Yosua 3:1-17

  • Orang Israel menyeberangi Yordan (1-17)

3  Pada awal pagi Yosua bangun lalu berangkat bersama dengan semua umat Israel. Mereka meninggalkan Sitim+ lalu sampai di kawasan Sungai Yordan. Mereka bermalam di situ sebelum menyeberangi sungai. 2  Selepas tiga hari, para pemimpin Israel+ pergi ke seluruh perkhemahan 3  lalu memberikan perintah berikut kepada umat Israel: “Sebaik sahaja kamu nampak imam-imam daripada suku Lewi membawa tabut perjanjian Yehuwa, Tuhan kamu,+ berangkatlah dan ikutlah mereka. 4  Pastikan terdapat jarak kira-kira 900 meter* antara kamu dengan tabut itu, dan janganlah menghampiri tabut perjanjian agar kamu tahu jalan yang harus kamu ikuti, kerana jalan itu belum pernah kamu lalui.” 5  Yosua berkata kepada umat itu, “Sucikanlah diri kamu,+ kerana esok Yehuwa akan melakukan hal-hal yang menakjubkan dalam kalangan kamu.”+ 6  Kemudian Yosua berkata kepada para imam, “Angkatlah tabut+ perjanjian dan berjalanlah mendahului umat Israel.” Maka para imam pun berbuat demikian. 7  Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Mulai hari ini, Aku akan memuliakan engkau di hadapan semua umat Israel,+ agar mereka tahu bahawa Aku akan menyertaimu+ sebagaimana Aku telah menyertai Musa.+ 8  Berikanlah perintah berikut kepada imam-imam yang membawa tabut perjanjian: ‘Sebaik sahaja kamu sampai di tebing Sungai Yordan, kamu harus masuk ke dalam sungai dan berdiri di dalam sungai itu.’”+ 9  Yosua berkata kepada orang Israel, “Marilah dan dengarlah firman Yehuwa, Tuhan kamu.” 10  Yosua berkata, “Kamu akan tahu bahawa Tuhan yang hidup berada dalam kalangan kamu,+ dan Dia pasti akan mengusir orang Kanaan, orang Het, orang Hewi, orang Feris, orang Girgashi, orang Amori, dan orang Yebus dari hadapan kamu.+ Kamu akan mengetahui hal ini apabila 11  kamu melihat tabut perjanjian Tuhan yang berkuasa atas seluruh bumi, dibawa turun ke Sungai Yordan di hadapan kamu. 12  Sekarang, pilihlah 12 orang, seorang daripada tiap-tiap suku Israel.+ 13  Sebaik sahaja para imam yang membawa tabut perjanjian Yehuwa, Tuhan yang berkuasa atas seluruh bumi, memasukkan kaki ke dalam air Sungai Yordan, air sungai yang mengalir dari hulu akan berhenti, dan menjadi benteng air yang terbendung di satu tempat.”+ 14  Apabila umat Israel berangkat dari tapak perkhemahan mereka untuk menyeberangi Sungai Yordan, para imam yang membawa tabut+ perjanjian berjalan di hadapan mereka. 15  Masa itu ialah musim menuai, dan sepanjang waktu itu, paras air Sungai Yordan akan naik dan membanjiri kawasan tebing sungai.+ Tetapi sebaik sahaja para imam yang membawa tabut perjanjian tiba di Sungai Yordan dan memasukkan kaki mereka ke dalam air di tebing sungai, 16  air yang mengalir dari hulu sungai pun berhenti. Jauh di hulu sungai, sebuah benteng air terbentuk di Adam, iaitu sebuah kota berhampiran Zaretan. Pada masa yang sama, air di hilir yang mengalir ke Laut Araba, iaitu Laut Mati, semakin surut. Setelah air sungai dihentikan, umat Israel menyeberangi sungai di tempat yang berhadapan dengan kota Yerikho. 17  Sementara orang Israel berjalan di atas dasar Sungai Yordan yang kering,+ para imam yang membawa tabut perjanjian Yehuwa terus berdiri di tengah-tengah dasar sungai yang kering itu,+ sehingga seluruh umat Israel tiba di seberang.

Nota Kaki

Harfiah, “kira-kira 2,000 hasta.” Lihat Lampiran B14.