PELAJARAN 23

Bagaimanakah Bahan Bacaan Kami Ditulis dan Diterjemahkan?

Bagaimanakah Bahan Bacaan Kami Ditulis dan Diterjemahkan?

Bahagian Penulisan, A.S.

Korea Selatan

Armenia

Burundi

Sri Lanka

Kami berusaha sebaik-baiknya untuk mengisytiharkan “berita baik” kepada “semua bangsa, suku, bahasa, dan negara.” Maka, kami menerbitkan bahan bacaan dalam lebih daripada 750 bahasa. (Wahyu 14:6) Bagaimanakah kami melakukannya? Dengan bantuan para penulis dan penterjemah dari pelbagai negara​—mereka semuanya Saksi-Saksi Yehuwa.

Teks asal disediakan dalam bahasa Inggeris. Badan Pimpinan mengawasi kegiatan Bahagian Penulisan di ibu pejabat sedunia kami. Bahagian ini akan mengagihkan tugas kepada para penulis yang berkhidmat di ibu pejabat dan pejabat cawangan di negara-negara tertentu. Para penulis ini akan menulis tentang topik-topik yang menyentuh pelbagai budaya. Dengan ini, bahan bacaan kami dapat menarik minat orang di serata dunia.

Teks asal dihantar kepada para penterjemah. Hasil tulisan akan disunting dan diluluskan lalu dihantar dengan menggunakan komputer kepada kumpulan penterjemah di serata dunia yang akan menterjemah teks itu. Mereka berusaha memilih perkataan yang tepat dan yang dapat menyingkapkan sepenuhnya maksud yang disampaikan dalam teks bahasa Inggeris.​—Pengkhutbah 12:10.

Komputer mempercepat kerja menterjemah. Komputer tidak boleh menggantikan penulis dan penterjemah manusia. Tetapi kerja manusia boleh dipercepat dengan menggunakan pelbagai program komputer. Saksi-Saksi Yehuwa telah mereka cipta Sistem Penerbitan Elektronik Berbilang Bahasa (MEPS). Sistem ini membolehkan kami menaip teks dalam ratusan bahasa, mencantumkannya dengan gambar rajah, dan menyusunnya untuk pencetakan.

Mengapakah kami berusaha melakukan semua ini, bahkan bagi bahasa yang dituturkan oleh beberapa ribu orang sahaja? Hal ini kerana Yehuwa ingin “semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar.”​—1 Timotius 2:3, 4.

  • Bagaimanakah bahan bacaan kami ditulis?

  • Mengapakah kami menterjemahkan bahan bacaan ke dalam begitu banyak bahasa?