BAB 32
Bagaimana Yesus Dilindungi
ADA KALANYA, Yehuwa buat sesuatu yang sangat istimewa untuk melindungi ciptaan-Nya, terutamanya mereka yang lemah dan kecil. Mungkin adik pernah melihat sesuatu yang mengajar kita cara Yehuwa melindungi ciptaan-Nya.
Contohnya semasa bersiar-siar, adik lihat seekor burung hinggap di tanah dekat adik. Nampaknya sayapnya sudah cedera. Apabila adik cuba mendekatinya, burung itu perlahan-lahan menjauh dari adik. Tiba-tiba, dia terbang! Sebenarnya, burung itu langsung tidak cedera. Tahukah adik mengapa burung itu pura-pura cedera?—
Ibu burung buat begitu supaya adik mengikutnya dan menjauhi sarangnya. Dia tidak mahu adik mencederakan anak-anaknya. Adakah adik tahu siapa yang melindungi kita seperti ibu burung melindungi anaknya?— Bible kata Yehuwa adalah seperti burung helang yang melindungi anak-anaknya.—Ulangan 32:11, 12.
Anak yang paling Yehuwa sayang ialah Yesus. Semasa Yesus di syurga, dia sangat kuat dan boleh menjaga dirinya. Tetapi bila Yesus lahir sebagai bayi di bumi, dia sangat lemah. Dia perlu dijaga dan dilindungi.
Apabila Yesus dewasa, dia akan lakukan kehendak Tuhan di bumi. Tapi Syaitan tidak mahu hal itu berlaku. Jadi dia cuba bunuh Yesus semasa Yesus kecil. Adakah adik mahu tahu apa yang berlaku kepada Yesus dan bagaimana Yehuwa melindunginya?—
Tidak lama selepas Yesus lahir, beberapa ahli nujum dari Timur nampak sesuatu yang sangat terang seperti bintang. Mereka mengikut “bintang” itu sampai ke Yerusalem. Siapakah yang membimbing lelaki-lelaki itu? Syaitan. Semasa di Yerusalem, lelaki-lelaki itu tanya, “Di manakah raja orang Yahudi akan dilahirkan?” Ada orang jawab, “Di Betlehem.”—Matius 2:1-6.
Raja yang jahat di Yerusalem yang bernama Herodes mendengar bahawa Yesus akan lahir. Dia menyuruh ahli nujum itu untuk mencari Yesus yang baru lahir itu. Adik tahukah kenapa Herodes mahu cari anak itu?— Sebab dia tahu Yesus akan menjadi raja. Dia cemburu dan mahu bunuhnya!
Bagaimanakah Tuhan lindungi Anak-Nya Yesus?— Apabila ahli-ahli nujum itu jumpa Yesus, mereka memberinya hadiah. Selepas itu, Tuhan suruh mereka melalui satu mimpi supaya tidak kembali kepada Herodes untuk memberitahunya tentang anak itu. Akhirnya, mereka guna jalan yang lain dan tidak balik ke Yerusalem. Apabila Herodes dengar hal itu, dia sangat marah! Tetapi dia masih mahu bunuh Yesus. Jadi dia bunuh semua budak lelaki di Betlehem yang di bawah umur dua tahun. Pada masa itu, Yesus sudah meninggalkan Betlehem.
Bagaimanakah keluarga Yesus tahu mereka harus meninggalkan Betlehem?— Selepas ahli nujum meninggalkan tempat itu, Yehuwa menyuruh Yusuf pergi ke Mesir bersama Maria dan Yesus. Di sana, Herodes tidak dapat bunuh Yesus. Beberapa tahun kemudian, Maria dan Yusuf ingin meninggalkan Mesir. Kali ini, Tuhan memberitahu Yusuf untuk pergi ke Nasaret sebab Yesus akan selamat di situ.—Matius 2:7-23.
Adakah adik lihat macam mana Yehuwa melindungi Anak-Nya?— Adakah adik rasa adik juga perlu dilindungi seperti Yesus dan anak burung itu?— Ya! Adik perlu dilindungi daripada orang jahat. Siapakah mereka?—
Bible kata Syaitan macam singa ganas yang mahu makan kita. Sepertimana singa suka menyerang binatang yang kecil, Syaitan dan roh-roh jahat juga suka serang anak kecil. (1 Petrus 5:8) Tapi, Yehuwa lebih kuat daripada Syaitan. Dia dapat melindungi kita. Walaupun Syaitan buat sesuatu yang jahat, Yehuwa dapat bantu adik.
Adakah adik masih ingat pelajaran dalam Bab 10? Apa yang Syaitan dan roh-roh jahat mahu kita buat?— Ya, mereka tidak mahu kita dengar cakap Tuhan tentang hubungan seks. Ingatkah adik hanya siapa yang boleh adakan hubungan seks?— Hanya suami dan isteri yang sudah berkahwin.
Tetapi ada orang dewasa yang sangat jahat. Mereka mahu adakan hubungan seks dengan kanak-kanak. Sedihnya, ada budak lelaki dan budak perempuan yang belajar hal-hal salah itu dan mula mengikut perbuatan itu. Itulah yang berlaku di kota Sodom dalam Bible pada zaman dulu. Bible kata semua budak lelaki dan lelaki dewasa cuba melakukan hubungan seks dengan lelaki-lelaki yang melawat Lot.—Kejadian 19:4, 5.
Adik ingat semasa Yesus masih kecil, dia perlu dilindungi daripada orang jahat. Begitu juga, adik perlu dilindungi daripada orang dewasa dan kanak-kanak yang berniat jahat. Mereka mungkin pura-pura menjadi kawan adik. Ada yang berikan hadiah kepada adik supaya adik tidak beritahu orang lain tentang apa yang mereka mahu buat bersama adik. Tapi mereka seperti Syaitan dan roh-roh jahat. Mereka hanya fikir tentang diri sendiri dan mahu gunakan adik untuk puaskan keinginan mereka yang jahat. Hubungan seks dengan kanak-kanak adalah sangat salah!
Apakah hal-hal jahat yang mereka buat untuk puaskan keinginan mereka?— Mereka mungkin asyik sentuh atau bermain-main dengan bahagian kemaluan adik. Ada juga yang guna bahagian kemaluan mereka untuk menggosok-gosok bahagian kemaluan adik. Tetapi ini salah! Semua orang, termasuk bapa, ibu, adik-beradik, atau orang lain, tidak boleh buat begitu kepada adik.
Bagaimanakah adik dapat melindungi diri daripada orang jahat?— Yang penting, jangan biarkan sesiapa pun untuk bermain dengan bahagian kemaluan adik. Jika mereka cuba buat begitu, adik mesti kata dengan suara yang kuat, “Jangan! Saya akan beritahu orang lain!” Jika mereka beri adik hadiah atau cuba takutkan adik, adik mesti lari daripada mereka dan laporkan kepada orang lain. Jika orang jahat kata bahawa semuanya salah adik, jangan percayanya. Itu bukan salah adik! Jangan rahsiakannya. Adik mesti beritahu orang dewasa yang adik percaya.
Adik tidak perlu rasa takut tetapi adik mesti selalu berhati-hati. Jika ibu bapa beritahu adik bahawa seseorang atau sesuatu tempat itu bahaya, dengarlah cakap mereka. Jika adik buat begitu, adik pun dapat selamat daripada orang jahat.
Baca tentang cara melindungi diri daripada perbuatan seks yang salah di Kejadian 39:7-12; Amsal 4:14-16; 14:15, 16; 1 Korintus 6:18; dan 2 Petrus 2:14.
Mungkin Anda Suka Juga
JADILAH SAHABAT YEHUWA
Lindungilah Anak-Anak Anda
Johan dan Sofia mendapat bantuan yang dapat melindungi mereka.
Belajarlah daripada Guru yang Agung