PELAJARAN 7

Bagaimanakah Perjumpaan Kami Diadakan?

Bagaimanakah Perjumpaan Kami Diadakan?

New Zealand

Jepun

Uganda

Lithuania

Orang Kristian masa awal bernyanyi, berdoa, serta membaca dan membincangkan Bible semasa perjumpaan mereka, tanpa sebarang upacara keagamaan. (1 Korintus 14:26) Begitu juga dengan perjumpaan kami.

Ajaran yang disampaikan praktikal dan berdasarkan Bible. Pada hujung minggu, setiap sidang berkumpul untuk mendengar ceramah Bible selama 30 minit yang menjelaskan kaitan Bible dengan kehidupan kami dan zaman sekarang. Kami digalakkan untuk mengikuti perbincangan dalam Bible sendiri. Selepas ceramah, Pembelajaran Majalah diadakan selama sejam. Hadirin dijemput untuk mengambil bahagian semasa perbincangan rencana majalah pembelajaran. Perbincangan ini membantu kami menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan. Maklumat yang sama turut dibincangkan di lebih daripada 110,000 buah sidang di seluas bumi.

Kemahiran mengajar kami diasah. Kami juga mengadakan perjumpaan pada malam pertengahan minggu. Perjumpaan yang mengandungi tiga bahagian ini dikenali sebagai Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita. Bahan yang digunakan adalah berdasarkan Lembaran Kerja bagi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita yang disediakan setiap bulan. Bahagian perjumpaan yang pertama, iaitu Harta Karun dalam Firman Tuhan, membantu kami memahami bahagian Bible yang telah dibaca terlebih dahulu. Kemudian, bahagian Jadilah Penginjil yang Lebih Mahir mengandungi demonstrasi untuk menunjukkan cara mengadakan perbincangan Bible dengan seseorang. Seorang penasihat akan mencadangkan cara untuk memperbaik kemahiran membaca dan bertutur kami. (1 Timotius 4:13) Bahagian perjumpaan terakhir ialah Kehidupan Kristian Kita yang akan membahaskan cara untuk menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan seharian kita. Bahagian ini mengandungi sesi soal jawab yang membantu kami memahami ajaran Bible dengan mendalam.

Apabila anda menghadiri perjumpaan kami, anda pasti kagum dengan kualiti pendidikan Bible yang diberikan.​—Yesaya 54:13.

  • Apakah yang akan anda pelajari di perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa?

  • Bolehkah anda menghadiri salah satu perjumpaan mingguan kami?