PELAJARAN 11

Bagaimanakah Prinsip Bible Membantu Kita?

Bagaimanakah Prinsip Bible Membantu Kita?

1. Mengapakah kita memerlukan bimbingan Tuhan?

Bagaimanakah prinsip Bible menggerakkan kita untuk menjaga keselamatan?​—MAZMUR 36:10.

Pencipta kita lebih bijaksana daripada kita. Selaku Bapa yang pengasih, Dia prihatin terhadap kita. Manusia tidak diciptakan untuk hidup tanpa bimbingan-Nya. (Yeremia 10:23) Jadi, seperti anak kecil yang memerlukan bimbingan ibu bapa, kita semua memerlukan bimbingan Tuhan. (Yesaya 48:17, 18) Tuhan telah mengurniakan prinsip-prinsip Bible untuk membimbing kita.​—Baca 2 Timotius 3:16.

Hukum dan prinsip Yehuwa mengajar kita cara hidup yang terbaik pada masa sekarang dan membimbing kita untuk memperoleh hidup abadi pada masa hadapan. Oleh sebab Tuhan menciptakan kita, kita patut menerima bimbingan-Nya dengan penuh syukur.​—Baca Mazmur 19:8, 12; Wahyu 4:11.

2. Apa itu prinsip Bible?

Prinsip Bible ialah kebenaran yang asas. Hukum pula ditetapkan berdasarkan keadaan tertentu. (Ulangan 22:8) Kita perlu menggunakan daya fikir untuk memahami bagaimana suatu prinsip boleh diterapkan dalam suatu keadaan. (Amsal 2:10-12) Contohnya, Bible mengajarkan bahawa nyawa ialah kurniaan Tuhan. Prinsip ini dapat membimbing kita di tempat kerja, di rumah, dan semasa membuat perjalanan. Prinsip ini mengajar kita untuk mengambil langkah-langkah keselamatan.​—Baca Kisah 17:28.

3. Apakah dua prinsip Bible yang terpenting?

Yesus pernah menyatakan dua prinsip Bible yang terpenting. Prinsip yang pertama mengajarkan tujuan hidup manusia, iaitu mengenali Tuhan, mengasihi-Nya, dan menyembah-Nya dengan setia. Kita patut mempertimbangkan prinsip ini sebelum membuat sebarang keputusan. (Amsal 3:6) Mereka yang hidup menurut prinsip ini dapat menjadi sahabat Tuhan, mendapat kebahagiaan sejati, dan kehidupan kekal.​—Baca Matius 22:​36-38.

Prinsip yang kedua dapat membantu kita untuk hidup damai dengan orang lain. (1 Korintus 13:4-7) Kita menerapkan prinsip ini dengan meniru cara Yehuwa memperlakukan manusia.​—Baca Matius 7:12; 22:39, 40.

4. Bagaimanakah prinsip Bible membantu kita?

Prinsip Bible mengajar keluarga agar hidup bersatu dan saling mengasihi. (Kolose 3:12-14) Firman Tuhan juga melindungi keluarga dengan mengajarkan satu lagi prinsip, iaitu ikatan perkahwinan haruslah berkekalan.​—Baca Kejadian 2:24.

Kita dapat hidup bahagia dan menghindari masalah kewangan dengan mengikut prinsip-prinsip Bible. Contohnya, majikan selalunya lebih menyukai pekerja yang menerapkan prinsip Bible mengenai kejujuran dan kerajinan. (Amsal 10:4, 26; Ibrani 13:18) Firman Tuhan juga mengajar kita untuk berpuas hati dengan keperluan hidup dan mengutamakan persahabatan dengan Tuhan, bukannya harta benda.​—Baca Matius 6:24, 25, 33; 1 Timotius 6:8-10.

Kita boleh menjaga kesihatan dengan menerapkan prinsip Bible. (Amsal 14:30; 22:24, 25) Misalnya, hukum Tuhan mengutuk perbuatan mabuk. Jika kita mematuhi hukum ini, kita dilindungi daripada penyakit dan kemalangan yang membawa maut. (Amsal 23:20) Yehuwa mengizinkan kita untuk meminum arak secara sederhana. (Mazmur 104:15; 1 Korintus 6:10) Prinsip Tuhan mengajar kita agar mengawal tindakan dan fikiran sendiri. (Mazmur 119:97-100) Orang Kristian sejati mematuhi prinsip Yehuwa bukan hanya demi kepentingan diri. Mereka berbuat demikian untuk memuliakan Yehuwa.​—Baca Matius 5:14-16.