PELAJARAN 19

Siapakah Hamba yang Setia dan Bijaksana?

Siapakah Hamba yang Setia dan Bijaksana?

Kita semua mendapat manfaat daripada makanan rohani

Tidak lama sebelum Yesus mati, dia bercakap dengan empat orang muridnya​—Petrus, Yakobus, Yohanes, dan Andreas. Seraya Yesus menubuatkan tanda kehadirannya pada akhir zaman, dia mengajukan satu soalan penting, ‘Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah orang yang ditunjuk tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan.’ (Matius 24:3, 45; Markus 13:3, 4) Selaku “tuan” mereka, Yesus berjanji bahawa pada akhir zaman, dia akan membekalkan makanan rohani kepada pengikutnya menerusi “hamba” yang dilantiknya. “Hamba” ini terdiri daripada siapa?

Sekumpulan kecil pengikut sejati Yesus yang terurap. “Hamba” ini dikenali sebagai Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa. Hamba ini juga membekalkan makanan rohani tepat pada masanya kepada rakan seiman yang menyembah Yehuwa. Kita bergantung pada hamba yang setia ini untuk ‘memberikan makanan pada waktu yang ditentukan.’​—Lukas 12:42.

Hamba ini menguruskan segala harta yang diamanahkan oleh Tuan mereka. (Lukas 12:44) Yesus mengamanahkan tanggungjawab yang berat kepada hamba ini untuk menguruskan organisasi Yehuwa di bumi, seperti menjaga harta benda, menyelia kerja penyebaran, dan mengajar kita menerusi sidang Kristian. Hamba ini membekalkan makanan rohani yang tepat pada waktunya menerusi bahan bacaan berserta program yang disampaikan di perjumpaan dan perhimpunan kami.

Hamba ini setia kepada ajaran benar Bible dan tugas menyebarkan berita baik. Hamba ini juga bijaksana kerana pandai menguruskan semua hal di bumi yang telah diamanahkan oleh Kristus. (Kisah 10:42) Yehuwa memberkati usaha hamba ini. Hasilnya, kerja penyebaran semakin maju dan makanan rohani disediakan dengan berlimpah.​—Yesaya 60:22; 65:13.

  • Siapakah yang dilantik oleh Yesus untuk memberikan makanan rohani kepada muridnya?

  • Bagaimanakah hamba ini setia dan bijaksana?