Berapa ramaikah Saksi-Saksi Yehuwa yang anda kenal? Mungkin kami ialah jiran, rakan sekerja, atau rakan sekolah anda. Barangkali kami pernah membincangkan Bible dengan anda. Siapakah sebenarnya kami? Mengapakah kami memberitahu orang lain tentang kepercayaan kami?
Kami insan biasa. Kami datang dari pelbagai lapisan masyarakat. Ada antara kami yang dahulunya menganuti agama yang berbeza, malah ada yang tidak percaya pada Tuhan. Namun, sebelum menjadi Saksi, kami mengambil masa untuk meneliti ajaran Bible. (Kisah 17:11) Kami bersetuju dengan apa yang dipelajari lalu memilih untuk menyembah Tuhan Yehuwa.
Kami mendapat manfaat kerana mempelajari Bible. Seperti orang lain, kami perlu menangani masalah dan kelemahan diri. Namun, hidup kami bertambah baik setelah berusaha menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan seharian. (Mazmur 128:1, 2) Itulah salah satu sebabnya kami berkongsi ajaran baik Bible dengan orang lain.
Kami hidup menurut prinsip Tuhan. Prinsip Bible membantu kami hidup sejahtera, menghormati orang lain, dan memupuk sifat seperti kejujuran dan kebaikan hati. Prinsip ini menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang sihat dan berguna, perpaduan dalam keluarga, dan kehidupan yang bermoral. Kami yakin bahawa Tuhan “memperlakukan semua orang dengan sama rata,” maka kami seperti sebuah keluarga rohani yang bebas daripada batas kaum dan politik. Walaupun kami masing-masing manusia biasa, kami mempunyai hubungan persaudaraan antarabangsa yang sangat unik.—Kisah 4:13; 10:34, 35.
Apakah persamaan antara Saksi-Saksi Yehuwa dan orang lain?
Apakah nilai-nilai baik yang dipelajari oleh Saksi-Saksi Yehuwa dengan mengkaji Bible?