“Kamu harus . . . baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan bersabar.”—Kolose 3:12
Perkahwinan menghasilkan keluarga yang baru. Walaupun anda akan terus mengasihi dan menghormati ibu bapa, pasangan anda ialah orang yang paling penting bagi anda. Sesetengah ahli keluarga mungkin berasa susah untuk menerima hal ini. Tetapi, prinsip Bible dapat membantu anda seimbang agar kedamaian dapat dikekalkan. Pada masa yang sama anda dapat bekerja keras untuk membina hubungan kekeluargaan yang baru.
1 TETAP BERPANDANGAN WAJAR TERHADAP SAUDARA-MARA
NASIHAT BIBLE: “Hormatilah ibu bapamu.” (Efesus 6:2, 3) Biarpun sudah dewasa, anda harus sentiasa menghormati ibu bapa anda. Ingatlah bahawa pasangan anda juga perlu memberikan perhatian kepada ibu bapanya. Kasih tidak “iri hati.” Jadi janganlah berasa tertekan jika pasangan anda mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapanya.—1 Korintus 13:4; Galatia 5:26.
ANDA BOLEH:
Elakkan kata-kata seperti, “Saya selalu dipandang rendah oleh keluargamu” atau “Ibumu tidak pernah menghargai apa yang saya lakukan”
Cuba memahami pandangan pasangan anda
2 BERTEGASLAH JIKA PERLU
NASIHAT BIBLE: “Seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu.” (Kejadian 2:24) Selepas berkahwin, ibu bapa mungkin berasa bahawa mereka masih bertanggungjawab terhadap anda dan ingin masuk campur dalam hal keluarga anda.
Anda berdua boleh menentukan batasnya dan memberitahu mereka keputusan anda dengan sopan. Anda boleh berterus terang, tetapi janganlah bersikap kasar. (Amsal 15:1) Kerendahan hati, kelemahlembutan, dan kesabaran akan membantu anda untuk sentiasa ‘menunjukkan kasih’ dan memupuk hubungan yang mesra dengan saudara-mara.—Efesus 4:2.
ANDA BOLEH:
Pilih masa yang sesuai untuk berbincang dengan pasangan anda jika anda risau saudara-mara akan masuk campur dalam hal keluarga anda
Capai persetujuan tentang cara mengendalikan hal ini