Zakharia 12:1-14
12 Berikut merupakan perkhabaran daripada Yehuwa,
Yang membentangkan langit,+Yang mendirikan asas bumi,+Dan yang memberikan nafas kehidupan kepada manusia.Mengenai umat Israel, Yehuwa berfirman,
2 “Aku akan menjadikan Yerusalem seperti sebuah cawan. Bangsa-bangsa di sekitar akan minum daripadanya lalu terhuyung-hayang seperti orang mabuk. Yehuda dan Yerusalem akan dikepung.+
3 Pada masa itu, Aku akan menjadikan Yerusalem seperti batu yang berat. Mana-mana bangsa yang mencuba mengangkatnya akan cedera parah.+ Semua bangsa di bumi akan berkumpul untuk menyerang Yerusalem.”+
4 Yehuwa berfirman, “Pada masa itu, Aku akan menyebabkan semua kuda ketakutan, dan para penunggang kuda akan menjadi gila. Mata-Ku akan memperhatikan orang Yehuda, tetapi Aku akan membutakan mata semua kuda musuh.
5 Ketua-ketua suku Yehuda akan berkata dalam hati, ‘Penduduk Yerusalem ialah kekuatan kami, kerana Yehuwa, ketua angkatan syurga, ialah Tuhan mereka.’+
6 Pada masa itu, Aku akan menjadikan para ketua suku Yehuda seperti periuk yang berisi api di tengah-tengah hutan, dan seperti obor api di tengah-tengah berkas gandum yang dituai.+ Mereka akan membinasakan bangsa-bangsa di sekeliling, baik yang di kiri mahupun yang di kanan.+ Penduduk Yerusalem akan menetap di Yerusalem, di kota mereka sendiri.+
7 “Aku, Yehuwa, akan menyelamatkan khemah Yehuda dahulu, supaya kemuliaan yang dimiliki keturunan Daud dan penduduk Yerusalem tidak akan melebihi kemuliaan orang Yehuda.
8 Pada masa itu, Aku, Yehuwa, akan menjadi seperti perisai di sekeliling penduduk Yerusalem.+ Ketika itu, orang yang paling lemah* dalam kalangan mereka pun akan menjadi sekuat Daud. Keturunan Daud akan memimpin mereka seperti Tuhan, seperti malaikat Yehuwa.+
9 Pada masa itu, Aku pasti akan melenyapkan semua bangsa yang datang untuk menyerang Yerusalem.+
10 “Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atas keturunan Daud dan penduduk Yerusalem sebagai tanda bahawa Aku berkenan kepada mereka dan mendengarkan rayuan mereka. Mereka akan memandang orang yang ditusuk oleh mereka,+ lalu meratapinya seperti orang yang meratapi kematian anak tunggal sendiri. Mereka akan meratapinya dengan pilu seperti orang yang meratapi kematian anak sulung sendiri.
11 Pada masa itu, ratapan di Yerusalem akan sangat memilukan, seperti ratapan di Hadadrimon, di Dataran Megido.+
12 Setiap keluarga di negeri itu akan meratap bersendirian: Dalam keluarga keturunan Daud, kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri. Dalam keluarga keturunan Natan,+ kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri.
13 Dalam keluarga keturunan Lewi,+ kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri. Dalam keluarga keturunan Simei,+ kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri.
14 Begitu juga dengan semua keluarga yang lain; kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri.
Nota Kaki
^ Atau “yang tersandung.”