PELAJARAN 15

Mengapakah Anda Patut Terus Mengenali Tuhan?

Mengapakah Anda Patut Terus Mengenali Tuhan?

1. Apakah manfaatnya jika anda terus belajar Bible?

Setakat ini, anda telah mempelajari ajaran asas Bible. Sudah tentu, kasih anda terhadap Yehuwa telah bertumbuh. Tetapi anda harus terus memupuk kasih ini. (1 Petrus 2:2) Jika anda ingin hidup kekal, anda perlu terus menghampiri Tuhan dengan mempelajari Firman-Nya.​—Baca Yohanes 17:3; Yudas 21.

Semakin dalam pengetahuan anda tentang Tuhan, semakin teguh iman anda. Iman akan membantu anda mendapat perkenan Tuhan. (Ibrani 11:1, 6) Iman juga akan menggerakkan anda untuk bertaubat dan membuat perubahan baik dalam hidup.​—Baca Kisah 3:19.

2. Bagaimanakah pengetahuan anda tentang Tuhan dapat membantu orang lain?

Anda boleh menjalin persahabatan yang erat dengan Yehuwa

Anda pasti ingin berkongsi pengetahuan anda dengan orang lain. Jadi, teruslah mempelajari Bible supaya anda tahu cara menggunakan Bible untuk menjelaskan kepercayaan anda tentang Yehuwa dan berita baik.​—Baca Roma 10:13-15.

Kebanyakan orang mula berkongsi berita baik dengan sahabat dan saudara-mara. Jangan menyinggung perasaan mereka dengan mengatakan bahawa agama mereka adalah salah. Sebaliknya, beritahulah mereka tentang janji-janji Tuhan. Ingatlah, sikap baik anda selalunya meninggalkan kesan yang lebih baik berbanding kata-kata anda.​—Baca 2 Timotius 2:24, 25.

3. Apakah hubungan yang boleh anda jalin dengan Tuhan?

Dengan mempelajari Bible, anda dapat bertumbuh secara rohani. Lama-kelamaan, anda boleh menjalin persahabatan yang sangat istimewa dengan Yehuwa. Anda bahkan dapat menjadi sebahagian daripada keluarga-Nya.​—Baca 2 Korintus 6:18.

4. Bagaimanakah anda dapat terus maju secara rohani?

Anda dapat maju secara rohani dengan terus mempelajari Firman Tuhan. (Ibrani 5:13, 14) Belajarlah Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa dengan menggunakan buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? Semakin dalam pengetahuan anda tentang Firman Tuhan, semakin banyak manfaat yang akan anda tuai.​—Baca Mazmur 1:1-3; 73:27, 28.

Bible mengandungi berita baik daripada “Tuhan yang gembira.” (1 Timotius 1:​11, NW) Anda dapat menghampiri Tuhan jika anda bergaul rapat dengan umat-Nya. (Ibrani 10:​24, 25) Teruslah berusaha menyenangkan hati Yehuwa. Dengan ini, anda sedang mengejar hidup yang sejati dan kekal. Hampirilah Tuhan kerana inilah tindakan yang paling bijak.​—Baca 1 Timotius 6:19.