PELAJARAN 21

Bagaimanakah Kerja Penyebaran Dijalankan?

Bagaimanakah Kerja Penyebaran Dijalankan?
Tunjuk Perkataan Sembunyi Perkataan

Melalui Kerajaan Tuhan, Yehuwa akan menghapuskan semua masalah manusia. Ini berita yang sangat baik! Itulah sebabnya Yesus menyuruh para pengikutnya untuk kongsi berita tentang Kerajaan Tuhan kepada semua orang. (Matius 28:19, 20) Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa mematuhi perintah Yesus itu?

1. Bagaimanakah Matius 24:14 menjadi kenyataan hari ini?

Yesus kata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi.” (Matius 24:14) Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia menyebarkan berita baik ini dalam lebih daripada 1,000 bahasa! Kami rasa bangga untuk melakukan kerja ini. Sudah tentu kerja ini tidak akan berjaya tanpa bantuan Yehuwa dan perancangan yang baik.

2. Bagaimanakah kami menginjil?

Seperti orang Kristian pada abad pertama, kami mengunjungi orang “dari rumah ke rumah.” (Kisah 5:42) Melalui cara ini, kami dapat menginjil kepada jutaan orang. Memandangkan bukan semua orang selalu berada di rumah, kami juga menginjil di tempat umum. Kami berusaha untuk mencari orang di mana sahaja mereka berada agar kami dapat mengongsi berita tentang Yehuwa dan tujuan-Nya.

3. Siapakah yang patut menginjil?

Semua orang Kristian sejati ada tanggungjawab untuk melakukan kerja penyebaran. Kami melakukan kerja ini dengan giat, mengikut kemampuan masing-masing. Memandangkan nyawa orang terlibat, kami pandang serius tugas ini. (Baca 1 Timotius 4:16.) Selain itu, kerja ini juga merupakan sebahagian daripada ibadat kami kepada Yehuwa. Kami tidak dibayar untuk melakukan kerja ini kerana Bible kata, “Kamu menerima secara percuma, jadi berilah dengan percuma.” (Matius 10:7, 8) Walaupun orang tidak mahu dengar mesej kami, kami tidak berputus asa kerana kami tahu kerja ini menggembirakan hati Yehuwa.

KETAHUILAH

Belajar lebih banyak tentang kegiatan menginjil Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia. Lihatlah bagaimana Yehuwa membantu kami.

4. Kami berusaha menginjil kepada semua orang

Saksi-Saksi Yehuwa bekerja keras untuk menyebarkan berita baik ke merata tempat. Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apabila melihat usaha Saksi-Saksi Yehuwa untuk menginjil, apakah yang menyentuh hati anda?

Baca Matius 22:39 dan Roma 10:13-15, kemudian bincang soalan berikut:

  • Bagaimanakah kerja menginjil menunjukkan bahawa kami mengasihi orang lain?

  • Apakah perasaan Yehuwa terhadap orang yang melakukan kerja penyebaran?​—Lihat ayat 15.

5. Kami merupakan rakan sekerja Tuhan

Banyak pengalaman menunjukkan bahawa Yehuwa sedang membimbing kerja penyebaran kami. Perhatikan kisah Saudara Paul dari New Zealand. Dia telah bercakap kepada seorang wanita semasa menginjil dari rumah ke rumah. Pada pagi itu, wanita itu telah berdoa dengan menggunakan nama Tuhan, iaitu Yehuwa. Wanita itu memohon agar Tuhan menghantar seseorang untuk mengunjunginya. “Tiga jam kemudian,” kata Paul, “saya tiba di rumahnya.”

Baca 1 Korintus 3:9, kemudian bincang soalan berikut:

  • Bagaimanakah pengalaman seperti itu menunjukkan bahawa Yehuwa sedang memimpin kerja penyebaran?

Baca Kisah 1:8, kemudian bincang soalan berikut:

  • Mengapakah kami memerlukan bantuan Yehuwa untuk menginjil?

Tahukah anda?

Semasa setiap perjumpaan pertengahan minggu, kami dilatih untuk menginjil. Pernahkah anda menghadiri perjumpaan itu? Apakah pendapat anda tentang latihan yang diberikan?

6. Kami mematuhi perintah Tuhan untuk menginjil

Pengikut Yesus pada abad pertama menghadapi tentangan untuk menginjil. Tetapi mereka menggunakan sistem perundangan agar dapat membela ‘hak untuk menyebarkan berita baik.’ (Filipi 1:7) Saksi-Saksi Yehuwa melakukan hal yang sama hari ini. a

Baca Kisah 5:27-42, kemudian bincang soalan berikut:

ORANG MUNGKIN TANYA: “Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa menginjil dari rumah ke rumah?”

  • Apakah jawapan anda?

RINGKASAN

Yesus menyuruh semua pengikutnya untuk menginjil kepada orang daripada semua bangsa. Yehuwa membantu umat-Nya melakukan kerja ini.

Ulang Kaji

  • Bagaimanakah kerja penyebaran dilakukan di serata dunia?

  • Bagaimanakah kerja menginjil menunjukkan bahawa kami mengasihi orang lain?

  • Adakah anda rasa kerja penyebaran dapat membuat anda gembira? Mengapa?

Matlamat

JOM BELAJAR

Belajarlah bagaimana Saksi-Saksi Yehuwa telah berusaha membantu orang pekak selama lebih daripada satu abad.

Perkembangan Bahasa Isyarat (7:32)

a Tuhanlah yang memerintahkan kami untuk menginjil. Maka, Saksi-Saksi Yehuwa tidak memerlukan keizinan daripada pihak berkuasa untuk menginjil.