PELAJARAN 9
Bagaimanakah Keluarga Anda Boleh Bahagia?
1. Mengapakah perkahwinan sangat penting untuk mencapai kebahagiaan keluarga?
Bible mengandungi berita baik daripada “Tuhan yang gembira.” (1 Timotius 1:11) Dia ingin keluarga terus hidup bahagia. Dia telah mengasaskan aturan perkahwinan. Perkahwinan yang sah sangat penting untuk mencapai kebahagiaan keluarga kerana dengan cara ini anak-anak dapat membesar dalam persekitaran yang stabil. Orang Kristian harus memastikan bahawa perkahwinan mereka didaftarkan dan sah di sisi undang-undang tempatan.—Baca Lukas 2:1, 4, 5
Apakah pandangan Tuhan terhadap perkahwinan? Dia ingin suami isteri hidup bersama sepanjang hayat. Yehuwa ingin suami isteri setia kepada satu sama lain. (Ibrani 13:4) Dia membenci perceraian. (Maleakhi 2:16) Tetapi Dia membenarkan orang Kristian bercerai dan berkahwin semula jika pasangan mereka berzina.—Baca Matius 19:3-6, 9.
2. Bagaimanakah suami isteri harus memperlakukan satu sama lain?
Yehuwa menciptakan lelaki dan wanita sebagai teman yang sesuai. Maka, suami isteri mempunyai peranan masing-masing dalam perkahwinan. (Kejadian 2:18) Selaku ketua keluarga, suami bertanggungjawab mencari nafkah dan mengajar keluarganya tentang Tuhan. Dia patut menunjukkan kasih kepada isterinya dan tidak mementingkan diri. Suami isteri patut saling mengasihi dan menghormati. Memandangkan semua manusia tidak sempurna, suami isteri harus saling mengampuni agar perkahwinan mereka bahagia.—Baca Efesus 4:31, 32; 5:22-25, 33; 1 Petrus 3:7.
3. Patutkah anda berpisah jika perkahwinan anda tidak bahagia?
Semasa menghadapi masalah perkahwinan, anda dan pasangan anda harus berusaha menunjukkan lebih banyak kasih. (1 Korintus 13:4, 5) Bible tidak menggalakkan suami isteri berpisah kerana masalah remeh.—Baca Markus 10:9.
4. Anak-anak, apakah yang Tuhan inginkan daripada anda?
Yehuwa ingin anda hidup gembira. Dia memberitahu anda cara terbaik untuk menikmati masa muda. Dia ingin anda memanfaatkan kebijaksanaan dan pengalaman ibu bapa anda. (Kolose 3:20) Yehuwa juga ingin anda bersukacita seraya anda berusaha menyenangkan hati-Nya dan Anak-Nya.—Baca Pengkhutbah 11:9–12:1; Matius 19:13-15; 21:15, 16.
5. Ibu bapa, bagaimanakah anda dapat membantu anak untuk hidup bahagia?
Anda patut bekerja keras untuk menyediakan makanan, pakaian, dan tempat tinggal untuk anak-anak. (1 Timotius 5:8) Selain itu, anda perlu mengajar mereka mengasihi Tuhan dan menerima ajaran-Nya agar mereka dapat hidup bahagia. (Efesus 6:4) Teladan baik anda dalam menunjukkan kasih kepada Tuhan dapat meninggalkan kesan yang mendalam terhadap mereka. Jika anda mendidik anak-anak berdasarkan Bible, mereka akan memperoleh manfaat.—Baca Ulangan 6:4-7; Amsal 22:6.
Anak-anak memerlukan pujian dan galakan anda. Mereka juga memerlukan teguran dan disiplin. Disiplin dapat melindungi mereka daripada kelakuan yang mungkin meragut kebahagiaan mereka. (Amsal 22:15) Tetapi, anda tidak patut mendisiplinkan mereka dengan zalim atau kejam.—Baca Kolose 3:21.
Saksi-Saksi Yehuwa menerbitkan beberapa buah buku yang khasnya membantu ibu bapa dan anak-anak. Buku-buku ini berdasarkan Bible.—Baca Mazmur 19:8, 12.
Mungkin Anda Suka Juga
KELUARGA ANDA BOLEH BAHAGIA
Perkahwinan Bahagia dengan Bantuan Tuhan
Menggunakan dua soalan yang mudah dapat membantu anda memperbaiki perkahwinan anda.
KELUARGA ANDA BOLEH BAHAGIA
Cara Selesaikan Masalah
Langkah yang betul dapat menentukan sama ada perkahwinan anda menjadi kukuh dan bahagia, bukannya terlerai dan menderita.
BERITA BAIK DARIPADA TUHAN!