PELAJARAN 27

Apakah Manfaat Perpustakaan Dewan Perjumpaan?

Apakah Manfaat Perpustakaan Dewan Perjumpaan?

Israel

Republik Czech

Benin

Kepulauan Cayman

Inginkah anda membuat penyelidikan untuk menambah pengetahuan tentang Bible? Adakah anda mempunyai soalan tentang suatu ayat, watak, tempat, atau butiran yang disebutkan dalam Bible? Atau pernahkah anda tertanya-tanya sama ada Firman Tuhan dapat membantu anda menangani masalah peribadi? Jika ya, gunakanlah perpustakaan Dewan Perjumpaan.

Perpustakaan membantu anda membuat penyelidikan. Barangkali anda tidak memiliki semua bahan bacaan Bible Saksi-Saksi Yehuwa dalam bahasa anda. Tetapi perpustakaan di Dewan Perjumpaan mempunyai kebanyakan bahan bacaan yang terkini. Perpustakaan tersebut mungkin menyimpan beberapa terjemahan Bible, kamus, dan bahan rujukan. Anda boleh menggunakan perpustakaan ini sebelum dan selepas perjumpaan. Jika perpustakaan mempunyai komputer, anda boleh menggunakan program Watchtower Library yang memuatkan banyak bahan bacaan kami untuk menyelidiki suatu topik, perkataan, atau ayat Bible dengan mudah sekali.

Perpustakaan ini berguna bagi pelajar yang ada tugasan semasa Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita. Anda boleh menggunakan perpustakaan Dewan Perjumpaan semasa menyiapkan tugasan anda. Penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita bertanggungjawab menguruskan perpustakaan. Dia akan memastikan bahawa bahan bacaan yang terkini disimpan dan disusun dengan rapi. Dia atau guru Bible anda boleh mengajar anda cara untuk mencari maklumat yang diperlukan. Tetapi, buku-buku di dalam perpustakaan ini tidak boleh dibawa pulang. Gunakanlah bahan bacaan dengan cermat dan jangan mengotorkannya.

Bible menjelaskan bahawa jika kita ingin mendapat ‘pengetahuan tentang Tuhan,’ kita mesti berusaha mencarinya ‘seperti mencari harta terpendam.’ (Amsal 2:1-5) Perpustakaan Dewan Perjumpaan dapat membantu anda memulakan pencarian ini.

  • Apakah bahan penyelidikan yang terdapat dalam perpustakaan Dewan Perjumpaan?

  • Siapakah yang dapat mengajar anda cara terbaik untuk menggunakan perpustakaan?