BAHAGIAN 1

Perkahwinan Bahagia dengan Bantuan Tuhan

Perkahwinan Bahagia dengan Bantuan Tuhan

‘Pada mulanya Tuhan menciptakan lelaki dan perempuan.’​—Matius 19:4

Tuhan Yehuwa * telah melangsungkan perkahwinan yang pertama. Bible memberitahu kita bahawa Dia menciptakan wanita yang pertama dan “membawanya kepada lelaki itu.” Adam sangat gembira dan berkata, ‘Inilah dia, tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku.’ (Kejadian 2:22, 23) Hari ini, Yehuwa juga ingin agar pasangan yang berkahwin menikmati kebahagiaan.

Selepas berkahwin, anda mungkin berfikir bahawa semuanya akan berjalan dengan lancar. Hakikatnya adalah suami isteri yang saling mencintai juga akan menghadapi masalah. (1 Korintus 7:28) Brosur ini mengandungi prinsip Bible yang boleh diterapkan agar perkahwinan dan keluarga anda bahagia.​—Mazmur 19:9-12.

1 TERIMA TANGGUNGJAWAB DARIPADA YEHUWA

NASIHAT BIBLE: Suami ialah kepala keluarga.​—Efesus 5:23.

Sebagai suami, Yehuwa ingin anda menjaga isteri dengan penuh kasih. (1 Petrus 3:7) Dia menciptakan isteri sebagai pelengkap bagi anda dan ingin anda melayan isteri dengan hormat dan kasih. (Kejadian 2:18) Anda harus mengasihi isteri dengan mendalam sehingga rela mengutamakan kepentingannya, bukan kepentingan sendiri.​—Efesus 5:25-29.

Sebagai isteri, Yehuwa ingin anda menghormati suami dengan mendalam dan membantu suami melaksanakan tanggungjawabnya. (1 Korintus 11:3; Efesus 5:33) Sokonglah keputusannya dan berikan kerjasama dengan sepenuh hati. (Kolose 3:18) Dengan demikian, anda akan menjadi berharga dalam pandangan suami dan Yehuwa.​—1 Petrus 3:1-6.

ANDA BOLEH:

  • Tanya pasangan anda cara untuk menjadi suami atau isteri yang lebih baik. Dengar dengan teliti dan buatlah perubahan

  • Bersabar. Masa diperlukan untuk mempelajari cara menggembirakan hati satu sama lain

2 PRIHATIN TERHADAP PERASAAN PASANGAN ANDA

NASIHAT BIBLE: Anda perlu peka terhadap kepentingan pasangan anda. (Filipi 2:3, 4) Layanlah pasangan anda dengan baik, kerana dia sangat berharga dan Yehuwa ingin agar hamba-Nya bersikap “ramah dengan semua orang.” (2 Timotius 2:24) Fikirlah sebelum bercakap kerana “kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang, tetapi ucapan yang bijak bagaikan ubat yang menyembuhkan.” (Amsal 12:18) Daya aktif Yehuwa akan membantu anda agar dapat bercakap dengan lemah lembut dan penuh kasih.​—Galatia 5:22, 23; Kolose 4:6.

ANDA BOLEH:

  • Berdoa agar dapat bertenang dan berfikiran terbuka sebelum membincangkan perkara serius dengan pasangan anda

  • Fikir dengan teliti apa yang akan anda kata dan cara menyampaikannya

3 BERSATU DALAM PEMIKIRAN

NASIHAT BIBLE: Selepas berkahwin, anda berdua “menjadi satu.” (Matius 19:5) Tetapi, anda masih merupakan dua individu dan mungkin mempunyai pendapat yang berbeza. Jadi, anda harus belajar untuk bersatu dalam pemikiran dan perasaan. (Filipi 2:2) Persetujuan sangat penting semasa membuat keputusan. Bible berkata, “Mintalah nasihat supaya berjaya.” (Amsal 20:18) Biarlah prinsip Bible membimbing anda semasa membuat keputusan penting bersama-sama.​—Amsal 8:32, 33.

ANDA BOLEH:

  • Kongsi perasaan dengan pasangan anda dan bukan hanya maklumat atau pendapat

  • Bincang terlebih dahulu dengan pasangan anda sebelum membuat keputusan

^ per. 4 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible.