PELAJARAN 4

Siapakah Yesus Kristus?

Siapakah Yesus Kristus?

1. Apakah asal usul Yesus?

Apakah sifat-sifat Yesus yang membuatnya mudah dihampiri?​—MATIUS 11:29; MARKUS 10:​13-16.

Yesus berbeza daripada orang lain kerana dia pernah hidup di syurga sebagai makhluk roh sebelum dilahirkan di bumi. (Yohanes 8:23) Dia ialah ciptaan pertama Tuhan, dan dia membantu Tuhan menciptakan segala sesuatu. Hanya Yesus yang diciptakan oleh Tuhan sendiri, maka dia dipanggil “anak tunggal” Tuhan. (Yohanes 1:14) Yesus ialah Jurucakap Tuhan, jadi dia juga dipanggil “Firman.”​—Baca Amsal 8:22, 23, 30; Kolose 1:16.

2. Mengapakah Yesus turun ke bumi?

Tuhan mengutus Anak-Nya ke bumi dengan memindahkan nyawanya dari syurga ke dalam rahim Maria, seorang perawan Yahudi. Jadi, Yesus tidak mempunyai seorang bapa manusia. (Lukas 1:​30-35) Yesus turun ke bumi untuk (1) mengajar kita kebenaran tentang Tuhan, (2) menjadi suri teladan kita dengan melakukan kehendak Tuhan meskipun menghadapi kesusahan, dan (3) menyerahkan nyawanya yang sempurna sebagai tebusan.​—Baca Matius 20:28.

3. Mengapakah kita memerlukan tebusan?

Tebusan ialah harga yang dibayar agar seseorang dibebaskan daripada ancaman maut. (Keluaran 21:29, 30) Kematian dan usia tua bukanlah tujuan asal Tuhan bagi manusia. Bagaimana kita tahu? Tuhan memberitahu manusia pertama, Adam, bahawa jika dia mengingkari-Nya, atau melakukan “dosa” menurut Bible, dia akan mati. Jadi sekiranya Adam tidak berdosa, dia tidak akan mati. (Kejadian 2:16, 17; 5:5) Menurut Bible, maut “masuk ke dalam dunia” melalui Adam. Maksudnya, Adam mewariskan dosa kepada semua keturunannya. Itulah sebabnya manusia mati. Kita memerlukan tebusan agar dapat dibebaskan daripada hukuman dosa, iaitu kematian.​—Baca Roma 5:12; 6:23.

Siapakah yang dapat membayar tebusan dan membebaskan kita daripada kematian? Apabila kita mati, kita menanggung hukuman bagi dosa sendiri. Sebagai insan yang berdosa, kita tidak boleh menebus dosa sesiapa pun.​—Baca Mazmur 49:8-10.

4. Mengapakah Yesus mati?

Tidak seperti kita, Yesus adalah sempurna dan tidak pernah berdosa. Jadi, dia tidak perlu mati demi dosanya. Sebaliknya, dia mati demi dosa orang lain. Tuhan sangat mengasihi manusia sehingga Dia mengutus Anak-Nya untuk mati bagi kita. Yesus juga mengasihi kita kerana dia mematuhi Bapanya dan mengorbankan nyawanya demi dosa kita.​—Baca Yohanes 3:16; Roma 5:18, 19.

5. Apakah yang dilakukan oleh Yesus sekarang?

Semasa Yesus di bumi, dia menyembuhkan orang sakit, membangkitkan orang mati, dan melegakan hati orang yang menderita. Dengan ini, dia menunjukkan apa yang bakal dilakukannya bagi manusia yang taat. (Matius 15:30, 31; Yohanes 5:28) Selepas Yesus mati, Tuhan membangkitkannya sebagai makhluk roh. (1 Petrus 3:18) Kemudian, Yesus menunggu di sebelah kanan Tuhan sehingga Yehuwa menabalkannya sebagai Raja seluruh bumi. (Ibrani 10:12, 13) Sekarang, Yesus memerintah sebagai Raja di syurga, dan pengikutnya sedang menyebarkan berita baik ini di serata dunia.​—Baca Daniel 7:13, 14; Matius 24:14.

Tidak lama lagi, Yesus selaku Raja akan menghapuskan semua orang jahat dan mengakhiri segala penderitaan. Semua orang yang beriman kepada Yesus dan mentaatinya akan hidup di bumi firdaus.​—Baca Mazmur 37:9-11.