Yosua 23:1-16

  • Ucapan perpisahan Yosua (1-16)

    • Semua janji Yehuwa ditunaikan (14)

23  Yehuwa memberikan kedamaian kepada orang Israel+ dengan menyelamatkan mereka daripada semua musuh di sekeliling mereka. Lama selepas itu, ketika Yosua sudah tua dan lanjut usia,+ 2  Yosua mengumpulkan seluruh umat Israel,+ para pemimpin, ketua, hakim, dan pegawai mereka,+ lalu berkata, “Aku sudah tua dan lanjut usia. 3  Kamu sendiri telah melihat segala yang dilakukan oleh Tuhanmu Yehuwa terhadap semua bangsa itu demi kamu, kerana Tuhanmu Yehuwa telah berperang untuk kamu.+ 4  Lihatlah! Aku sudah membahagi-bahagikan tanah+ di sebelah barat Sungai Yordan sampai ke Laut Tengah* kepada suku-suku kamu sebagai warisan kamu,+ baik tanah yang masih diduduki bangsa-bangsa lain mahupun tanah milik bangsa-bangsa yang sudah aku musnahkan.+ 5  Yehuwa, Tuhan kamu, telah mengusir mereka dari hadapan kamu.+ Dia mengusir mereka untuk kamu, dan kamu dapat memiliki tanah mereka, seperti yang telah dijanjikan oleh Tuhanmu Yehuwa.+ 6  “Hendaklah kamu berani dan teguh untuk mematuhi dan melaksanakan semua yang tercatat dalam kitab yang mengandungi Hukum Musa.+ Janganlah menyimpang daripada Hukum itu, baik ke kiri mahupun ke kanan.+ 7  Janganlah bergaul dengan bangsa-bangsa+ yang masih berada dalam kalangan kamu. Kamu sama sekali tidak boleh menyebut nama tuhan-tuhan mereka+ ataupun menggunakan nama-nama itu untuk bersumpah. Kamu juga tidak boleh menyembah atau bersujud kepada tuhan-tuhan mereka.+ 8  Sebaliknya, kamu harus berpaut pada Yehuwa, Tuhan kamu,+ sebagaimana yang telah kamu lakukan sampai sekarang. 9  Yehuwa akan mengusir bangsa-bangsa yang besar dan kuat dari hadapan kamu.+ Sampai hari ini, tidak ada seorang pun yang dapat mengalahkan kamu.+ 10  Satu orang dalam kalangan kamu akan mengusir satu ribu orang,+ kerana Yehuwa, Tuhan kamu, berperang untuk kamu,+ sebagaimana yang telah dijanjikan-Nya.+ 11  Oleh itu, kamu harus sentiasa berjaga-jaga+ dengan mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu.+ 12  “Tetapi jika kamu meninggalkan Tuhan dan berpaut pada bangsa-bangsa yang masih tinggal bersama kamu,+ menjalin ikatan perkahwinan dengan mereka,+ dan bergaul dengan mereka, 13  kamu pasti tahu bahawa Tuhanmu Yehuwa tidak akan mengusir bangsa-bangsa itu untuk kamu lagi.+ Mereka akan menjadi seperti jerat dan seperti perangkap untuk kamu. Mereka juga akan menjadi seperti cambuk pada belakang kamu+ dan seperti duri di dalam mata kamu, sehingga kamu lenyap dari tanah yang indah ini yang telah diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu. 14  “Aku akan meninggal tidak lama lagi. Kamu semua memang tahu dengan sepenuh hati dan dengan segenap jiwa bahawa tiada satu pun antara semua perkara baik yang dijanjikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu telah gagal ditunaikan. Semuanya menjadi kenyataan bagi kamu. Tiada satu janji pun yang dimungkiri-Nya.+ 15  Tetapi sebagaimana Yehuwa, Tuhan kamu, menepati semua perkara baik yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu,+ demikian juga Yehuwa akan mendatangkan semua malapetaka yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu. Dia akan melenyapkan kamu dari tanah yang indah ini yang telah diberikan oleh Tuhanmu Yehuwa, kepada kamu.+ 16  Yehuwa, Tuhan kamu, telah memerintahkan kamu untuk mematuhi perjanjian-Nya. Tetapi jika kamu melanggar perjanjian itu, dan jika kamu menyembah serta bersujud kepada tuhan-tuhan lain, maka kemarahan Yehuwa akan berkobar-kobar terhadap kamu.+ Dalam masa yang singkat, kamu akan lenyap dari tanah yang indah ini yang telah diberikan-Nya kepada kamu.”+

Nota Kaki

Iaitu, Laut Mediterranean.