“Sembahlah Dia yang menjadikan langit.”—Wahyu 14:7
Seperti yang anda pelajari dalam brosur ini, Bible mengandungi banyak prinsip yang akan membantu anda sekeluarga. Yehuwa ingin anda bahagia. Dia berjanji bahawa ‘semua perkara akan diberikan kepada kamu’ jika anda utamakan penyembahan kepada-Nya. (Matius 6:33) Dia ingin anda menjadi sahabat-Nya. Gunakan setiap peluang untuk memupuk persahabatan dengan Tuhan kerana ini adalah penghormatan terbesar bagi kita.—Matius 22:37, 38.
1 ERATKAN HUBUNGAN ANDA DENGAN YEHUWA
NASIHAT BIBLE: Yehuwa berfirman, “Aku akan menjadi Bapa kamu, dan kamu akan menjadi anak-anak-Ku lelaki dan perempuan.” (2 Korintus 6:18) Tuhan ingin anda menjadi sahabat-Nya yang akrab. Satu cara untuk berbuat demikian adalah dengan berdoa. Yehuwa menjemput anda untuk ‘berdoa sentiasa.’ (1 Tesalonika 5:17) Dia sangat ingin mendengar isi hati dan kerisauan anda. (Filipi 4:6) Apabila anda berdoa bersama keluarga, mereka dapat merasakan bahawa Yehuwa sangat nyata bagi diri anda.
Selain daripada berdoa, anda juga perlu mendengar cakap Tuhan. Anda boleh berbuat demikian dengan mempelajari Firman-Nya dan bahan bacaan berdasarkan Bible. (Mazmur 1:1, 2) Renungkan apa yang telah anda pelajari. (Mazmur 77:12, 13) Mendengar cakap Tuhan juga bererti bahawa anda perlu menghadiri perjumpaan Kristian secara tetap.—Mazmur 122:1-4.
Memberitahu orang lain tentang Yehuwa juga penting untuk mengeratkan hubungan anda dengan-Nya. Jika anda bergiat melakukannya, anda akan semakin rapat dengan Yehuwa.—Matius 28:19, 20.
ANDA BOLEH:
Luangkan masa setiap hari untuk membaca Bible dan berdoa
Sebagai sebuah keluarga, utamakan aktiviti rohani, bukannya hiburan dan rekreasi
2 NIKMATI PENYEMBAHAN KELUARGA ANDA
NASIHAT BIBLE: ‘Hampirilah Tuhan, dan Tuhan pun akan menghampiri kamu.’ (Yakobus 4:8) Anda perlu mengikut jadual program penyembahan keluarga* yang telah anda tetapkan. (Kejadian 18:19) Selain itu, Tuhan mesti menjadi sebahagian daripada hidup anda. Eratkan hubungan keluarga anda dengan Tuhan. Caranya adalah bercakap tentang Tuhan “semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.” (Ulangan 6:6, 7) Bertekadlah untuk meniru Yosua yang berkata, ‘Bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada Yehuwa.’—Yosua 24:15.
ANDA BOLEH:
Adakan program latihan secara tetap yang mengambil kira keperluan setiap ahli keluarga anda
^ per. 13 Untuk maklumat lanjut, sila lihat pelajaran 10 yang bertajuk “Apakah Itu Penyembahan Keluarga?” dalam brosur Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?