Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes 20:1-31
20 Pada awal pagi hari Ahad,* ketika hari masih gelap, Maria Magdalena datang ke makam Yesus.+ Dia melihat bahawa batu penutup sudah digulingkan dari makam.+
2 Maka dia berlari kepada Simon Petrus dan seorang murid lain yang dikasihi Yesus,+ lalu berkata kepada mereka, “Tuan sudah dikeluarkan dari makam,+ dan kami tidak mengetahui tempat dia diletakkan.”
3 Petrus dan murid itu pun pergi ke makam.
4 Mereka berlari ke situ bersama-sama, tetapi murid itu berlari lebih cepat daripada Petrus dan sampai dahulu di makam.
5 Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ,+ tetapi dia tidak masuk ke dalam makam.
6 Kemudian, Simon Petrus menyusul dari belakang dan masuk ke dalam makam. Dia nampak kain linen di situ.
7 Kain yang digunakan untuk menutupi kepala Yesus digulung tetapi tidak diletakkan bersama kain pembalut mayat.
8 Kemudian murid yang tiba dahulu di makam juga masuk. Dia melihat semuanya lalu percaya.
9 Namun, mereka masih belum memahami ayat yang menyatakan bahawa dia mesti dibangkitkan daripada kematian.+
10 Jadi murid-murid itu pulang ke rumah masing-masing.
11 Tetapi Maria masih berdiri dan menangis di luar makam. Sambil menangis, dia menjenguk ke dalam makam
12 dan melihat dua malaikat+ berpakaian putih yang duduk di tempat mayat Yesus diletakkan sebelum ini, satu di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki.
13 Malaikat-malaikat itu berkata kepada Maria, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis?” Dia menjawab, “Mayat Tuanku sudah diambil, dan aku tidak mengetahui tempat dia diletakkan.”
14 Setelah berkata demikian, dia berpaling dan melihat Yesus berdiri di situ, tetapi dia tidak sedar bahawa orang itu ialah Yesus.+
15 Yesus berkata kepadanya, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis? Siapakah yang kamu cari?” Maria menyangka orang itu ialah tukang kebun, maka dia berkata, “Tuan, jika tuan sudah mengambil mayatnya, beritahulah aku tempat mayatnya diletakkan, supaya aku boleh mengambilnya.”
16 Yesus berkata kepadanya, “Maria!” Maria berpaling lalu berkata kepadanya dalam bahasa Ibrani, “Rabboni!” (yang bermaksud “Guru!”)
17 Yesus berkata kepadanya, “Jangan berpaut padaku, kerana aku belum lagi pergi kepada Bapa. Pergilah kepada saudara-saudaraku+ dan beritahulah mereka, ‘Aku akan pergi kepada Bapaku+ yang juga Bapa kamu, kepada Tuhanku+ yang juga Tuhan kamu.’”
18 Maka Maria Magdalena pergi menyampaikan berita berikut kepada murid-murid Yesus: “Aku sudah melihat Tuan!” Kemudian dia memberitahu mereka apa yang dikatakan oleh Yesus.+
19 Pada hari yang sama, iaitu pada hari Ahad, murid-murid Yesus berkumpul ketika hari sudah petang. Mereka mengunci pintu kerana takut kepada orang Yahudi. Namun begitu, Yesus muncul dan berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Salam sejahtera.”+
20 Selepas berkata demikian, dia menunjukkan kedua-dua tangan dan bahagian rusuknya kepada mereka.+ Murid-muridnya bersukacita apabila melihat Tuan Yesus.+
21 Yesus berkata lagi kepada mereka, “Salam sejahtera.+ Sebagaimana Bapa mengutus aku,+ aku juga mengutus kamu.”+
22 Setelah berkata demikian, dia menghembuskan nafas ke arah mereka dan berkata, “Terimalah kuasa suci Tuhan.+
23 Sesiapa yang dosanya kamu ampunkan, dosanya pun diampunkan, tetapi sesiapa yang dosanya tidak kamu ampunkan, dosanya pun tidak diampunkan.”
24 Tomas+ yang dipanggil Si Kembar, iaitu salah seorang daripada 12 orang rasul Yesus, tidak bersama mereka semasa Yesus muncul.
25 Oleh itu, semasa murid-murid lain memberitahunya, “Kami sudah melihat Tuan!” dia berkata, “Selagi aku tidak melihat kesan paku pada tangannya dan menyentuh kesan paku itu dengan jariku, serta menyentuh rusuknya dengan tanganku,+ aku tidak akan percaya.”
26 Lapan hari kemudian, murid-murid Yesus berkumpul lagi di dalam rumah, dan Tomas juga bersama mereka. Walaupun pintu sudah dikunci, Yesus muncul dan berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Salam sejahtera.”+
27 Kemudian dia berkata kepada Tomas, “Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tanganku. Hulurkanlah tanganmu dan sentuhlah rusukku. Jangan ragu-ragu lagi, tetapi percayalah.”
28 Tomas berkata kepadanya, “Tuanku dan Tuhanku!”
29 Yesus berkata kepadanya, “Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat.”
30 Sudah tentu, ada banyak lagi mukjizat yang dilakukan oleh Yesus di hadapan murid-muridnya, tetapi tidak ditulis dalam gulungan ini.+
31 Namun, hal-hal ini sudah dicatatkan supaya kamu percaya bahawa Yesus ialah Kristus, dan dialah Anak Tuhan. Dengan itu, kamu akan memperoleh hidup melalui namanya kerana kamu percaya.+
Nota Kaki
^ Harfiah, “hari pertama dalam seminggu.” Bagi orang Yahudi, hari Ahad ialah hari pertama dalam seminggu.