Yosua 8:1-35

  • Serangan hendap atas Ai (1-13)

  • Kota Ai ditawan (14-29)

  • Hukum dibacakan di Gunung Ebal (30-35)

8  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut atau gentar.+ Bawalah semua askarmu dan pergilah menyerang kota Ai. Lihatlah, Aku telah menyerahkan raja Ai, rakyatnya, kotanya, dan tanahnya kepadamu.+ 2  Perlakukanlah kota Ai dan rajanya sebagaimana kamu telah memperlakukan kota Yerikho dan rajanya.+ Tetapi kamu boleh mengambil harta benda dan ternakan di kota itu untuk diri sendiri. Bersedialah untuk melancarkan serangan hendap dari belakang kota itu.” 3  Maka Yosua dan semua askarnya pergi menyerang Ai. Yosua memilih 30,000 orang askar yang perkasa dan menyuruh mereka pergi pada waktu malam. 4  Dia memberi mereka perintah berikut: “Bersembunyilah di belakang kota itu, tetapi jangan terlalu jauh, dan kamu semua harus bersiap sedia. 5  Aku dan semua askar yang ada bersamaku akan menghampiri kota itu. Apabila orang Ai keluar untuk menyerang kami seperti dahulu,+ kami akan melarikan diri. 6  Orang Ai akan berfikir, ‘Orang Israel sedang melarikan diri seperti dahulu.’+ Jadi, apabila mereka keluar untuk mengejar kami, kami akan melarikan diri dan mengumpan mereka sehingga mereka jauh dari kota. 7  Pada masa itu, kamu harus keluar dari tempat persembunyian dan menawan kota itu. Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyerahkan kota itu kepada kamu. 8  Bakarlah kota itu sebaik sahaja kamu menawannya.+ Lakukanlah semua yang difirmankan oleh Yehuwa. Itulah perintahku kepada kamu.” 9  Kemudian Yosua menyuruh mereka berangkat, lalu mereka pergi ke tempat persembunyian. Mereka bersembunyi di antara Bethel dan Ai, di sebelah barat Ai. Yosua pula bermalam bersama askar-askar yang lain. 10  Keesokan paginya, Yosua bangun awal dan mengumpulkan semua askarnya. Kemudian, dia dan para pemimpin umat Israel memimpin mereka ke Ai. 11  Askar-askar+ yang bersama dengan Yosua terus maju ke bahagian depan kota. Mereka berkhemah di sebelah utara Ai, dan terdapat lembah di antara mereka dan Ai. 12  Pada masa yang sama, Yosua memilih kira-kira 5,000 orang askar dan menyuruh mereka bersembunyi+ di antara Bethel+ dan Ai, di sebelah barat kota Ai. 13  Maka pasukan utama berkhemah di sebelah utara kota+ dan pasukan serangan hendap pula berada di sebelah barat kota.+ Pada waktu malam, Yosua pergi ke tengah-tengah lembah* itu. 14  Sebaik sahaja raja kota Ai nampak orang Israel, dia dan askar-askarnya segera keluar dari kota pada awal pagi untuk berperang dengan mereka di sebuah tempat yang berhadapan dengan padang gurun. Raja tidak tahu bahawa dia akan diserbu dari belakang kota itu. 15  Semasa askar-askar Ai menyerang, Yosua dan orang Israel melarikan diri mengikut jalan yang menuju ke padang belantara.+ 16  Kemudian semua askar di kota Ai dikumpulkan untuk mengejar Yosua dan askar-askarnya. Apabila mereka mengejar Yosua, mereka semakin jauh dari kota Ai. 17  Semua lelaki dari kota Ai dan Bethel keluar untuk mengejar orang Israel dan mereka membiarkan pintu gerbang kota terbuka. 18  Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Halakan lembing yang engkau pegang itu ke arah kota Ai.+ Aku akan menyerahkan kota itu ke dalam tanganmu.”+ Maka Yosua pun berbuat demikian. 19  Sebaik sahaja Yosua mengangkat tangannya, askar-askar yang bersembunyi segera bangkit dan lari ke dalam kota itu. Mereka menawan kota Ai dan segera membakarnya.