PELAJARAN 2

Siapakah Tuhan?

Siapakah Tuhan?

1. Mengapakah kita patut menyembah Tuhan?

Tuhan yang benar ialah Pencipta segala-galanya. Dia tidak mempunyai permulaan atau kesudahan. (Mazmur 90:2) Berita baik dalam Bible berasal daripada Tuhan. (1 Timotius 1:11) Kita patut menyembah Tuhan sahaja kerana Dia telah memberi kita kehidupan.​—Baca Wahyu 4:11.

2. Apakah sifat Tuhan?

Tiada manusia yang pernah melihat Tuhan kerana Tuhan itu Roh. Roh ialah hidupan yang jauh lebih tinggi daripada makhluk hidup di bumi. (Yohanes 1:18; 4:24) Meskipun begitu, kita boleh mengenali Tuhan melalui ciptaan-Nya. Misalnya, pelbagai jenis buah dan bunga menunjukkan bahawa Tuhan itu pengasih dan bijaksana. Alam semesta yang terbentang luas menunjukkan kuasa-Nya.​—Baca Roma 1:20.

Kita juga boleh lebih mengenali Tuhan dengan membaca Bible. Contohnya, Bible memberitahu kita apa yang disukai dan apa yang dibenci oleh Tuhan, cara Dia memperlakukan manusia, serta reaksi-Nya terhadap pelbagai keadaan.​—Baca Mazmur 103:7-10.

3. Adakah Tuhan mempunyai nama?

Yesus berkata, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.” (Matius 6:9) Meskipun Tuhan ada banyak gelaran, Dia hanya mempunyai satu nama. Sebutan nama-Nya berbeza mengikut bahasa. Dalam bahasa Malaysia, nama-Nya disebut “Yehuwa” atau “Yehowa.” Tetapi ada juga yang menyebutnya “Yahweh.”​—Baca Kejadian 2:4. *

Nama Tuhan telah dikeluarkan daripada banyak Bible dan telah digantikan dengan gelaran seperti Tuan atau Tuhan. Tetapi semasa Bible ditulis, nama Yehuwa muncul kira-kira 7,000 kali. Yesus mengajar orang kebenaran tentang Tuhan, termasuk nama-Nya.​—Baca Ibrani 2:12.

4. Adakah Yehuwa prihatin terhadap kita?

Seperti ayah pengasih ini, Tuhan membawa penyelesaian yang kekal

Ramai orang menderita. Adakah hal ini bererti bahawa Tuhan Yehuwa tidak prihatin terhadap kita? Ada yang mendakwa bahawa penderitaan adalah cubaan daripada Tuhan, tetapi hal ini tidak benar.​—Baca Ayub 34:10.

Tuhan mengurniai kita kebebasan untuk memilih. Tidakkah kita patut menghargai kebebasan ini dan memilih untuk menyembah-Nya? (Yosua 24:15) Tetapi banyak orang memilih untuk berbuat jahat, jadi ramai orang menderita. Yehuwa sedih melihat ketidakadilan.​—Baca Kejadian 6:5, 6.

Tuhan Yehuwa mengambil berat tentang kita. Dia ingin kita menikmati hidup. Tidak lama lagi, Dia akan menghapuskan penderitaan dan kejahatan. Jadi mengapakah Tuhan mengizinkan penderitaan berlaku buat masa ini? Kita akan mempelajari sebabnya di Pelajaran 8.​—Baca 2 Petrus 2:9; 3:7, 13.

5. Bagaimanakah kita dapat lebih mendekati Tuhan?

Yehuwa menjemput kita untuk mendekati-Nya melalui doa. Dia ingin mengenali setiap orang. (Mazmur 65:3; 145:18) Meskipun kita berbuat salah, Dia rela mengampuni kita. Dia tahu bahawa kita berusaha menyenangkan hati-Nya. Jadi, walaupun kita tidak sempurna, kita masih boleh menjalin hubungan erat dengan Tuhan.​—Baca Mazmur 103:12-14; Yakobus 4:8.

Yehuwa telah memberi kita kehidupan, maka kita harus mengasihi-Nya lebih daripada sesiapa pun. (Markus 12:30) Tunjukkanlah kasih anda kepada Tuhan dengan terus belajar tentang-Nya dan mentaati perintah-Nya. Dengan ini, anda pasti lebih mendekati-Nya.​—Baca 1 Timotius 2:4; 1 Yohanes 5:3.

^ per. 4 Nota kaki dalam Alkitab Berita Baik menyatakan, TUHAN: Dalam terjemahan ini “TUHAN” adalah padanan nama Ibrani YHWH yang diduga sebutannya Yahweh, dan ada juga yang menyebutnya Yehowa.