BAB 10
Yesus Lebih Berkuasa daripada Roh-Roh Jahat
ADAKAH adik ingat bagaimana salah satu malaikat Tuhan menjadi Syaitan Si Iblis? Syaitan pentingkan diri dan mahu disembah. Maka dia mula melawan Tuhan. Ada malaikat lain yang ikut Syaitan. Bible panggil mereka ‘malaikat-malaikat Syaitan’ atau roh-roh jahat.—Wahyu 12:9.
Adakah roh-roh jahat percaya pada Tuhan? Bible kata, ‘Roh-roh jahat percaya Tuhan wujud.’ (Yakobus 2:19) Tapi mereka buat hal-hal jahat. Oleh itu, mereka takut dihukum oleh Tuhan. Apakah hal jahat yang pernah mereka buat?—
Bible kata bahawa malaikat-malaikat jahat itu telah tinggalkan syurga dan turun ke bumi sebagai manusia. Mereka buat begitu sebab mereka mahu adakan hubungan seks dengan perempuan-perempuan cantik di bumi. (Kejadian 6:1, 2; Yudas 6) Apakah yang adik tahu tentang hubungan seks?—
Hubungan seks ialah hadiah yang istimewa daripada Tuhan kepada suami isteri. Hubungan ini buat mereka sangat rapat. Selepas itu, mereka boleh mempunyai anak dan menjaga anak itu dengan baik. Tetapi Tuhan tidak ciptakan malaikat untuk adakan hubungan seks. Itu salah!
Selepas malaikat-malaikat itu adakan hubungan seks dengan perempuan di bumi, mereka dapat anak. Tapi anak mereka menjadi gergasi yang jahat dan suka cederakan orang lain. Oleh itu, Tuhan telah membawa banjir yang besar untuk musnahkan semua gergasi itu dan orang yang jahat. Tuhan menyuruh Nuh untuk bina sebuah bahtera, atau kapal besar, untuk selamatkan orang yang baik. Guru Agung kata kita mesti ingat apa yang berlaku semasa banjir itu.—Kejadian 6:3, 4, 13, 14; Lukas 17:26, 27.
Adakah adik tahu apa yang berlaku kepada malaikat jahat selepas banjir itu?— Mereka tinggalkan tubuh manusia mereka lalu kembali ke syurga. Tapi Tuhan tidak mahu terima mereka sebagai malaikat-Nya. Maka mereka jadi pengikut Syaitan, atau roh-roh jahat. Bagaimana pula dengan anak mereka, iaitu gergasi-gergasi itu?— Mereka dan semua orang yang jahat telah mati.
Sejak masa itu, Tuhan tidak lagi izinkan roh-roh jahat untuk jadi manusia. Biarpun kita tidak dapat lihat mereka, mereka mahu mempengaruhi kita untuk buat hal-hal yang jahat. Oleh sebab mereka sudah dihalau dari syurga, mereka buat banyak masalah di bumi.
Tahukah adik kenapa kita tidak boleh nampak roh-roh jahat?— Hal ini kerana tubuh mereka berbeza daripada kita. Mereka ialah makhluk roh yang kita tidak dapat nampak. Tapi mereka memang wujud. Bible kata, Syaitan dan roh-roh jahat sedang ‘sesatkan seluruh dunia.’—Wahyu 12:9, 12.
Dapatkah Syaitan dan roh-roh jahat tipu kita?— Ya, jika kita tidak berhati-hati. Tapi kita tidak perlu takut mereka. Guru Agung kata, ‘Iblis tidak berkuasa atas diriku.’ Jika kita selalu mendengar cakap Tuhan, Dia akan lindungi kita daripada Iblis dan roh-roh jahat.—Yohanes 14:30.
Roh-roh jahat mahu kita buat hal yang buruk. Cuba fikir, semasa roh-roh jahat turun ke bumi, apakah hal buruk yang mereka buat?— Mereka telah adakan hubungan seks dengan wanita di bumi. Hari ini, roh-roh jahat suka kalau kita tidak patuhi peraturan Tuhan tentang seks. Adakah adik masih ingat Tuhan hanya benarkan siapa adakan hubungan seks?— Betul! Hanya pasangan suami isteri yang sudah kahwin.
Bible kata bahawa Yehuwa ciptakan bahagian kemaluan lelaki dan perempuan. Bahagian kemaluan lelaki dipanggil zakar. (Imamat 15:1-3) Bahagian kemaluan perempuan pula dipanggil vulva. Tujuan Yehuwa adalah supaya suami isteri ada hubungan yang istimewa bersama. Tapi roh-roh jahat gembira bila kita buat hal yang dilarang oleh Yehuwa. Contohnya, ada budak lelaki dan budak perempuan yang menyentuh atau meraba bahagian kemaluan satu sama lain. Ada pula yang buat hubungan seks. Yehuwa pasti sangat sedih jika kita buat begitu. Adakah adik mahu buat Yehuwa gembira atau buat roh-roh jahat gembira?—
Ada satu lagi hal yang Yehuwa tidak suka, tapi roh-roh jahat suka. Adakah adik tahu apa itu?— Keganasan. (Mazmur 11:5) Orang yang ganas sangat kejam dan suka sakiti orang lain. Itulah yang dibuat oleh gergasi-gergasi pada zaman Nuh.
Roh-roh jahat juga suka takutkan orang. Kadangkala, roh-roh jahat pura-pura jadi orang yang sudah mati dan tiru suara mereka. Mereka mahu kita percaya bahawa orang yang mati masih hidup dan dapat bercakap dengan kita. Ya, roh-roh jahat mahu kita percaya hantu wujud.
Maka kita harus berhati-hati agar tidak ditipu oleh Syaitan dan roh-roh jahat. Bible ingatkan kita, ‘Syaitan berpura-pura seperti malaikat yang baik, dan hamba-hambanya juga buat hal yang sama.’ (2 Korintus 11:14, 15) Tapi seperti yang kita sudah belajar, mereka sangat jahat. Mari kita lihat bagaimana mereka cuba perangkap kita.
Hari ini, dari manakah orang belajar tentang seks, keganasan, dan hantu-hantu?— Betul! Mereka belajar dari televisyen, wayang, game, Internet, dan buku komik. Adik rasa adakah itu buat adik lebih dekat dengan Tuhan atau lebih dekat dengan Iblis dan roh-roh jahat?—
Adik rasa, siapa yang suka kita tengok dan dengar hal-hal yang tidak baik?— Ya, Syaitan dan roh-roh jahat. Jadi apa yang perlu adik buat?— Adik perlu baca, dengar, dan tonton hal-hal yang baik dan yang akan bantu adik sembah Yehuwa. Dapatkah adik fikir hal-hal yang dapat bantu adik?—
Jika kita cuba buat apa yang baik, kita tidak perlu takut roh-roh jahat. Yesus jauh lebih kuat daripada mereka dan mereka takut kepadanya. Pernah sekali, roh-roh jahat kata dengan takut kepada Yesus, ‘Adakah kamu datang untuk musnahkan kami?’ (Markus 1:24) Adik pasti rasa gembira bila Yesus datang untuk musnahkan Syaitan dan roh-roh jahat, bukan?— Sekarang pun kita yakin bahawa Yesus akan lindungi kita daripada roh-roh jahat jika kita tidak tinggalkan dia dan Bapanya, Yehuwa.
Mari kita baca apa yang patut kita buat di 1 Petrus 5:8, 9 dan Yakobus 4:7, 8.
Belajarlah daripada Guru yang Agung