Yosua 24:1-33
24 Kemudian Yosua mengumpulkan semua suku Israel di Sikhem. Dia memanggil para pemimpin, ketua, hakim, dan pegawai Israel,+ lalu mereka berdiri di hadapan Tuhan yang benar.
2 Yosua berkata kepada semua orang, “Demikianlah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Pada masa dahulu,+ nenek moyang kamu,+ termasuk Terah, iaitu bapa kepada Abraham dan Nahor, tinggal di seberang Sungai Efrat, dan mereka menyembah tuhan-tuhan lain.+
3 “‘Kemudian, Aku membawa Abraham,+ nenek moyang kamu itu, dari seberang Sungai Efrat dan memimpinnya untuk menjelajahi seluruh negeri Kanaan. Aku memberinya banyak keturunan.+ Aku memberinya Ishak,+
4 lalu kepada Ishak Aku berikan Yakub dan Esau.+ Aku memberi Esau Gunung Seir sebagai miliknya,+ manakala Yakub dan anak-anaknya pergi ke Mesir.+
5 Kemudian Aku mengutus Musa dan Harun,+ dan Aku mendatangkan tulah atas Mesir,+ lalu Aku membawa kamu keluar dari situ.
6 Semasa Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir,+ orang Mesir mengejar mereka dengan kereta kuda dan askar berkuda sampai ke Laut Merah.+ Nenek moyang kamu yang berada di tepi laut
7 berseru untuk meminta tolong daripada Aku, Yehuwa.+ Oleh itu Aku mendatangkan kegelapan antara mereka dengan orang Mesir, dan menyebabkan air laut menenggelami orang Mesir.+ Kamu telah menyaksikan perbuatan-Ku di Mesir dengan mata kamu sendiri.+ Selepas itu, kamu tinggal di padang belantara untuk masa yang lama.+
8 “‘Kemudian, Aku membawa kamu ke sebelah timur Sungai Yordan, ke tanah yang didiami orang Amori. Mereka berperang melawan kamu,+ tetapi Aku menyerahkan mereka ke dalam tangan kamu agar kamu dapat menakluki tanah mereka, dan Aku telah membinasakan mereka dari hadapan kamu.+
9 Kemudian raja dari Moab, iaitu Balak anak Zipor, bangkit dan melawan orang Israel. Dia mengutus orang kepada Bileam anak Beor dan memintanya mengutuk kamu.+
10 Tetapi Aku enggan mendengarkan Bileam.+ Sebaliknya, Aku menyebabkan dia memberkati kamu berkali-kali.+ Demikianlah Aku menyelamatkan kamu daripada tangannya.+
11 “‘Kemudian kamu menyeberangi Sungai Yordan+ lalu tiba di Yerikho.+ Para pemimpin* di Yerikho, termasuk orang Amori, orang Feris, orang Kanaan, orang Het, orang Girgashi, orang Hewi, dan orang Yebus berperang melawan kamu. Tetapi Aku telah menyerahkan mereka ke dalam tangan kamu.+
12 Aku menyebabkan musuh kamu patah semangat* sebelum kamu tiba. Aku telah mengusir mereka dari hadapan kamu,+ seperti apa yang berlaku kepada dua orang raja Amori. Hal itu bukan disebabkan oleh pedang dan panah kamu.+
13 Aku memberi kamu tanah yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina,+ dan kamu tinggal di sana. Kamu juga memakan buah dari ladang anggur dan daripada pokok-pokok zaitun yang tidak kamu tanam.’+
14 “Oleh itu, takutlah akan Yehuwa dan sembahlah Dia dengan setia dan tanpa cela.*+ Singkirkanlah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesir dan di seberang Sungai Efrat,+ lalu sembahlah Yehuwa.
15 Tetapi, jika kamu berfikir bahawa menyembah Yehuwa bukanlah suatu perkara yang baik, pilihlah sekarang siapa yang akan kamu sembah,+ sama ada tuhan-tuhan yang disembah oleh nenek moyang kamu di seberang Sungai Efrat,+ atau tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang sedang kamu tinggal.+ Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami akan menyembah Yehuwa.”
