Yunus 4:1-11

  • Yunus marah dan mahu mati (1-3)

  • Yehuwa mengajar Yunus tentang belas kasihan (4-11)

    • “Patutkah engkau menjadi begitu marah?” (4)

    • Labu air sebagai pengajaran (6-10)

4  Namun Yunus sama sekali tidak senang hati dengan perkara itu, lalu dia menjadi sangat marah. 2  Kemudian dia berdoa kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, semasa aku berada di negeriku, bukankah aku sudah berkata bahawa hal ini pasti akan berlaku? Sesungguhnya, aku tahu bahawa Engkau Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. Engkau tidak cepat murka dan penuh dengan kasih setia.+ Engkau juga bersedia untuk mengubah fikiran dan tidak menjatuhkan hukuman. Itulah sebabnya aku berusaha melarikan diri ke Tarsis.+ 3  Sekarang, ya Yehuwa, ambillah nyawaku kerana lebih baik aku mati daripada hidup.”+ 4  Yehuwa bertanya, “Patutkah engkau menjadi begitu marah?” 5  Selepas itu, Yunus keluar dari kota itu dan pergi ke bahagian timur kota dan duduk di sana. Dia mendirikan sebuah pondok, lalu berteduh di situ sambil menunggu apa yang akan terjadi kepada kota itu.+ 6  Kemudian Tuhan Yehuwa menumbuhkan sepohon labu air* untuk memberikan naungan kepada Yunus supaya dia berasa selesa. Yunus sangat senang hati dengan tanaman itu. 7  Ketika fajar menyingsing pada keesokan harinya, Tuhan yang benar menyebabkan seekor ulat menyerang tanaman itu sehingga layu. 8  Setelah matahari terbit, Tuhan mendatangkan angin timur yang panas. Matahari juga memancar dengan begitu terik sehingga Yunus hampir pengsan. Dia sangat ingin mati dan asyik berkata, “Lebih baik aku mati daripada hidup.”+ 9  Tuhan bertanya kepada Yunus, “Patutkah engkau menjadi begitu marah kerana labu air itu?”+ Maka dia menjawab, “Memang aku patut marah. Aku sangat marah sehingga aku mahu mati!” 10  Namun Yehuwa berfirman, “Labu air itu tumbuh dalam satu malam dan mati dalam satu malam. Engkau langsung tidak menumbuhkannya atau memeliharanya, tetapi engkau masih berasa kasihan terhadap tanaman itu. 11  Maka, tidak patutkah Aku berasa kasihan terhadap Niniwe, kota besar itu?+ Ada banyak binatang di kota itu dan ada lebih daripada 120,000 orang di kota itu yang tidak tahu membezakan apa yang benar daripada apa yang salah.”+

Nota Kaki

Atau mungkin, “sepohon pokok jarak.”