+ 20  Semasa orang Ai menoleh ke belakang dan nampak asap dari kota itu naik ke langit, mereka tidak berdaya untuk berlari ke mana-mana lagi. Kemudian orang Israel yang sedang berlari ke arah padang belantara berpatah balik dan menyerang musuh-musuh yang mengejar mereka. 21  Yosua dan semua orang Israel melihat bahawa pasukan serangan hendap telah menawan kota Ai, dan mereka juga melihat asap dari kota itu naik ke langit. Maka mereka berpatah balik dan menyerang orang Ai. 22  Pasukan serangan hendap yang berada di dalam kota juga keluar untuk menyerang mereka. Orang Ai dikepung oleh askar Israel, baik dari depan mahupun dari belakang. Orang Israel membunuh mereka sehingga tiada seorang pun yang terselamat ataupun yang dapat melarikan diri.+ 23  Tetapi raja Ai+ ditangkap hidup-hidup dan dibawa kepada Yosua. 24  Orang Israel membunuh semua orang Ai yang mengejar mereka di padang belantara. Setelah semua musuh dibunuh dengan pedang, orang Israel kembali ke kota Ai dan membunuh semua orang yang berada di dalam kota itu dengan pedang. 25  Pada hari itu semua penduduk Ai telah dibunuh. Semua lelaki dan perempuan yang dibunuh berjumlah 12,000 orang. 26  Yosua terus menghalakan lembingnya+ ke arah kota Ai dan tidak menurunkan tangannya sehingga semua penduduk kota itu dibunuh.+ 27  Orang Israel mengambil ternakan dan harta benda kota itu untuk diri mereka sendiri, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Yosua.+ 28  Yosua membakar kota Ai dan menjadikannya reruntuhan yang kekal.+ Keadaan kota itu masih begitu sampai hari ini. 29  Yosua menggantungkan mayat raja Ai pada sebatang tiang* sehingga waktu senja. Apabila matahari hampir terbenam, Yosua memberikan perintah supaya mayat itu diturunkan.+ Kemudian mereka membuang mayat itu di depan pintu gerbang kota dan menimbuni mayat itu dengan batu sehingga menjadi satu timbunan yang besar. Timbunan batu itu masih di sana sampai hari ini. 30  Kemudian Yosua membina sebuah mazbah di Gunung Ebal+ untuk Yehuwa, Tuhan orang Israel. 31  Dia membinanya menurut perintah Musa, hamba Yehuwa itu, kepada orang Israel, seperti yang tercatat dalam kitab yang mengandungi Hukum Musa:+ “Sebuah mazbah yang dibina daripada batu-batu yang utuh, yang tidak dipahat dengan alat-alat besi.”+ Mereka mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian+ kepada Yehuwa di atas mazbah itu. 32  Kemudian, Yosua menulis pada batu-batu di sana salinan Hukum+ yang telah ditulis oleh Musa di hadapan orang Israel.+ 33  Seluruh umat Israel, para pemimpin, pegawai, dan hakim mereka, serta orang asing+ yang tinggal dalam kalangan mereka, berdiri di dua sisi tabut perjanjian sambil menghadap imam-imam daripada suku Lewi yang mengangkat tabut perjanjian Yehuwa. Separuh daripada mereka menghadap ke arah Gunung Gerizim, dan separuh lagi menghadap ke arah Gunung Ebal.+ Demikianlah caranya umat Israel diberkati, seperti yang diperintahkan oleh Musa, hamba Yehuwa itu.+ 34  Kemudian dengan suara yang lantang, Yosua membacakan seluruh Hukum+ itu, termasuk segala berkat+ dan kutukan,+ tepat seperti yang tertulis dalam kitab yang mengandungi Hukum itu. 35  Segala perintah Musa telah dibacakan oleh Yosua dengan suara yang lantang di hadapan seluruh umat* Israel,+ termasuk wanita, kanak-kanak, dan orang asing+ yang tinggal dalam kalangan mereka.+

Nota Kaki

Atau “dataran rendah.”
Atau “pokok.”
Atau “sidang.” Lihat Kamus.