Yosua 6:1-27

  • Tembok Yerikho roboh (1-21)

  • Rahab sekeluarga selamat (22-27)

6  Pada waktu itu, pintu-pintu gerbang kota Yerikho ditutup rapat kerana orang Israel. Tiada seorang pun yang dapat masuk atau keluar dari situ.+ 2  Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Lihatlah, Aku telah menyerahkan kota Yerikho, rajanya, dan semua askarnya yang perkasa kepadamu.+ 3  Hendaklah semua askar Israel berkawad mengelilingi kota itu sekali sehari. Lakukanlah hal itu selama enam hari. 4  Tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan tabut perjanjian. Pada hari ketujuh, kamu semua harus berkawad mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali, dan imam-imam itu harus meniup trompet.+ 5  Sebaik sahaja semua orang mendengar trompet ditiup dengan bunyi yang panjang, mereka harus berteriak dengan kuat, lalu tembok kota itu akan roboh.+ Pada waktu itu, semua askarmu harus menyerbu kota itu.” 6  Maka Yosua anak Nun memanggil para imam dan berkata kepada mereka, “Bawalah tabut perjanjian Yehuwa, dan tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan tabut itu.”+ 7  Kemudian Yosua berkata kepada askar-askarnya, “Pergilah berkawad mengelilingi kota itu. Angkatan bersenjata+ harus berjalan di hadapan tabut Yehuwa.” 8  Sebagaimana yang diperintahkan oleh Yosua, tujuh orang imam yang membawa trompet berjalan di hadapan Yehuwa sambil meniup trompet masing-masing, diikuti dengan imam-imam yang membawa tabut perjanjian Yehuwa. 9  Angkatan bersenjata berjalan di hadapan tujuh orang imam yang meniup trompet, dan terdapat barisan pengawal yang berjalan di belakang para imam yang membawa tabut perjanjian. Sepanjang waktu itu, para imam terus meniup trompet. 10  Yosua telah memberikan perintah berikut kepada askar-askarnya: “Jangan berteriak, bersuara, atau mengucapkan sepatah kata pun. Pada hari aku menyuruh kamu berteriak, barulah kamu boleh berteriak.” 11  Demikianlah Yosua menyuruh orang membawa tabut Yehuwa mengelilingi kota itu satu kali. Selepas berbuat demikian, mereka pulang ke perkhemahan dan bermalam di situ. 12  Keesokan paginya, Yosua bangun awal, dan para imam mengangkat tabut+ Yehuwa. 13  Tujuh orang imam yang membawa trompet berjalan di hadapan tabut Yehuwa sambil meniup trompet. Pada masa yang sama, angkatan bersenjata berjalan di hadapan tujuh orang imam itu, manakala barisan pengawal berjalan di belakang imam-imam yang mengangkat tabut Yehuwa. Sepanjang masa itu, trompet terus ditiup. 14  Pada hari kedua, mereka berkawad mengelilingi kota itu satu kali, lalu kembali ke perkhemahan. Itulah yang dilakukan oleh mereka selama enam hari.+ 15  Pada hari ketujuh mereka bangun awal ketika fajar menyingsing. Mereka berkawad mengelilingi kota itu dengan cara yang sama sebanyak tujuh kali. Hanya pada hari itu, mereka berkawad mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali.+ 16  Pada kali ketujuh, apabila imam-imam meniup trompet, Yosua berkata kepada askar-askarnya, “Berteriaklah,+ kerana Yehuwa sudah menyerahkan kota itu kepada kamu! 17  Kota itu dan segala yang ada di dalamnya mesti dimusnahkan sama sekali.+ Semua itu milik Yehuwa. Hanya Rahab,+ iaitu pelacur itu, dan semua orang yang ada bersamanya di dalam rumahnya diizinkan hidup, kerana dia telah menyembunyikan pengintip-pengintip kita.+ 18  Tetapi kamu mesti menjauhi apa sahaja yang mesti dimusnahkan,+ supaya kamu tidak menginginkannya lalu mengambilnya.+ Jika kamu mengambil sesuatu yang mesti dimusnahkan, kamu akan mendatangkan malapetaka kepada perkhemahan orang Israel lalu menyebabkan mereka semua dimusnahkan.+ 19  Semua emas, perak, dan benda-benda yang diperbuat daripada tembaga dan besi, suci di mata Yehuwa+ dan harus dibawa ke tempat penyimpanan harta milik Yehuwa.”+ 20  Apabila trompet dibunyikan, askar-askar pun berteriak dengan kuat.+ Sebaik sahaja mereka berbuat demikian, tembok kota itu roboh.+ Kemudian, mereka menyerbu kota itu dan menawannya. 21  Segala sesuatu yang ada di dalam kota itu telah dimusnahkan oleh mereka. Semua lelaki dan perempuan, baik yang tua mahupun yang muda, dan semua lembu, biri-biri, dan keldai telah dibunuh oleh mereka dengan pedang.+ 22  Yosua berkata kepada dua orang yang pernah mengintip negeri itu, “Pergilah ke rumah pelacur itu, lalu bawalah dia dan semua orang yang ada bersamanya keluar, seperti yang telah kamu janjikan kepadanya.”+ 23  Maka dua orang pengintip muda itu masuk ke dalam rumah Rahab lalu membawanya keluar bersama-sama ibu bapanya, saudara-saudaranya, dan semua orang yang ada bersamanya.+ Selepas itu, mereka membawa seluruh ahli keluarga Rahab ke tempat yang selamat di luar perkhemahan orang Israel. 24  Kemudian mereka membakar kota itu dan semua yang ada di dalam kota itu. Tetapi emas, perak, dan benda-benda yang diperbuat daripada tembaga dan besi dibawa ke tempat penyimpanan harta di rumah Yehuwa.+ 25  Yosua menyelamatkan Rahab, iaitu pelacur itu, keluarga bapanya, dan semua orang yang ada bersamanya,+ kerana Rahab telah menyembunyikan dua orang yang diutus oleh Yosua untuk mengintip kota Yerikho.+ Rahab menetap di Israel sampai hari ini.+ 26  Pada masa itu, Yosua bersumpah di hadapan umum,* “Sesiapa yang mencuba membina semula kota Yerikho akan menjadi orang yang terkutuk di hadapan Yehuwa. Sesiapa yang meletakkan asas kota itu akan kehilangan anak sulungnya, manakala sesiapa yang memasang pintu-pintu gerbang kota itu akan kehilangan anak bongsunya.”+ 27  Yehuwa menyertai Yosua+ dan dia menjadi masyhur* di seluruh bumi.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “menyuruh umat itu bersumpah.”
Atau mungkin merujuk kepada kemasyhuran Yehuwa.