Yosua 20:1-9
-
Kota-kota perlindungan (1-9)
20 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Yosua,
2 “Beritahulah orang Israel, ‘Pilihlah kota-kota perlindungan+ seperti yang telah Aku perintahkan kepada kamu melalui Musa.
3 Dengan demikian, sesiapa yang membunuh seseorang dengan tidak sengaja boleh melarikan diri ke situ. Kota-kota itu diberikan kepada kamu agar kamu dilindungi daripada orang yang berhak menuntut pembalasan.*+
4 Seseorang yang membunuh dengan tidak sengaja harus melarikan diri ke salah satu daripada kota-kota itu.+ Kemudian dia harus berdiri di pintu gerbang kota+ dan menjelaskan kepada para pemimpin di situ tentang perkara yang berlaku kepadanya. Mereka harus mengizinkan dia masuk ke dalam kota itu dan memberi dia sebuah tempat kediaman supaya dia dapat tinggal bersama mereka.
5 Jika orang yang berhak menuntut pembalasan* mengejar dia, mereka tidak patut menyerahkan dia kepada orang itu, kerana dia membunuh dengan tidak sengaja, dan bukannya kerana perasaan benci.+
6 Dia mesti tinggal di kota itu sehingga dia diadili di hadapan umum.+ Apabila dia didapati tidak bersalah, dia boleh terus hidup tetapi dia harus tinggal di kota itu sehingga imam agung pada masa itu meninggal.+ Selepas itu, barulah dia boleh kembali ke kota dan ke rumahnya, iaitu dari tempat dia melarikan diri.’”+
7 Maka orang Israel mengkhususkan kota-kota berikut sebagai kota perlindungan: Kedes+ di Galilea, iaitu di kawasan pergunungan Naftali; Sikhem+ di kawasan pergunungan Efraim; dan Kiryat-arba,+ iaitu Hebron di kawasan pergunungan Yehuda.
8 Di kawasan sebelah timur Sungai Yordan, berdekatan Yerikho, mereka memilih Bezer+ di padang belantara yang terletak di dataran tinggi, iaitu di wilayah suku Ruben; Ramot+ di Gilead, iaitu di wilayah suku Gad; dan Golan+ di Basan, iaitu di wilayah suku Manasye.+
9 Itulah kota-kota perlindungan yang dipilih untuk semua orang Israel dan orang asing dalam kalangan mereka. Sesiapa yang telah membunuh seseorang dengan tidak sengaja boleh melarikan diri ke sana.+ Dia tidak akan dibunuh oleh orang yang berhak menuntut pembalasan* tanpa diadili di hadapan umum terlebih dahulu.+