Yunus 3:1-10

  • Yunus mentaati Tuhan dan pergi ke Niniwe (1-4)

  • Penduduk Niniwe bertaubat (5-9)

  • Tuhan tidak memusnahkan Niniwe (10)

3  Yehuwa berfirman kepada Yunus untuk kali kedua,+ 2  “Pergilah ke Niniwe,+ kota besar itu. Beritahulah penduduk kota itu perkhabaran yang Aku sampaikan kepadamu.” 3  Yunus mentaati firman Yehuwa+ dan pergi ke kota Niniwe.+ Niniwe ialah sebuah kota yang sangat besar, sehingga memakan masa tiga hari untuk mengelilinginya dengan berjalan kaki. 4  Yunus memasuki kota itu dan berjalan sepanjang hari sambil mengisytiharkan perkhabaran ini:* “Dalam masa 40 hari lagi, Niniwe akan dihancurkan!” 5  Penduduk Niniwe menaruh iman kepada Tuhan.+ Maka segenap rakyat mengumumkan bahawa mereka akan berpuasa. Mereka semua juga memakai kain guni, tidak kira orang biasa atau orang yang berpangkat tinggi. 6  Sewaktu raja Niniwe mendengar perkhabaran itu, dia bangun dari takhtanya lalu menanggalkan pakaian dirajanya. Kemudian dia memakai kain guni dan duduk di atas abu.* 7  Raja juga mengisytiharkan perintah ini kepada segenap penduduk Niniwe: “Inilah perintah daripada raja dan para pembesar: Semua orang dilarang makan apa-apa pun. Mereka tidak boleh meminum air atau menjamah sebarang makanan, begitu juga dengan semua binatang, tidak kira lembu atau bebiri. 8  Manusia dan binatang mesti memakai kain guni. Semua orang mesti berseru kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh dan berhenti melakukan perbuatan yang jahat dan kejam. 9  Mungkin Tuhan yang benar akan mengubah fikiran-Nya dan tidak lagi murka, maka kita tidak akan dibinasakan.” 10  Tuhan yang benar melihat perbuatan mereka. Dia nampak bahawa mereka telah berpaling daripada haluan yang jahat.+ Maka Dia mempertimbangkan semula keputusan-Nya dan tidak mendatangkan bencana yang telah difirmankan-Nya sebelum ini.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “dan setelah berjalan sepanjang hari, dia mengisytiharkan perkhabaran ini:”
Perbuatan ini menunjukkan bahawa seseorang sedang berdukacita atau sedang menyesal atas dosa yang dilakukannya.