Lihatlah gambar-gambar dalam brosur ini. Perhatikan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa berpakaian kemas sewaktu menghadiri perjumpaan. Mengapakah kami begitu menitikberatkan pakaian dan dandanan kami?
Untuk menunjukkan hormat kepada Tuhan kami. Memang, Tuhan tidak menilai orang berdasarkan penampilan. (1 Samuel 16:7) Namun, sewaktu kami berkumpul untuk menyembah-Nya, kami ingin menunjukkan hormat kepada-Nya dan rakan seiman. Jika kita menghadap raja atau perdana menteri, kita berpakaian kemas kerana ingin menunjukkan hormat. Begitu juga, cara pemakaian kami semasa perjumpaan menunjukkan bahawa kami menghormati ‘Raja semua bangsa,’ Tuhan Yehuwa, dan tempat ibadat kami.—Yeremia 10:7.
Untuk mencerminkan nilai-nilai moral yang membimbing hidup kami. Bible menggalakkan orang Kristian untuk “mengenakan pakaian yang senonoh.” (1 Timotius 2:9, 10) Ertinya, kita mengelakkan pakaian yang mungkin terlalu mewah, menjolok mata, atau menggoda. Sebaliknya, kita memilih pakaian yang menarik, tetapi tidak selekeh atau keterlaluan. Prinsip-prinsip ini masih memberi kita peluang untuk mengikut cita rasa sendiri. Penampilan yang menarik dan sopan dapat ‘memuji ajaran tentang Tuhan,’ dan memuliakan-Nya. (Titus 2:10; 1 Petrus 2:12) Cara kita berpakaian dapat mempengaruhi pandangan orang lain terhadap ibadat kita kepada Yehuwa.
Janganlah segan untuk datang ke Dewan Perjumpaan kerana anda tidak memiliki pakaian yang mahal atau formal. Pakaian yang kemas, bersih, dan sederhana sudah memadai.
Seberapa pentingkah cara berpakaian sewaktu beribadat kepada Tuhan?
Apakah prinsip-prinsip yang membantu kita memilih pakaian dan dandanan?