PELAJARAN 11

Dapatkan Manfaat yang Sepenuhnya daripada Bible

Dapatkan Manfaat yang Sepenuhnya daripada Bible
Tunjuk Perkataan Sembunyi Perkataan

Pernahkah anda disuruh untuk membuat projek yang sangat besar dan mencabar? Untuk menyiapkan projek itu, anda mungkin membahagikannya kepada tugas-tugas yang lebih kecil. Bagi sesetengah orang, membaca Bible adalah seperti projek yang sangat besar dan susah dilakukan. Dalam pelajaran ini, anda akan tahu cara untuk lebih menikmati pembacaan dan pembelajaran Bible anda.

1. Mengapakah kita harus membaca Bible setiap hari?

Jika kita membaca “hukum Yehuwa” atau Firman-Nya setiap hari, kita akan rasa gembira dan menjadi orang yang berjaya. (Baca Mazmur 1:1-3.) Mula-mula, bacalah Bible selama beberapa minit setiap hari. Semakin anda mengenali Firman Tuhan, pembacaan Bible akan menjadi semakin menyeronokkan.

2. Apakah cara untuk mendapat lebih banyak manfaat daripada pembacaan Bible?

Semasa membaca Bible, kita digalakkan untuk ‘merenungkannya.’ (Yosua 1:8) Apakah maksudnya? Kita harus berhenti sejenak dan fikir tentang apa yang dibaca. Untuk membantu kita, tanyalah soalan seperti, “Daripada ayat ini, apakah yang saya belajar tentang Tuhan Yehuwa? Bagaimanakah saya dapat menggunakannya dalam hidup saya? Bagaimanakah saya dapat menggunakannya untuk membantu orang lain?”

3. Bagaimanakah anda dapat mencari masa untuk membaca Bible?

Anda mungkin sangat sibuk dan rasa anda tiada masa untuk membaca Bible. Sebenarnya, banyak orang pun rasa begitu. Oleh itu, kita digalakkan untuk ‘membeli masa.’ (Efesus 5:16, nota kaki) Kita dapat berbuat demikian dengan menetapkan masa tertentu setiap hari untuk membaca Bible. Contohnya, ada orang yang suka bangun lebih awal untuk membaca Bible. Yang lain pula membaca Bible semasa rehat tengah hari atau sebelum tidur. Bilakah masa yang terbaik bagi anda?

KETAHUILAH

Belajarlah cara untuk menjadikan pembacaan Bible anda lebih menarik. Belajar juga cara untuk membuat persiapan bagi pembelajaran Bible supaya anda mendapat lebih banyak manfaat.

Sepertimana kita dapat belajar untuk menikmati makanan yang baharu, kita juga boleh belajar untuk menikmati pembacaan Bible

4. Cadangan atau tips untuk menikmati pembacaan Bible

Sepertimana seseorang dapat belajar untuk menikmati makanan yang baharu, anda juga boleh ‘memupuk keinginan’ untuk membaca Bible secara tetap. Baca 1 Petrus 2:2, kemudian bincang soalan berikut:

  • Jika anda berusaha membaca Bible setiap hari, adakah anda rasa anda akan lebih menikmatinya?

Lihat pengalaman orang yang akhirnya suka baca Bible. Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apakah cabaran yang perlu diatasi oleh orang muda dalam video ini?

  • Apakah yang membantu mereka berjaya memupuk tabiat membaca Bible?

  • Bagaimanakah mereka menjadikan pembacaan Bible lebih menarik?

Tips untuk membaca Bible:

  • Pilih terjemahan yang tepat dan menggunakan bahasa yang senang difahami. Cubalah Bible Terjemahan Dunia Baharu.

  • Bacalah bahagian Bible yang menarik minat anda. Lihat jadual “Bacalah Bible Anda” dalam buku ini untuk mendapat lebih banyak idea.

  • Catat kemajuan anda. Gunakan “Catat Kemajuan Anda” pada carta pembacaan Bible dalam buku ini untuk menandakan bahagian yang sudah dibaca.

  • Guna aplikasi JW Library®. Anda dapat membaca dan mendengar pembacaan Bible di mana-mana saja melalui telefon pintar atau alat elektronik lain.

  • Guna bahagian lampiran dalam Bible Terjemahan Dunia Baharu. Terdapat peta, gambar rajah, dan kamus untuk membantu anda menikmati pembacaan Bible.

5. Membuat persiapan sebelum pembelajaran Bible

Baca Mazmur 119:34, kemudian bincang soalan berikut:

  • Mengapakah penting untuk berdoa sebelum membaca Bible atau membuat persiapan untuk pembelajaran anda?

Bagaimanakah anda dapat meraih manfaat yang sepenuhnya daripada pembelajaran Bible anda? Cubalah langkah ini semasa membuat persiapan:

  1. Baca perenggan-perenggan di bahagian awal pelajaran.

  2. Baca ayat-ayat Bible yang ada, dan cuba memahami kaitannya dengan topik yang dipelajari.

  3. Tandakan kata kunci atau jawapan bagi setiap soalan. Ini akan membantu anda semasa belajar dengan guru Bible.

Tahukah anda?

Saksi-Saksi Yehuwa pernah menggunakan beberapa terjemahan Bible. Tapi, Bible yang kami paling suka ialah Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu. Bible ini tepat, senang difahami, dan menggunakan nama Tuhan.​—Lihat rencana Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Mempunyai Bible Sendiri? di laman web kami.

ADA ORANG KATA: “Saya tiada masa atau tenaga untuk belajar Bible.”

  • Bagaimanakah anda akan menjawabnya?

RINGKASAN

Untuk mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada Bible, jadualkan masa untuk membacanya, berdoa untuk memahami apa yang dibaca, dan buat persiapan untuk pembelajaran Bible anda.

Ulang Kaji

  • Apakah yang boleh anda lakukan untuk mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada Bible?

  • Bilakah masa terbaik bagi anda untuk membaca Bible dan merenungkannya?

  • Mengapakah anda digalakkan untuk membuat persiapan bagi pembelajaran Bible anda?

Matlamat

JOM BELAJAR

Lihat cadangan daripada orang yang sudah memupuk tabiat membaca Bible.

Pembelajaran Peribadi yang Efektif (2:06)