Kita semua memerlukan wang untuk menyediakan keperluan keluarga. (Amsal 30:8) Lagipun, wang dapat “memberikan jaminan.” (Pengkhutbah 7:12) Berbincang tentang wang mungkin tidak mudah bagi anda, tetapi jangan biarkan wang menyebabkan masalah dalam perkahwinan anda. (Efesus 4:32) Suami isteri harus saling percaya dan bekerjasama semasa menentukan cara menggunakan wang.
1 RANCANG DENGAN TELITI
NASIHAT BIBLE: “Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu.” (Lukas 14:28) Merancang bersama-sama tentang cara menggunakan wang adalah penting. (Amos 3:3) Tentukan apa yang anda perlu beli dan jumlah yang anda mampu belanja. (Amsal 31:16) Mempunyai wang untuk membeli sesuatu tidak bererti anda perlu mendapatkannya. Elakkan daripada berhutang. Jangan belanja di luar kemampuan anda.—Amsal 21:5; 22:7.
ANDA BOLEH:
Jika mempunyai wang lebihan pada hujung bulan, bincanglah tentang cara menggunakan wang tersebut
Jika anda kekurangan wang, rancanglah dengan teliti untuk kurangkan perbelanjaan. Contohnya, masaklah sendiri dan bukannya makan di luar
2 BERSIKAP JUJUR DAN MUNASABAH
NASIHAT BIBLE: ‘Lakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Yehuwa, tetapi juga di hadapan manusia.’ (2 Korintus 8:21) Anda patut bersikap jujur dengan pasangan anda tentang pendapatan dan perbelanjaan anda.
Bincanglah dengan pasangan anda sebelum membuat keputusan yang penting tentang penggunaan wang anda. (Amsal 13:10) Berbincang tentang penggunaan wang dapat membantu mengekalkan kedamaian dalam perkahwinan anda. Anggaplah pendapatan anda sebagai wang keluarga dan bukannya wang peribadi.—1 Timotius 5:8.
ANDA BOLEH:
Bincang dengan pasangan anda jumlah wang yang anda boleh belanja tanpa memerlukan persetujuan
Berbincang terlebih dahulu sebelum masalah kewangan timbul