Yosua 5:1-15

  • Bersunat di Gilgal (1-9)

  • Merayakan Paska; manna berhenti (10-12)

  • Ketua tentera Yehuwa (13-15)

5  Semua raja orang Amori+ yang berada di sebelah barat Sungai Yordan, dan semua raja orang Kanaan+ yang berada di persisiran laut mendengar bahawa Yehuwa telah mengeringkan Sungai Yordan di hadapan orang Israel sehingga mereka semua menyeberanginya. Sebaik sahaja raja-raja tersebut mendengar hal itu, mereka patah semangat+ dan hilang keberanian disebabkan orang Israel.+ 2  Pada masa itu, Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Buatlah beberapa bilah pisau daripada batu dan sunatlah+ orang Israel sekali lagi.” 3  Maka Yosua membuat beberapa bilah pisau daripada batu dan menyunat orang Israel di Gibeat-haaralot.*+ 4  Yosua menyunat mereka atas sebab berikut: Selepas orang Israel keluar dari Mesir, semua lelaki dalam kalangan mereka yang cukup umur untuk berperang telah meninggal semasa mereka dalam perjalanan di padang belantara.+ 5  Semua orang yang keluar dari Mesir telah disunat, tetapi semua orang yang lahir dalam perjalanan di padang belantara tidak disunat. 6  Orang Israel yang meninggalkan Mesir telah mengembara di padang belantara selama 40 tahun,+ sehingga semua lelaki dalam kalangan mereka yang cukup umur untuk berperang telah mati kerana mereka mengingkari perintah Yehuwa.+ Yehuwa bersumpah bahawa mereka tidak sekali-kali dibenarkan melihat tanah+ yang melimpah dengan susu dan madu,+ meskipun Yehuwa telah bersumpah kepada nenek moyang mereka bahawa Dia akan memberikan tanah itu kepada umat-Nya.*+ 7  Maka Tuhan telah menggantikan mereka dengan anak-anak mereka.+ Anak-anak inilah yang disunat oleh Yosua, kerana mereka belum pernah disunat sepanjang perjalanan. 8  Selepas disunat, seluruh bangsa itu terus berehat di perkhemahan sehingga mereka sembuh. 9  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Pada hari ini Aku telah menyingkirkan* penghinaan orang Mesir terhadap kamu.” Itulah sebabnya tempat itu dipanggil Gilgal*+ sampai hari ini. 10  Orang Israel terus berkhemah di Gilgal. Pada hari ke-14 bulan pertama, mereka merayakan Paska*+ pada waktu senja di padang gurun yang berhampiran dengan Yerikho. 11  Keesokan harinya selepas merayakan Paska, mereka mula makan roti tidak beragi+ dan bijirin panggang, iaitu hasil tanah Kanaan. 12  Pada hari orang Israel makan hasil tanah Kanaan, mereka tidak diberi manna lagi.+ Mulai tahun itu, mereka makan hasil tanah di negeri itu.+ 13  Ketika Yosua berada dekat kota Yerikho, dia nampak seorang lelaki+ berdiri di depannya sambil memegang sebilah pedang yang terhunus.+ Yosua menghampirinya dan bertanya, “Adakah kamu berada di pihak kami atau di pihak lawan kami?” 14  Lelaki itu menjawab, “Sebenarnya, aku datang sebagai ketua tentera Yehuwa.”+ Yosua bersujud kepadanya sebagai tanda hormat dan berkata, “Apakah perintah tuan kepada hamba?” 15  Ketua tentera Yehuwa menjawab, “Tanggalkanlah kasutmu kerana kamu sedang berdiri di tempat yang suci.” Yosua pun segera berbuat demikian.+

Nota Kaki

Maksudnya “Bukit Kulup.”
Harfiah, “kepada kita.”
Harfiah, “menggulingkan.”
Maksudnya “Menggulingkan.”
Lihat Kamus.