Yosua 2:1-24
2 Kemudian, tanpa diketahui orang lain, Yosua anak Nun mengutus dua orang sebagai pengintip. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah periksa negeri itu, terutamanya kota Yerikho.” Apabila dua orang itu bertolak dari Sitim+ dan pergi ke kota tersebut, mereka bermalam di rumah seorang pelacur yang bernama Rahab.+
2 Raja Yerikho diberitahu, “Beberapa orang Israel telah datang pada malam ini untuk mengintip negeri ini!”
3 Maka raja Yerikho menyuruh orang memberitahu Rahab, “Orang yang tinggal di rumahmu itu datang untuk mengintip seluruh negeri ini. Bawalah mereka ke luar!”
4 Rahab sudah menyembunyikan dua orang itu, lalu dia berkata, “Memang ada beberapa orang yang datang kepada aku, tetapi aku tidak tahu dari mana mereka datang.
5 Apabila hari mula gelap, mereka keluar sebelum pintu gerbang kota ditutup. Aku tidak tahu ke mana mereka pergi, tetapi tuan masih sempat menangkap mereka jika tuan segera mengejar mereka.”
6 (Sebenarnya Rahab telah membawa dua orang itu ke bumbung rumahnya dan menyembunyikan mereka di bawah timbunan batang flaks* yang diletakkan di atas bumbung.)
7 Maka para utusan raja itu bergegas ke arah tempat orang menyeberangi Sungai Yordan+ untuk mengejar pengintip-pengintip itu. Sebaik sahaja para utusan raja keluar, pintu gerbang ditutup.
8 Sebelum pengintip-pengintip itu tidur, Rahab naik ke atas bumbung untuk berjumpa dengan mereka.
9 Dia berkata, “Aku tahu Yehuwa pasti akan memberi kamu negeri ini.+ Kamu telah menyebabkan kami dicengkam rasa takut,+ dan semua penduduk negeri ini sudah lemah semangat kerana kamu.+
10 Kami mendengar bahawa Yehuwa telah mengeringkan Laut Merah di hadapan kamu ketika kamu meninggalkan Mesir.+ Kami juga mendengar bahawa kamu telah menghapuskan Sihon+ dan Og,+ iaitu dua orang raja bangsa Amori di sebelah timur Sungai Yordan.
11 Kami sangat takut semasa mendengar hal-hal itu. Tiada seorang pun yang berani menentang kamu, kerana Tuhanmu Yehuwa ialah Tuhan yang berkuasa atas syurga dan bumi.+
12 Sekarang, bersumpahlah demi Yehuwa bahawa kamu akan menunjukkan kasih yang setia kepada keluarga bapaku, sebagaimana aku telah menunjukkan kasih yang setia kepada kamu. Berilah aku suatu tanda jaminan yang dapat aku percayai,
13 supaya ibu bapaku, adik-beradikku, dan semua ahli keluarga mereka akan dibiarkan hidup. Selamatkanlah kami supaya kami tidak dibunuh.”+
14 Pengintip-pengintip itu berkata kepada Rahab, “Nyawa kami ialah jaminan bagimu! Jika kamu tidak memberitahu orang lain tentang kami, maka kami akan menunjukkan kesetiaan dan kebaikan hati* yang melimpah kepadamu apabila Yehuwa memberikan negeri ini kepada kami.”
15 Kemudian Rahab menggunakan tali untuk menurunkan pengintip-pengintip itu melalui tingkap. (Rumahnya dibina pada tembok kota.)+
16 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke kawasan pergunungan supaya kamu tidak dijumpai oleh para utusan raja. Sembunyilah selama tiga hari di sana sehingga mereka kembali ke kota. Setelah itu, kamu boleh meneruskan perjalanan.”
17 Pengintip-pengintip itu berkata, “Kami hanya terikat dengan sumpah kami kepadamu+
18 jika kamu melakukan hal ini: Apabila kami memasuki negeri ini, kamu mesti mengikat tali merah ini pada tingkap tempat kamu menurunkan kami. Kumpulkanlah bapamu, ibumu, saudara-saudaramu, dan semua keluarga bapamu di dalam rumah ini.+
19 Jika ada sesiapa yang keluar dari rumahmu, dia harus bertanggungjawab atas nyawanya sendiri. Kami tidak bersalah sekiranya dia terbunuh. Tetapi, jika sesuatu terjadi kepada orang yang berada di dalam rumahmu, kamilah yang akan menanggung hutang darah itu.
20 Jika kamu memberitahu orang lain tentang kami,+ maka kami akan bebas daripada sumpah kami kepadamu.”
21 Rahab berkata, “Baiklah.”
Kemudian dia menyuruh mereka pergi. Setelah mereka beredar, dia mengikat tali merah itu pada tingkapnya.
22 Pengintip-pengintip itu pergi ke kawasan pergunungan dan tinggal di sana selama tiga hari, sehingga para utusan raja kembali ke kota. Para utusan itu mencari di setiap jalan, tetapi tidak dapat menjumpai mereka.
23 Kemudian, dua orang pengintip itu turun dari kawasan pergunungan, menyeberangi sungai, lalu berjumpa dengan Yosua anak Nun. Mereka memberitahunya semua perkara yang terjadi kepada mereka.
24 Kemudian mereka berkata kepada Yosua, “Yehuwa telah menyerahkan seluruh negeri itu kepada kita.+ Semua penduduk di negeri itu sudah lemah semangat disebabkan kita.”+