Yosua 9:1-27

  • Orang Gibeon ingin berdamai (1-15)

  • Helah orang Gibeon terdedah (16-21)

  • Terpaksa mengumpul kayu dan menimba air (22-27)

9  Berita tentang apa yang berlaku telah diketahui oleh semua raja di sebelah barat Sungai Yordan,+ iaitu raja-raja orang Het, orang Amori, orang Kanaan, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus.+ Merekalah raja-raja yang berada di kawasan pergunungan, di Syefela, di sepanjang persisiran Laut Tengah,*+ dan di depan Lebanon. 2  Sebaik sahaja mereka mendengar berita itu, mereka bersepakat untuk menentang Yosua dan orang Israel.+ 3  Penduduk Gibeon+ juga mendengar tentang apa yang telah dilakukan oleh Yosua terhadap kota Yerikho+ dan Ai.+ 4  Maka mereka bertindak dengan bijak. Mereka mengambil kirbat kulit usang yang bertampal dan karung usang yang berisi makanan, lalu meletakkan semuanya di atas keldai-keldai mereka. 5  Mereka juga memakai kasut lama yang bertampal dan pakaian yang koyak rabak. Semua roti yang dibawa oleh mereka kering dan hancur. 6  Kemudian mereka pergi ke perkhemahan di Gilgal+ dan berjumpa dengan Yosua. Mereka berkata kepada Yosua dan orang Israel, “Kami datang dari negeri yang jauh. Buatlah perjanjian dengan kami.” 7  Tetapi orang Israel berkata kepada beberapa orang Hewi+ itu, “Mengapa kami harus membuat perjanjian dengan kamu?+ Mungkin kamu tinggal berdekatan kami.” 8  Mereka berkata kepada Yosua, “Kami rela menjadi hamba tuan.” Kemudian Yosua berkata, “Siapakah kamu, dan dari mana kamu datang?” 9  Mereka menjawab, “Hamba semua datang dari negeri yang sangat jauh+ kerana nama Yehuwa, Tuhanmu, yang tersebar luas. Kami mendengar tentang kemasyhuran-Nya dan semua perkara yang dilakukan-Nya di Mesir.+ 10  Kami juga mendengar tentang apa yang dilakukan-Nya terhadap dua orang raja bangsa Amori yang berada di sebelah timur Sungai Yordan, iaitu Raja Sihon+ dari Hesybon dan Raja Og+ dari Basan, yang tinggal di Asytarot. 11  Oleh itu, para pemimpin dan semua penduduk di negeri kami berkata kepada kami, ‘Bawalah bekalan makanan untuk perjalanan kamu dan pergilah berjumpa dengan orang Israel. Beritahulah mereka, “Kami rela menjadi hamba kamu.+ Buatlah perjanjian dengan kami.”’+ 12  Lihatlah bekalan makanan kami. Ketika kami berangkat dari rumah kami untuk datang ke sini, roti ini masih panas. Tetapi sekarang lihatlah! Roti ini sudah kering dan hancur.+ 13  Ketika kami mengisi kirbat-kirbat kulit ini, semuanya masih baharu. Tetapi sekarang lihatlah! Semuanya sudah koyak.+ Perjalanan kami begitu jauh sehingga pakaian dan kasut kami pun sudah menjadi buruk.” 14  Orang Israel memeriksa makanan itu, tetapi mereka tidak meminta bimbingan Yehuwa.+ 15  Kemudian Yosua membuat perjanjian damai dengan orang Gibeon+ dan berjanji tidak akan membunuh mereka. Para pemimpin orang Israel juga bersumpah akan berpegang pada janji itu.+ 16  Tiga hari selepas perjanjian itu dibuat, orang Israel mendengar bahawa orang Gibeon sebenarnya tinggal berdekatan mereka. 17  Maka orang Israel berangkat dan sampai ke kota-kota mereka pada hari ketiga. Kota-kota mereka ialah Gibeon,+ Kefira, Beerot, dan Kiryat-yearim.+ 18  Orang Israel tidak menyerang mereka kerana para pemimpin orang Israel telah bersumpah kepada mereka demi nama Yehuwa,+ Tuhan orang Israel. Maka semua orang Israel bersungut-sungut terhadap para pemimpin mereka. 19  Lalu para pemimpin itu berkata kepada seluruh umat Israel, “Memandangkan kami telah bersumpah kepada mereka demi nama Yehuwa, Tuhan orang Israel, kita tidak dibenarkan untuk mencederakan mereka. 20  Kita mesti menepati janji kita dan membiarkan mereka hidup. Jika tidak, kita akan mengundang kemurkaan Tuhan.”+ 21  Para pemimpin menambah, “Biarlah mereka hidup, tetapi mereka mesti mengumpulkan kayu dan menimba air untuk kita semua.” Itulah yang dijanjikan oleh para pemimpin orang Israel. 22  Yosua pun menyuruh orang Gibeon datang lalu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu menipu kami dengan berkata, ‘Kami datang dari negeri yang sangat jauh,’ sedangkan kamu tinggal begitu dekat dengan kami?+ 23  Terkutuklah+ kamu mulai sekarang. Kamu semua akan sentiasa menjadi hamba yang mengumpulkan kayu dan menimba air untuk rumah Tuhanku.” 24  Orang Gibeon menjawab, “Hamba sekalian berbuat demikian kerana kami mendengar bahawa Yehuwa, Tuhanmu, telah memerintahkan hamba-Nya Musa untuk memberikan seluruh negeri ini kepada kamu, dan membunuh semua penduduknya di hadapan kamu.+ Kami takut kamu akan membunuh kami,+ jadi kami pun berbuat demikian.+ 25  Sekarang kami di bawah kekuasaan tuan. Lakukanlah terhadap kami apa sahaja yang tuan rasa baik dan patut.” 26  Maka Yosua menyelamatkan mereka supaya mereka tidak dibunuh oleh umat Israel. 27  Tetapi pada hari itu, Yosua menyuruh orang Gibeon mengumpulkan kayu dan menimba air untuk umat Israel+ dan untuk mazbah Yehuwa di tempat yang dipilih oleh-Nya.+ Itulah tugas mereka sampai hari ini.+

Nota Kaki

Iaitu, Laut Mediterranean.