16 Lalu orang Israel berkata, “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan Yehuwa dan menyembah tuhan-tuhan lain.
17 Yehuwa, Tuhan kitalah, yang membawa kita dan nenek moyang kita keluar dari negeri Mesir,+ tempat kita diperhamba.+ Dia telah melakukan mukjizat-mukjizat yang hebat di depan mata kita.+ Dia juga melindungi kita sepanjang perjalanan kita, dan semasa kita melalui negeri bangsa-bangsa lain.+
18 Yehuwa telah mengusir dari hadapan kita semua bangsa yang tinggal di negeri ini, termasuk orang Amori. Oleh itu, kami juga akan menyembah Yehuwa, kerana Dialah Tuhan kita.”
19 Kemudian Yosua berkata kepada mereka, “Adakah kamu benar-benar dapat menyembah Yehuwa? Dia Tuhan yang suci+ dan Dia ingin kamu menyembah-Nya sahaja.+ Jika kamu gagal berbuat demikian, Dia tidak akan mengampunkan kesalahan* dan dosa-dosa kamu.+
20 Jika kamu meninggalkan Yehuwa dan menyembah tuhan-tuhan bangsa asing, Dia akan menentang kamu dan memusnahkan kamu, biarpun Dia pernah berbuat baik terhadap kamu.”+
21 Umat Israel berkata kepada Yosua, “Kami akan menyembah Yehuwa!”+
22 Yosua menjawab, “Kamu menjadi saksi bagi diri sendiri, bahawa kamu sendirilah yang memilih untuk menyembah Yehuwa.”+ Mereka berkata, “Ya, kami menjadi saksi.”
23 Yosua berkata lagi, “Jika demikian, buanglah tuhan-tuhan bangsa asing yang ada dalam kalangan kamu. Sembahlah Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan sepenuh hati.”
24 Lalu umat Israel berkata kepada Yosua, “Kami akan menyembah Yehuwa, Tuhan kita, dan kami akan mentaati-Nya!”
25 Maka, pada hari itu Yosua membuat perjanjian dengan umat itu di Sikhem. Dia menetapkan peraturan dan hukum bagi mereka.
26 Yosua menuliskan kata-kata itu dalam kitab yang mengandungi Hukum Tuhan.+ Kemudian dia mengambil sebuah batu yang besar+ dan menegakkannya di bawah pokok besar yang berdekatan tempat suci Yehuwa.
27 Kemudian Yosua berkata kepada mereka, “Lihatlah! Batu ini saksi kita,+ kerana batu ini telah mendengar segala firman Yehuwa kepada kita. Batu ini akan menjadi saksi bagi kamu supaya kamu tidak menyangkal Tuhan kamu.”
28 Selepas itu, Yosua menyuruh umat Israel pulang ke tanah milik masing-masing.+
29 Beberapa lama kemudian, Yosua anak Nun, hamba Yehuwa itu, meninggal ketika dia berumur 110 tahun.+
30 Maka dia dikebumikan di tanah warisannya di Timnat-serah,+ yang terletak di kawasan pergunungan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas.
31 Selama Yosua masih hidup, umat Israel terus menyembah Yehuwa. Mereka juga tetap menyembah-Nya setelah Yosua meninggal dan sepanjang hayat para pemimpin yang mengetahui segala perbuatan Yehuwa untuk umat Israel.+
32 Semasa orang Israel keluar dari Mesir, mereka telah membawa tulang-tulang Yusuf+ dan mengebumikannya di Sikhem, di tanah yang dibeli oleh Yakub daripada keturunan Hamor,+ bapa Sikhem, dengan harga 100 keping wang perak.+ Tanah itu menjadi milik keturunan Yusuf.+
33 Eleazar anak Harun juga meninggal,+ lalu dikebumikan di Bukit Pinehas,+ iaitu tanah di kawasan pergunungan Efraim yang telah diberikan kepada Pinehas.