PELAJARAN 12

Bagaimanakah Anda Dapat Menghampiri Tuhan?

Bagaimanakah Anda Dapat Menghampiri Tuhan?

1. Adakah Tuhan mendengar semua doa?

Tuhan mengundang semua orang untuk mendekati-Nya menerusi doa. (Mazmur 65:3) Namun, Dia tidak mendengar atau menerima semua doa. Contohnya, Yehuwa tidak mendengar doa seorang suami yang menganiaya isterinya. (1 Petrus 3:7) Tuhan juga enggan mendengar doa orang Israel yang terus berbuat jahat. Jelaslah bahawa kita patut menghargai peluang untuk berdoa. Meskipun demikian, Tuhan mendengar doa orang yang melakukan dosa serius jika mereka bertaubat.​—Baca Yesaya 1:15; 55:7.

2. Bagaimanakah seharusnya kita berdoa?

Doa ialah sebahagian daripada ibadat kita, jadi kita harus berdoa hanya kepada Pencipta kita, Yehuwa. (Matius 4:10; 6:9) Kita tidak sempurna, maka kita perlu berdoa melalui nama Yesus kerana dia telah mati demi dosa manusia. (Yohanes 14:6) Yehuwa tidak ingin kita menghafal atau membaca doa daripada sebuah buku doa. Dia mahu kita berdoa dari hati.​—Baca Matius 6:7; Filipi 4:6, 7.

Pencipta kita bahkan boleh mendengar doa-doa yang diucapkan dalam hati. (1 Samuel 1:12, 13) Dia menjemput kita untuk berdoa pada setiap kesempatan. Misalnya, sebelum dan selepas kita melakukan aktiviti harian, sebelum makan, dan apabila kita menghadapi masalah.​—Baca Mazmur 55:23; Matius 15:36.

3. Mengapakah orang Kristian berkumpul bersama-sama?

Tidak mudah bagi kita untuk mendekati Tuhan kerana kita hidup dalam kalangan manusia yang kurang beriman kepada Tuhan dan yang mempersendakan janji-Nya tentang kedamaian di bumi. (2 Timotius 3:1, 4; 2 Petrus 3:3, 13) Jadi, kita perlu bergaul dengan rakan seiman agar dapat saling menggalakkan.​—Baca Ibrani 10:24, 25.

Jika kita bergaul dengan orang yang mengasihi Tuhan, kita dibantu untuk menghampiri-Nya. Semasa di perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa, kita digalakkan oleh iman orang lain.​—Baca Roma 1:11, 12.

4. Bagaimanakah anda dapat menghampiri Tuhan?

Anda boleh menghampiri Tuhan dengan merenungkan ajaran-ajaran Bible. Fikirkan secara mendalam perbuatan Tuhan, nasihat-Nya, dan janji-janji-Nya. Doa dan perenungan membantu kita untuk menghargai kasih Tuhan dan kebijaksanaan-Nya.​—Baca Yosua 1:8; Mazmur 1:1-3.

Anda dapat menghampiri Tuhan hanya jika anda beriman dan bergantung pada-Nya. Iman seperti tumbuhan yang memerlukan air. Anda perlu sentiasa “menyiram” iman anda dengan merenungkan dasar kepercayaan sendiri.​—Baca Matius 4:4; Ibrani 11:1, 6.

5. Apakah manfaatnya apabila anda menghampiri Tuhan?

Yehuwa prihatin terhadap orang yang mengasihi-Nya. Dia boleh melindungi mereka daripada hal-hal yang mungkin mengancam iman dan harapan kehidupan abadi mereka. (Mazmur 91:1, 2, 7-10) Dia mengingatkan kita agar menghindari perbuatan yang merosakkan kesihatan dan kebahagiaan kita. Yehuwa juga mengajar kita cara hidup yang terbaik.​—Baca Mazmur 73:27, 28; Yakobus 4:4, 8.