Yunus 1:1-17
1 Yehuwa berfirman kepada Yunus*+ anak Amitai,
2 “Pergilah ke Niniwe,+ kota yang besar itu. Umumkanlah berita penghakiman kepada penduduknya, kerana Aku telah memperhatikan kejahatan yang dilakukan oleh mereka.”
3 Tetapi Yunus memutuskan untuk melarikan diri daripada Yehuwa dan pergi ke Tarsis. Maka dia pergi ke Yope dan menjumpai sebuah kapal yang akan belayar ke Tarsis. Setelah membayar wang tambang, dia menaiki kapal itu dan belayar bersama anak-anak kapal ke Tarsis, agar dia dapat menjauhkan diri daripada Yehuwa.
4 Kemudian Yehuwa membuat angin kencang bertiup di laut lalu terjadilah ribut dahsyat yang menyebabkan kapal itu hampir hancur.
5 Anak-anak kapal menjadi sangat takut dan mula berseru kepada tuhan masing-masing untuk meminta tolong. Mereka membuang muatan kapal itu ke dalam laut untuk meringankan kapal.+ Tetapi Yunus telah pun turun ke bahagian bawah kapal dan berbaring di situ lalu tertidur dengan nyenyak.
6 Maka kapten kapal mendekati Yunus lalu berkata, “Mengapa kamu masih tidur? Bangunlah dan berserulah kepada tuhanmu! Mudah-mudahan Tuhan yang benar akan mengasihani kita, dan kita tidak akan binasa.”+
7 Anak-anak kapal berkata kepada satu sama lain, “Marilah kita membuang undi+ untuk mengetahui siapa yang menyebabkan kita ditimpa bencana ini.” Maka mereka membuang undi dan Yunuslah yang kena.+
8 Mereka bertanya kepada Yunus, “Siapakah yang menyebabkan kita ditimpa bencana ini? Apa pekerjaanmu? Kamu datang dari mana? Apa bangsamu dan di mana negerimu?”
9 Dia menjawab, “Aku orang Ibrani. Aku menyembah Yehuwa, Tuhan yang berkuasa atas syurga. Dialah Tuhan yang menciptakan laut dan darat.”
10 Yunus juga memberitahu mereka bahawa dia telah melarikan diri daripada Yehuwa. Setelah mendengar kata-katanya, mereka menjadi lebih takut lalu berkata, “Mengapa kamu buat begitu?”
11 Ribut menjadi semakin kencang. Maka mereka bertanya, “Apa yang harus kami lakukan terhadapmu supaya ribut ini reda?”
12 Dia menjawab, “Buanglah aku ke dalam laut lalu ribut ini tentu akan reda. Aku tahu bahawa akulah yang menyebabkan ribut dahsyat ini menimpa kamu semua.”
13 Tetapi anak-anak kapal masih berusaha untuk mendayung kapal itu ke daratan. Namun usaha mereka sia-sia sahaja kerana laut semakin bergelora.
14 Oleh itu, mereka berseru kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, janganlah biarkan kami binasa kerana orang ini. Ya Yehuwa, janganlah menyalahkan kami atas kematian orang yang tidak bersalah, kerana semua ini terjadi menurut kehendak-Mu.”
15 Kemudian mereka mengangkat Yunus dan mencampakkannya ke dalam laut, lalu laut menjadi tenang semula.
16 Maka para anak kapal itu menjadi sangat takut akan Yehuwa,+ lalu mereka mempersembahkan korban kepada Yehuwa dan bersumpah untuk menyembah-Nya.
17 Sementara itu, Yehuwa menyebabkan seekor ikan besar menelan Yunus. Jadi Yunus berada di dalam perut ikan itu selama tiga hari dan tiga malam.+
Nota Kaki
^ Maksudnya “Burung Merpati.”