1. Mengapakah Tuhan memilih orang Israel kuno menjadi umat-Nya?
Tuhan memilih keturunan Abraham menjadi sebuah bangsa dan memberi mereka hukum-hukum-Nya. Tuhan memanggil mereka “Israel,” dan Dia ingin memelihara ibadat sejati serta firman-Nya menerusi umat ini. (Mazmur 147:19, 20) Jadi semua bangsa dapat menuai berkat melalui umat Israel.—Baca Kisah 3:25.
Tuhan memilih orang Israel untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Sejarah Israel kuno membuktikan bahawa manusia memperoleh berkat apabila mereka mentaati hukum Tuhan. (Ulangan 4:6) Maka, kita dapat mengenali Tuhan yang benar dengan mengkaji sejarah mereka.—Baca Yesaya 43:10,12.
2. Hari ini, mengapakah Tuhan ingin umat-Nya bersatu padu?
Orang Israel kehilangan perkenan Tuhan, maka Dia memilih sidang Kristian untuk menggantikan mereka. (Matius 21:43; 23:37, 38) Sekarang, orang Kristian sejati menggantikan orang Israel sebagai saksi-saksi Yehuwa.—Baca Kisah 15:14,17.
Yesus mengutus para pengikutnya untuk menginjil kepada semua bangsa dan menjadikan mereka muridnya. (Matius 10:7, 11; 24:14; 28:19, 20) Kerja ini sedang giat dijalankan seraya penghujung sistem ini kian mendekat. Hari ini, Yehuwa menyatukan jutaan orang dari pelbagai bangsa dalam ibadat sejati. (Wahyu 7:9, 10) Sebagai satu umat, mereka saling menggalakkan dan membantu. Di serata dunia, mereka mengikuti program pembelajaran Bible yang sama semasa perjumpaan.—Baca Ibrani 10:24, 25.
3. Bagaimanakah sejarah moden Saksi-Saksi Yehuwa bermula?
Pada tahun 1870-an, sekumpulan kecil pelajar Bible menemukan semula ajaran benar Bible. Mereka tahu bahawa Yesus mengarahkan sidang Kristian untuk menginjil, maka mereka memulakan kempen menyebarkan berita Kerajaan Tuhan di seluas dunia. Pada tahun 1931, mereka menyandang nama Saksi-Saksi Yehuwa.—Baca Kisah 1:8; 2:1,4; 5:42.
4. Bagaimanakah kerja penyebaran Saksi-Saksi Yehuwa diaturkan?
Pada abad pertama, sidang Kristian di pelbagai kawasan dibimbing oleh satu badan pimpinan yang mengakui Yesus sebagai Kepala sidang. (Kisah 16:4, 5) Begitu juga pada hari ini, Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia dibimbing oleh Badan Pimpinan yang terdiri daripada para penatua yang berpengalaman. Badan ini menguruskan pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa yang menjalankan kerja menterjemah, mencetak, dan mengedarkan bahan bacaan Bible dalam lebih daripada 600 bahasa. Dengan cara ini, Badan Pimpinan menyampaikan ajaran dan galakan daripada Bible kepada lebih daripada 100,000 buah sidang di seluruh dunia. Dalam setiap sidang, saudara yang layak bertugas sebagai penatua, atau penyelia. Mereka menjaga kawanan Tuhan dengan penuh kasih.—Baca 1 Petrus 5:2, 3.
Sidang Saksi-Saksi Yehuwa diaturkan untuk menyebarkan berita baik dan menjadikan orang pengikut Yesus. Seperti para rasul, kami menginjil dari rumah ke rumah. (Kisah 20:20) Kami juga menawarkan pembelajaran Bible kepada orang yang mencintai kebenaran. Sidang kami seperti sebuah keluarga yang dijaga oleh Bapa yang pengasih. Keluarga ini dianggotai oleh saudara dan saudari yang saling mengasihi. (2 Tesalonika 1:3) Umat Yehuwa berusaha mendapat perkenan-Nya dan membantu orang lain. Jadi mereka ialah keluarga yang paling bahagia di bumi.—Baca Mazmur 33:12;Kisah 20:35.