Yosua 11:1-23

  • Kota-kota di utara ditawan (1-15)

  • Ringkasan penaklukan Yosua (16-23)

11  Sebaik sahaja Raja Yabin dari Hazor mendengar tentang hal itu, dia mengirim pesan kepada Raja Yobab dari Madon,+ raja dari Simron, raja dari Akhsaf,+  raja-raja dari kawasan pergunungan di utara, raja-raja dari kawasan dataran* di selatan Tasik Kineret,* raja-raja dari Syefela dan perbukitan Dor+ di sebelah barat,  orang Kanaan+ di sebelah timur dan barat negeri Kanaan, orang Amori,+ orang Het, orang Feris, dan orang Yebus dari kawasan pergunungan, dan orang Hewi+ dari kaki Gunung Hermon+ di Mizpa.  Raja-raja itu membawa semua angkatan tentera mereka yang banyak seperti pasir di pantai, bersama dengan kuda dan kereta kuda yang banyak sekali,  lalu bersetuju untuk bertemu di sebuah tempat. Kemudian mereka datang dan berkhemah bersama-sama di Sumber Air Merom untuk menyerang orang Israel.  Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka.+ Esok, kira-kira pada waktu ini, Aku akan menyebabkan mereka semua dibunuh oleh orang Israel. Ketika itu, engkau harus melumpuhkan kuda mereka+ dan membakar kereta kuda mereka.”  Lalu Yosua dan semua askarnya melancarkan serangan mengejut ke atas mereka di Sumber Air Merom.  Yehuwa menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Israel.+ Orang Israel telah mengalahkan mereka dan mengejar mereka sampai ke Sidon Besar,+ Misrefot-maim,+ dan Lembah Mizpe di sebelah timur. Orang Israel membunuh mereka semua sehingga tiada seorang pun yang terselamat.+  Yosua memperlakukan mereka seperti apa yang diperintahkan oleh Yehuwa. Dia melumpuhkan kuda mereka dan membakar kereta kuda mereka.+ 10  Selepas itu, Yosua balik ke Hazor. Dia menawan kota itu dan membunuh rajanya dengan pedang,+ kerana Hazor ialah kota yang paling berpengaruh antara kerajaan-kerajaan itu. 11  Semua orang di kota itu telah dibunuh dengan pedang;+ tiada seorang pun yang dibiarkan hidup.+ Setelah mereka semua dihapuskan, Yosua membakar kota Hazor. 12  Yosua menawan kota-kota semua raja itu dan membunuh mereka dengan pedang.+ Dia menghapuskan semuanya+ seperti yang diperintahkan oleh Musa, hamba Yehuwa itu. 13  Namun kota-kota lain yang dibina di atas bukit tidak dibakar oleh orang Israel. Hanya kota Hazor yang dibakar oleh Yosua. 14  Orang Israel mengambil semua harta benda dan ternakan dari kota-kota itu untuk diri mereka sendiri.+ Tetapi setiap penduduk di situ dibunuh dengan pedang. Mereka semua dihapuskan;+ tiada seorang pun dibiarkan hidup.+ 15  Segala perintah yang disampaikan oleh Yehuwa kepada hamba-Nya Musa telah disampaikan oleh Musa kepada Yosua,+ dan Yosua telah menurut segala perintah itu. Setiap perintah Yehuwa kepada Musa telah dilaksanakan oleh Yosua.+ 16  Yosua telah menakluki seluruh negeri itu, iaitu kawasan pergunungan Yehuda, seluruh kawasan Negeb,+ seluruh kawasan Gosyen, Syefela,+ Araba,+ dan kawasan pergunungan Israel serta kaki-kaki gunung, 17  dari Gunung Halak yang berdekatan Seir sampai ke Baal-gad+ yang terletak di Lembah Lebanon di kaki Gunung Hermon.+ Dia mengalahkan semua raja di situ, menangkap mereka, lalu membunuh mereka. 18  Yosua menghabiskan masa yang agak lama untuk berperang dengan semua raja itu. 19  Tiada kota lain yang berdamai dengan orang Israel kecuali orang Hewi di Gibeon.+ Semua kota yang lain telah dikalahkan dalam pertempuran.+ 20  Yehuwa membiarkan mereka berkeras hati+ sehingga berperang melawan orang Israel, supaya mereka dibinasakan tanpa belas kasihan.+ Mereka telah dihapuskan, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.+ 21  Pada masa itu, Yosua melenyapkan orang Enak+ di kawasan pergunungan, iaitu di Hebron, Debir, Anab, dan seluruh kawasan pergunungan Yehuda serta seluruh kawasan pergunungan Israel. Yosua telah membunuh mereka dan memusnahkan kota-kota mereka.+ 22  Tiada lagi orang Enak di tanah orang Israel,+ kecuali di Gaza,+ Gat,+ dan Asdod.+ 23  Yosua menakluki seluruh tanah itu, seperti yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada Musa.+ Kemudian dia membahagi-bahagikan tanah itu dan memberikannya kepada orang Israel. Setiap suku menerima bahagian masing-masing sebagai harta warisan.+ Selepas itu, tanah mereka aman dan bebas daripada perang.+

Nota Kaki

Atau “dari Araba.”
Iaitu, Tasik Genesaret atau Tasik Galilea.