Zakharia 7:1-14

  • Yehuwa mengutuk orang yang tidak ikhlas berpuasa (1-14)

    • ‘Adakah kamu benar-benar berpuasa demi Aku?’ (5)

    • ‘Hakimi dengan adil; tunjukkan kasih setia dan belas kasihan’ (9)

7  Pada hari keempat bulan Kislew,* iaitu bulan kesembilan dalam tahun keempat pemerintahan Raja Darius, Zakharia+ mendapat perkhabaran daripada Yehuwa. 2  Penduduk Bethel mengutus Sarezer, Regem-melekh, serta anak buah mereka untuk memohon perkenan Yehuwa. 3  Mereka bertanya kepada para nabi dan para imam di Rumah Yehuwa, ketua angkatan syurga, “Selama bertahun-tahun kami meratap dan berpuasa pada bulan kelima.+ Adakah kami masih perlu berbuat demikian?” 4  Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman kepadaku, 5  “Beritahulah semua penduduk negeri ini dan para imam, ‘Selama 70 tahun ini,+ semasa kamu berpuasa dan bersedih pada bulan kelima dan ketujuh,+ adakah kamu benar-benar melakukannya demi Aku? 6  Semasa kamu makan dan minum, tidakkah kamu melakukannya semata-mata demi keseronokan diri? 7  Dahulu, Yerusalem dan kota-kota di sekelilingnya masih aman damai dan penuh dengan penduduk. Negeb dan Syefela juga masih didiami orang. Tidakkah kamu patut mendengarkan firman Aku, Yehuwa, yang disampaikan oleh para nabi sejak zaman itu lagi?’”+ 8  Kemudian Zakharia mendapat perkhabaran berikut daripada Yehuwa: 9  “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, telah berfirman, ‘Hakimilah dengan adil dan benar,+ dan tunjukkanlah kasih setia dan belas kasihan+ terhadap satu sama lain. 10  Janganlah menipu balu, anak yatim,+ orang asing,+ ataupun orang miskin,+ dan janganlah merancang perkara yang jahat terhadap satu sama lain.’+ 11  Tetapi mereka enggan mengambil peduli.+ Mereka degil+ dan mereka menutup telinga supaya tidak mendengar.+ 12  Hati mereka keras seperti berlian.*+ Mereka tidak mematuhi hukum dan perintah yang Aku, Yehuwa, sampaikan melalui para nabi yang dibimbing oleh kuasa suci-Ku.+ Itulah sebabnya Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, sangat murka terhadap mereka.”+ 13  “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Oleh sebab mereka tidak mahu mendengar ketika Aku berfirman,+ Aku pun tidak mahu mendengar ketika mereka berseru kepada-Ku.+ 14  Aku mendatangkan angin ribut untuk menyelerakkan mereka dalam kalangan bangsa-bangsa yang tidak dikenali mereka.+ Selepas itu, negeri mereka terbiar; tiada orang yang melalui tempat itu ataupun kembali ke situ.+ Disebabkan mereka, tanah yang indah itu telah menjadi tempat yang menakutkan.’”

Nota Kaki

Atau mungkin, “batu yang keras,” seperti batu emeri.