku telah mengatakan semua ini kepada kamu agar kamu dapat bersukacita seperti aku dan supaya sukacita kamu menjadi sempurna.+
12 Inilah perintahku: Kamu harus saling mengasihi, sebagaimana aku sudah mengasihi kamu.+
13 Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya.+
14 Kamu ialah sahabat-sahabatku jika kamu melakukan apa yang aku perintahkan.+
15 Aku tidak lagi memanggil kamu hamba, kerana seorang hamba tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tuannya. Tetapi aku memanggil kamu sahabat-sahabatku kerana aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku.
16 Kamu tidak memilih aku, tetapi akulah yang memilih kamu. Aku telah melantik kamu untuk terus menghasilkan buah, iaitu buah yang berkekalan. Hal ini supaya apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa atas namaku akan diberikan kepada kamu.+
17 “Aku memberi kamu perintah-perintah ini supaya kamu saling mengasihi.+
18 Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci aku sebelum membenci kamu.+
19 Jika kamu sebahagian daripada dunia, dunia akan mengasihi kamu kerana kamu miliknya. Tetapi aku sudah memilih kamu dan kamu bukan sebahagian daripada dunia.+ Itulah sebabnya dunia membenci kamu.+
20 Ingatlah akan apa yang sudah aku katakan kepada kamu: Tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. Jika mereka telah mematuhi ajaranku, mereka akan mematuhi ajaran kamu juga. Jika mereka telah menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga.+
21 Mereka akan melakukan semua ini terhadap kamu kerana namaku, dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus aku.+
22 Jika aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, mereka tidak berdosa.+ Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai dalih untuk dosa mereka.+
23 Sesiapa yang membenci aku, membenci Bapaku juga.+
24 Seandainya mereka tidak melihat aku melakukan mukjizat yang tidak pernah dilakukan orang lain, mereka tidak berdosa.+ Tetapi sekarang mereka sudah melihat aku dan membenci aku serta Bapaku.
25 Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang tertulis dalam Hukum mereka, ‘Mereka membenci aku tanpa sebab.’+
26 Aku akan mengutus kepada kamu penolong yang datang daripada Bapa, iaitu kuasa suci-Nya yang menyingkapkan kebenaran.+ Apabila penolong yang berasal daripada Bapa itu datang, dia* akan memberikan kesaksian tentang diriku.+
27 Kamu juga akan memberikan kesaksian tentang aku,+ kerana kamu sudah bersama aku sejak mula.