Yosua 18:1-28

  • Tanah lain dibahagikan di Silo (1-10)

  • Warisan suku Benyamin (11-28)

18  Kemudian, segenap umat Israel berhimpun di Silo+ dan mendirikan khemah pertemuan di situ.+ Mereka sudah menakluki negeri itu,+  tetapi masih ada tujuh suku Israel yang belum menerima bahagian tanah mereka.  Maka Yosua berkata kepada orang Israel, “Berapa lama lagi kamu hendak menunggu sebelum mengambil tanah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, kepada kamu?+  Pilihlah tiga orang daripada setiap suku. Aku hendak mengutus mereka untuk menjelajahi seluruh tanah ini dan membuat peta bagi tanah yang diwarisi oleh suku mereka. Selepas itu, mereka harus kembali kepadaku.  Mereka harus membahagikan tanah itu kepada tujuh bahagian.+ Suku Yehuda akan tetap berada di kawasan mereka di selatan,+ dan keturunan Yusuf akan tetap berada di kawasan mereka di utara.+  Selepas membuat tinjauan, kamu harus menyediakan peta bagi tujuh bahagian tanah itu lalu memberikannya kepadaku di sini. Aku akan membuang undi+ untuk kamu di hadapan Yehuwa, Tuhan kita.  Tetapi suku Lewi tidak akan menerima bahagian tanah bersama-sama kamu,+ kerana tugas sebagai imam Yehuwa ialah warisan mereka.+ Suku Gad, suku Ruben, dan setengah daripada suku Manasye+ sudah menerima tanah di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan oleh Musa, hamba Yehuwa, kepada mereka.”  Maka orang yang dipilih itu bersiap sedia untuk berangkat dan membuat peta bagi tanah itu. Yosua memberitahu mereka, “Pergilah menjelajahi tanah itu, lukiskan petanya, dan kembalilah kepadaku di Silo. Di sini aku akan membuang undi untuk kamu di hadapan Yehuwa.”+  Mereka pun pergi menjelajahi seluruh tanah itu, melukis petanya, dan membahagikannya kepada tujuh bahagian menurut kota-kota di situ. Semua maklumat itu dicatatkan dalam sebuah buku. Selepas itu, mereka kembali kepada Yosua di perkhemahan di Silo. 10  Kemudian Yosua membuang undi untuk mereka di hadapan Yehuwa.+ Demikianlah Yosua membahagikan tanah itu di Silo. Setiap suku Israel menerima bahagian masing-masing.+ 11  Setelah membuang undi, keluarga-keluarga dalam suku Benyamin menerima tanah mereka. Kawasan yang diberikan kepada mereka terletak di antara tanah milik keturunan Yehuda+ dan keturunan Yusuf.+ 12  Di sebelah utara, sempadan mereka bermula di Sungai Yordan dan naik ke lereng di utara Yerikho.+ Kemudian sempadan itu menuju ke barat, ke kawasan gunung, sampai ke padang belantara Bet-awen.+ 13  Dari situ, sempadan itu menuju ke Lus, ke bahagian selatan lereng di Lus, iaitu Bethel.+ Sempadan itu turun ke Atarot-adar,+ ke gunung yang terletak di selatan Bet-horon Hilir.+ 14  Kemudian, dari gunung yang menghadap Bet-horon, sempadan itu membelok ke selatan dan berakhir di Kiryat-baal, iaitu Kiryat-yearim,+ yang merupakan sebuah kota suku Yehuda. Itulah sempadan mereka di sebelah barat. 15  Di sebelah selatan, sempadan mereka bermula dari pinggir Kiryat-yearim, dan menghala ke barat. Sempadan itu sampai ke mata air Neftoah+ 16  lalu turun ke kaki gunung yang menghadap Lembah Hinom,+ di sebelah utara Lembah* Refaim.+ Kemudian sempadan itu turun ke Lembah Hinom, ke lereng di sebelah selatan tanah orang Yebus,+ dan turun ke En-rogel.+ 17  Dari situ sempadan itu menuju ke utara, ke En-semes, lalu ke Gelilot yang berhadapan dengan Lereng Adumim.+ Kemudian sempadan itu turun ke Batu+ Bohan.+ (Bohan ialah keturunan Ruben.) 18  Sempadan itu menuju ke lereng di kawasan utara yang berhadapan dengan Araba, lalu turun ke Araba. 19  Dari situ sempadan itu menuju ke lereng di sebelah utara Bet-hogla,+ dan berakhir di teluk utara Laut Mati,+ di muara Sungai Yordan. Itulah sempadan mereka di sebelah selatan. 20  Sungai Yordan menjadi sempadan di sebelah timur. Itulah semua sempadan bagi tanah yang menjadi warisan keluarga-keluarga keturunan Benyamin. 21  Kota-kota yang dimiliki oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah Yerikho, Bet-hogla, Emek-kezis, 22  Bet-araba,+ Zemaraim, Bethel,+ 23  Awim, Para, Ofra, 24  Kefar-amoni, Ofni, dan Geba.+ Semuanya 12 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya. 25  Mereka juga memiliki kota-kota berikut: Gibeon,+ Rama, Beerot, 26  Mizpe, Kefira, Moza, 27  Rekem, Yirpeel, Tarala, 28  Zela,+ Ha-elef, Yebus, iaitu Yerusalem,+ Gibea,+ dan Kiryat. Semuanya 14 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya. Itulah warisan keluarga-keluarga keturunan Benyamin.

Nota Kaki

Atau “Dataran Rendah.”